Kanser paru-paru merupakan kanser kedua paling biasa dan penyebab utama kematian berkaitan kanser dalam kalangan lelaki.
Paling membimbangkan, kebanyakan kes dikesan lewat mengakibatkan penurunan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser jenis berkenaan berbanding kanser jenis lain.
Justeru, Lung Cancer Network Malaysia (LCNM), AstraZeneca dan Qualitas Medical Group berganding bahu bersama pusat rawatan kanser swasta, Hospital Beacon, Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Sunway, menyediakan pemeriksaan kanser paru-paru secara percuma.
Program itu menyasarkan untuk meluaskan lagi akses kepada orang ramai untuk menerima teknologi saringan Kecerdasan Buatan (AI) yang canggih iaitu Qure.ai di klinik penjagaan utama.
Malah, siasatan lanjut akan dibuat dengan imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT) di ketiga-tiga hospital jika ada keperluan.
Presiden LCNM yang juga Pakar Bedah Kardiotoraks, Dr. Anand Sachithanandan berkata, pengesanan penyakit kanser paru-paru peringkat awal adalah penting kerana hasil rawatan dan prognosis sangat bergantung pada peringkat penyakit.
“Prognosis yang tidak baik dalam kalangan pesakit kanser paru-paru selalunya disebabkan kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang gejala pada peringkat awal. Mereka hanya sedar tentang masalah kesihatan, apabila penyakit berlanjutan.
“Dengan pendekatan terapi pelbagai disiplin dan pelbagai mod, kanser paru-paru yang dikesan pada peringkat awal dapat membawa prognosis yang sangat baik kerana rawatan kuratif akan lebih berkesan dan lebih kos efektif apabila kanser mula dirawat pada peringkat ini,” katanya.
Kerjasama menggunakan teknologi AI untuk saringan kanser ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan ia membantu memenuhi keperluan pengesanan kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok.
Teknologi dipertingkat
Kerjasama berkenaan juga dilihat sebagai sesuatu yang unik antara pakar-pakar dalam negara bagi menyediakan akses kepada teknologi AI dan pengimejan LDCT.
Melalui akses yang dipertingkat, alat tafsiran X-ray AI yang menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk mengesan keabnormalan pada radiografi dada boleh meningkatkan kepekaan untuk pengesanan nodul paru-paru yang selalunya merupakan tanda pertama kanser paru-paru.
Kes yang disyaki kemudiannya akan disiasat selanjutnya dengan imbasan LDCT bukan kontras yang merupakan kaedah saringan yang terbukti baik untuk mengurangkan kematian berkaitan kanser paru-paru bagi individu berisiko tinggi.
“X-ray dada AI akan meningkatkan ketepatan diagnostik dan mempercepatkan rujukan kes kepada pakar paru-paru yang berkaitan. Penyiasatan dan rawatan lebih pantas, kadar kelangsungan hidup yang lebih baik boleh dijangkakan.
“Kemajuan perubatan yang inovatif seperti ketersediaan mesin algoritma AI pembelajaran mendalam ini merupakan satu langkah besar untuk industri dan berpotensi untuk mengubah status industri perubatan semasa.
Kami berharap untuk mewujudkan peralihan peringkat penyakit secara berkesan sambil mengesan lebih banyak kanser paru-paru di peringkat awal dalam komuniti,” ujarnya.










