PETALING JAYA: Parti atau gabungan politik perlu mengumumkan jajaran kerjasama politik sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelak berulangnya episod Langkah Sheraton yang menyaksikan pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’.
Memandangkan Akta Anti Lompat Parti hanya berkuat kuasa ke atas individu, maka masih ada ruang dan tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana parti menyokong pihak lawan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Perkara itu secara tidak langsung menghakis prinsip demokrasi apabila sebuah parti yang kalah dan ditolak rakyat kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan di atas ihsan sokongan pihak lawannya sendiri.
PELUANG
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Akta Anti Lompat Parti sebenarnya memberi peluang kepada parti untuk memecat ahli mereka yang bergelar ahli Parlimen sekiranya mereka gagal mematuhi arahan dan peraturan parti termasuk menyokong pihak lawan.
Katanya, tindakan itu menyebabkan kekosongan kerusi Parlimen dan sekali gus menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tertakluk kepada perlembagaan parti berkenaandalam isu memecat ahli mereka yang tidak mengikut arahan dan ketetapan parti.
“Selagi parti atau gabungan parti masih belum menetapkan peraturan berkenaan, maka selagi itulah ahli Parlimen boleh bertindak menyokong parti-parti lain termasuk pihak lawan dengan sesuka hati. Ini seolah-olah mereka menipu rakyat, rakyat undi mereka, tetapi akhirnya mereka sokong parti lain bentuk kerajaan.
“Maka drama Langkah Sheraton tidak akan kesudahan apabila Akta Lompat Parti menghalalkan pembentukan kerajaan pintu belakang kerana tafsiran undang-undang itu sendiri tidak merangkumi sokongan kepada pihak lawan dan akhirnya menjadi mangsa adalah rakyat sendiri,” katanya.
Menurut Mohamed Haniff, justeru setiap parti atau gabungan parti hendaklah meminda perlembagaan masing-masing dengan menetapkan peraturan pemecatan jika terdapat ahli melanggar arahan termasuk menyokong pihak lawan.
“Justeru, masih sempat untuk parti mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk meminda perlembagaan dalam tempoh singkat sebelum PRU15? Jika tidak, maka Langkah Sheraton mungkin berulang lagi pada masa datang,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, jika ahli Parlimen itu hanya menyokong usul atau menyokong seorang ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri walaupun berbeza parti, ia tidak dikira melompat parti. – UTUSAN










