Projek Sekolah Rimba bertujuan memupuk minat belajar anak Orang Asli suku Semaq Beri di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua di Hulu Terengganu, Terengganu.
Projek percubaan berkonsepkan pendidikan berasaskan komuniti itu, membabitkan 40 murid menerusi memperkasakan prestasi akademik murid di sekolah berkenaan yang disifatkan masih jauh ketinggalan berbanding sekolah luar bandar lain.
Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Khatijah Omar berkata, inisiatif itu dijayakan seramai 10 penyelidik menerusi 20 slot pembelajaran pelbagai topik, antaranya Matematik, Sains, flora fauna, hutan milik kita dan sayangi hutan.
Katanya, projek bermula sejak bulan lalu itu, dijadualkan berlangsung hingga Ogos tahun depan dengan sesi pembelajaran selama dua kali sebulan, pada sebelah petang.
“Kehadiran murid Semaq Beri di sekolah, hanyalah sekitar 30 peratus sahaja setiap tahun dan pelaksanaan projek ini diharap dapat membina minda serta personaliti mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Projek itu dibangunkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (Bio-D Tropika). Ia digerakkan dengan geran bernilai RM12,118 sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia.
Manakala Kampung Sungai Berua, terletak lebih 50 kilometer dari Kuala Terengganu, memiliki kira-kira 591 keluarga dengan kebanyakannya masih berpegang teguh kepada adat resam ajaran nenek moyang.
“Selain pemindahan ilmu, projek ini dijangka dapat meningkatkan keyakinan diri golongan sasar, di samping mewujudkan iklim dan budaya seronok belajar.
“Mereka kini dalam proses membina pondok terbuka daripada bahan-bahan semula jadi seperti buluh, kayu dan rotan untuk dijadikan sebagai premis Sekolah Rimba,” katanya.
Realitinya masih ramai murid Orang Asli suku Semaq Beri tidak tahu membaca dan tertinggal dalam beberapa matapelajaran, termasuk pendekatan teknologi terkini.
Justeru pendidikan berasaskan komuniti diyakini membantu membangunkan keupayaan mereka berfikir dan bertindak bagi meningkatkan kualiti hidup, sekali gus menyelesaikan isu negatif seperti peratusan ketidakhadiran murid yang tinggi, minat penyertaan dalam kelas yang rendah dan kurang interaksi dalam sebarang aktiviti sosial.










