Kesibukan menguruskan lima anak, mengekang ikon fesyen dan sosialit, Ezurin Khyra, 50, untuk mengejar impian serta keinginannya bergelar usahawan.
Sebagai suri rumah sepenuh masa, fokus utamanya adalah keluarga di samping mahu memastikan setiap permata hatinya berjaya menamatkan pengajian hingga ke menara gading.
Menginjak ke usia lima dekad dan anak-anak pun kian dewasa, Ezurin memberanikan diri merealisasikan keinginannya meneroka bidang keusahawanan dan fesyen menerusi jenama E For All.
Baginya, tiada istilah terlewat untuk keluar dari kepompong dan belajar pelbagai perkara baharu demi menjadi insan yang lebih sempurna.
“Saya sentiasa ingin melakukan sesuatu yang baharu tetapi terbatas kerana tanggungjawab kepada keluarga dan mahu memantau pelajaran anak-anak.
“Apabila anak-anak makin membesar dan saya pula berstatus ibu tunggal, jadi saya fikir ini merupakan waktu yang tepat untuk saya tumpukan pada diri sendiri dan mengorak langkah baharu,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Ezurin berkata, pengalaman sebagai ibu banyak dijadikan panduan untuk memperkasakan lagi dirinya sebagai usahawan.
Baginya tiada istilah terlewat untuk mencipta perubahan.
E For All
E For All merupakan buah tangan sulung untuk para peminat yang menampilkan 10 koleksi skaf yang diinspirasikan dari bandar-bandar kegemarannya di seluruh dunia iaitu Dubai, Bahia, Doha, Rio, Paris, Jakarta, Istanbul, Kuching, Madrid dan Milan.
Ujarnya, skaf mampu milik berharga RM29.90 sehelai itu boleh digayakan sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, bangsa, agama atau pangkat.
Menurut Ezurin, minat terhadap skaf mendorongnya memilih produk itu bagi diketengahkan di bawah jenamanya.
Malah beliau turut terlibat dalam keseluruhan proses termasuk penghasilan rekaan.
“Pemakaian skaf bukan sekadar pelengkap gaya, malah menjadi aksesori wajib dan budaya dalam kalangan masyarakat Barat.
“E For All cukup istimewa kerana saya tidak pernah menghasilkan rekaan skaf atau apa-apa yang lain sebelum ini.
“Semua tahu tentang minat saya terhadap fesyen dan kali ini saya cuba menterjemahkan fesyen melalui skaf di samping mahu berkongsi pengalaman melancong ke 10 bandar berkenaan dengan orang ramai,” katanya yang mengambil masa tiga bulan menyiapkan produk berkenaan.
New York, hiasan meja makan
Ibu kepada lima cahaya mata ini turut berkebolehan menghias dan menyusun atur meja makan dengan konsep yang cukup artistik dan mewah.
Tidak keterlaluan dikatakan, hasil kreativitinya sering mendapat pujian peminatnya, sekali gus menguatkan lagi semangatnya untuk menguasai bidang itu dengan lebih mendalam.
Dalam merealisasikan hasrat itu, beliau merancang ke New York pada bulan depan bagi menimba ilmu kira-kira enam bulan dengan mereka yang pakar dalam seni berkenaan.
“Saya sudah ada kemahiran menghias meja makan, jadi saya fikir setiap bulan mahu belajar sekurang-kurangnya dengan enam syarikat berbeza di sana bagi mengutip banyak input untuk membimbing saya.
“Siapa tahu mungkin satu hari nanti saya akan mengeluarkan produk hiasan sendiri selepas membina nama di New York,” katanya.
Menurut Ezurin, tempoh setahun ditetapkan untuknya mencapai impian dalam bidang hiasan meja makan.
SYUKURI KEHIDUPAN
Sentiasa bersyukur dengan segala yang berlaku dalam hidupnya. Sama ada suka atau duka, ia merupakan motivasi yang dipegang Ezurin selama ini.
Katanya, mana-mana wanita perlu berlapang dada walaupun ada kalanya nasib tidak menyebelahi mereka.
“Saya sentiasa percaya ada yang terbaik sudah diaturkan untuk kita. Usah sedih jika tidak dapat apa yang dihajati mahupun perkahwinan yang dibina selama bertahun-tahun gagal.
“Tentunya ada hikmah di sebalik semua kejadian itu dan paling mustahak, kita perlu tekadkan azam untuk menjadi seseorang yang lebih baik setiap hari.
“Mengambil contoh diri saya, sebelum ini saya sibuk memasak dan menjaga keluarga tetapi kini saya mampu mengeluarkan skaf dan menghias meja. Saya mahu jadi insan yang lebih baik, setiap hari,” katanya.
Beli fesyen, bukan jenama
Di sebalik citarasa fesyen mewah, jangan terkejut kerana Ezurin juga memiliki koleksi barangan yang dibeli pada harga mampu milik.
Katanya, soal jenama bukan keutamaan ketika membeli-belah, sebaliknya menitik-beratkan tentang gaya dan fesyen.
“Orang selalu salah sangka dan menganggap saya hanya membeli barangan mahal sedangkan saya membeli stail. Saya tidak kisah harga yang murah jika ada nilai fesyen,” katanya.
Menurut Ezurin seiring pertambahan usia, penampilannya turut berubah sedikit demi sedikit. Katanya, dia kini cenderung memilih jaket bagi melengkapkan gayanya dan kurang memakai busana ketat.
Jejaka mata sepet
Beberapa tahun melalui kehidupan solo, Ezurin tidak menolak kemungkinan berkahwin semula jika ditakdirkan jodohnya tiba.
Bagaimanapun, wanita ini tidak mengulas lanjut adakah hatinya kini sudah dimiliki seseorang.
Katanya, antara ciri-ciri lelaki idamannya ialah yang bermata sepet.
Gementar jika ramai orang
Berkarakter ceria, mungkin tiada yang menyangka Ezurin sebenarnya gementar jika berada dalam lingkungan khalayak yang ramai.
Keadaan itu menyebabkan dia lebih gemar menghabiskan masa di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar.
“Saya gementar apabila ada orang ramai sebab itu anda sukar lihat kelibat saya di restoran atau konsert,” ujarnya sambil ketawa.
Tiada rahsia dengan anak-anak
Walaupun berjauhan, umum mengetahui hubungan Ezurin dengan anaknya yang menetap di London amat akrab.
Setiap pagi menjadi rutin hariannya untuk menghubungi Tunku Aaman Khyra, Tunku Nadya Khyra, Tunku Imaan Khyra, Tunku Ooman Khyra dan Tunku Rmaan Khyra.
Katanya, dalam perbualan itu, pelbagai perkara dikongsi bersama termasuk soal kehidupan, pelajaran hingga ke teman wanita atau lelaki anak-anak.
“Saya melayan anak-anak macam kawan. Tiada rahsia antara kami kerana kita sentiasa berkongsi cerita bersama.
“Di sebalik pendekatan itu, saya sebenarnya ibu yang tegas dan sering mengingatkan mereka untuk seimbangkan antara kehidupan dan agama,” katanya.










