Muslim yang mukallaf, akil baligh tertanggung di atas pundaknya kewajipan agama. Kewajipan agama terbahagi kepada dua iaitu fardu kifayah dan fardu ain. Semua kewajipan ditentukan Shariah adalah dalam kapasiti dan kemampuan seorang Muslim.
Contohnya, solat lima waktu yang tidak sesekali membebankan manusia. Begitu juga puasa Ramadan yang hanya diwajibkan sebulan. Zakat pula ditetapkan ke atas harta yang cukup nisab dan haul pada peratus yang sangat kecil.
Syariat diturunkan bukan untuk menyusahkan, tetapi kita harus tahu manusia diciptakan untuk beribadah dan tujuan hidup kita untuk menunaikan perintah Allah.
Manusia diciptakan sebagai khalifah dengan pelbagai tanggungjawab. Namun, tanggungjawab ini bukanlah untuk menyusahkan manusia tapi untuk kebaikan manusia itu sendiri. Pensyariatan solat untuk mendidik jiwa manusia berdisiplin dan menyerahkan jiwa raga kepada Pencipta kita Al Khaliq. Kewajipan berpuasa selain untuk mendapat pahala, mempunyai hikmat perubatan yang sangat banyak.
Begitu juga pensyariatan zakat, sebagai satu cara membantu insan kurang bernasib baik.
Namun ada keadaan yang menyebabkan seseorang Muslim itu terhalang dari menunaikan kewajipan atas sebab tertentu. Ini termasuklah sakit, musafir, ketidakupayaan dan lainnya.
Persoalannya adakah terangkat kewajipan ini dari seorang Muslim? Maha Suci Allah Maha Pemurah dan Maha Pengasihani memberi kemudahan atau disebut rukhsah dalam beribadah bagi mereka yang berhalangan.
Mereka yang tidak mampu solat berdiri, diberi keringanan solat baring. Mereka yang tidak mampu puasa atas sebab hamil, menyusukan atau bermusafir juga diberi kebenaran untuk tidak berpuasa.
Namun, siapa penentu ciri dan syarat pengecualian menunaikan perintah Allah? Beramal dengan pengecualian perintah Allah bukan satu perkara yang boleh diambil enteng. Tidak semua jenis sakit membenarkan kita berbuka puasa, bukan semua permusafiran membenarkan jamak qasar dan bukan sebarang sebab boleh membenarkan kita memakan babi atau makanan yang haram.
Peraturan dan undang-undang Allah diciptakan untuk dipatuhi sebagaimana juga undang-undang manusia. Ada pengecualian diberikan kepada mereka yang layak untuk tidak beramal dengan peraturan yang asal (azimah).
Apabila peraturan yang ditentukan akan menyebabkan kemudaratan, maka dibolehkan untuk melanggar peraturan itu untuk mengelakkan mudarat lebih besar: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (Surah al-Baqarah 2-195).
Namun pengecualian, bukan lesen boleh diaplikasikan tanpa had.
Penggunaan ubat mengandungi bahan haram contohnya dibolehkan untuk menjaga nyawa jika tiada ubat halal setanding ubat haram.
Contoh lain, keharusan membuka aurat di hadapan doktor, juga disertai syarat yang ketat, tiada doktor sama jantina dan haruslah disertai dengan chapperone.
Namun amat menyedihkan, ada dalam kalangan Muslim mengambil ringan hukum Syariat dan menggunakan alasan direka-reka untuk tidak melaksanakan perintah Allah.
Contoh melewatkan mandi hadath bagi wanita haid yang sengaja meninggalkan solat.
Atas sebab itulah, para ulama fuqaha dan pakar usul fiqh, menggariskan panduan syarat mengaplikasikan rukhsah atau darurat mengikut kaedah ditetapkan oleh Syarak sama ada melalui dalil al Quran atau al Hadith.
Hukum asal Syarak yang disebut azimah tidak boleh ditinggalkan sesuka hati.
Dalam masa yang sama, jangan pula terlalu rigid dalam beragama hingga menyebabkan kesukaran dan kemudaratan kepada diri dan maqasid shariah yang lain.
Sedangkan fasiliti rukhsah adalah ‘hadiah’ daripada Allah, maka ambillah rukhsah untuk memudahkan kehidupan.
Mendidik anak yang belum baligh untuk menunaikan perintah Allah juga satu cabaran. Anak yang sakit atau berhalangan tetap wajib diajar untuk menunaikan perintah Allah.
Ketika demam atau dalam perjalanan, atau berpuasa.
Cabaran ibu bapa mendidik anak menunaikan perintah Allah ketika anak sakit.
Mengajar mereka solat hormat waktu atau jamak dan qasar ketika musafir bukan perkara mudah.
Menutup aurat juga satu perintah Allah yang tidak mudah untuk dipraktikkan.
Menutup aurat ketika bekerja, bersukan atau beraktiviti menuntut kefahaman dan kesedaran yang jelas di kalangan Muslim.
Azimah hukum asal wajib dijaga dan tidak boleh dipandang remeh.
Aktiviti sosial yang pelbagai zaman ini menuntut kita sentiasa kreatif dan cakna untuk menunaikan Syariat sesuai dengan aktiviti seharian.
Pakaian sukan sesuai harus direka mengikut aktiviti.
Dahulu amat sukar mencari busana Muslimah untuk berenang, namun hari ini, tidak lagi.
Dalam masa yang sama, pakaian untuk pekerjaan yang menutup aurat juga sudah banyak direka sama ada di agensi kerajaan dan swasta.
Selain itu jururawat, pakaian polis, tentera yang mula menepati kehendak Syariat diperkenalkan.
Fasiliti untuk beribadah juga sudah banyak disedikan berbanding 20 tahun dahulu.
Ini termasuklah musolla di stadium, pusat sukan, pusat membeli-belah, kawasan Rehat dan Rawat, bangunan komersil dan lainnya.
Dalam masa yang sama, industri perhotelan juga mengambil insiatif mendapatkan persijilan Halal.
Beberapa hotel mengorak langkah menjadi Hotel Patuh Syariah yang mana menjadi satu daya tarikan bukan sahaja bagi orang Islam negara kita malah pelancong Muslim dari luar negara.
Tuntasnya pengamalan Syariat adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan oleh semua Muslim mukallaf mengikuti kapasiti masing-masing.
Sebarang keuzuran untuk melaksanakan Syariat adalah dibenarkan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan.
———————
Penulis adalah Profesor Madya di Universiti Sains Islam Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.










