Gasania bagai ‘pusat hiburan’, tingkat kemahiran murid - Utusan Malaysia

Gasania bagai ‘pusat hiburan’, tingkat kemahiran murid

Gasania merangkumi tujuh segmen antaranya VR Box, studio animasi dan kemahiran motor halus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA disebut tentang pusat hiburan keluarga tertutup, pastinya ramai membayangkan tentang KidZania yang menawarkan kepada pengunjung cilik merasai pengalaman kerjaya seperti orang dewasa.

Pusat hiburan berilmiah seperti itu bertujuan untuk melatih kanak-kanak bagi mendapat gambaran sebenar mengenai cita-cita yang mereka idamkan.

Bagi memberi pengalaman sama kepada murid-murid, satu inisiatif telah digerakkan oleh guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Panggas, Padang Besar, Perlis dengan mengubah suai sebuah bilik bagi dijadikan seperti pusat hiburan tertutup itu dan dikenali sebagai Gasania.

Gasania dilancarkan secara rasmi oleh Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman tahun lepas sejurus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Terdapat pelbagai pengisian menarik buat murid sekolah itu yang meluangkan masa di Gasania merangkumi tujuh segmen antaranya seperti VR Box, studio animasi, kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar, zon perubatan, alam binaan dan ciptaan serta Kidzy Cafe.

Sewaktu mula melangkah kaki masuk ke dalam bilik berkenaan, murid atau pengunjung perlu melalui laluan yang diubah suai seperti terowong gua di pintu masuk sebelum dapat melihat pelbagai ruangan segmen menarik disediakan di sana.

Guru Besar SK Panggas, Salmiah Md. Ali berkata, Gasania ditubuhkan hasil inisiatif guru sekolah itu sendiri yang ingin menarik minat murid khususnya pra sekolah menerusi penyediaan beberapa ruangan untuk diterokai bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.

“SK Panggas ini kebanyakkan terdiri daripada keluarga B40 dan kita mengetahui mereka tidak berkemampuan untuk berjalan-jalan di bandar atau meluangkan masa di pusat hiburan keluarga seperti KidZania.

“Maka atas dasar itu, kita tubuhkan Gasania bagi membolehkan mereka merasai pengalaman seperti di dalam pusat hiburan keluarga berkenaan walaupun berada di kampung,” katanya.

INSIATIF JADI TARIKAN
Mengulas lanjut, Salmiah berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu ternyata berjaya menjadi tarikan apabila sekolah berkenaan merekodkan pertambahan murid pra dari tiga kepada 16 orang.

Ujarnya, bagi pendaftaran pra sekolah pada tahun hadapan pula, seramai 13 orang murid telah mendaftar buat masa ini untuk mengikuti sesi pembelajaran di SK Panggas.

“Kita berharap dari masa ke semasa, SK Panggas akan terus merekodkan peningkatan murid pra sekolah dengan lebih cemerlang selepas adanya Gasania ini yang mampu menjadi tarikan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Salmiah berkata, penubuhan Gasania dapat direalisasikan hasil inisaitif bersama guru dan kakitangan sekolah berkenaan yang henti-henti berkongsi mencurahkan idea dan pendapat mereka.

Ujarnya, terdapat beberapa permainan yang dihasilkan sendiri oleh guru-guru dan kakitangan sekolah dengan menggunakan barangan terpakai.

“Alhamdulillah kerjasama guru-guru dan kakitangan sekolah ini yang begitu komited telah membuahkan hasil dalam menarik minat ibu bapa serta orang ramai menghantar anak-anak mereka ke sini,” katanya.

Sementara itu, Salmiah berkata, SK Panggas juga kerap menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk sekolah luar yang berminat untuk melihat secara lebih dekat kemudahan disediakan itu.

Katanya, sejak mula beroperasi, Gasania telah dikunjungi wakil daripada lebih lapan buah sekolah yang tertarik dengan inisiatif dilaksanakan tersebut.

“Boleh dikatakan hampir setiap bulan kami akan menerima kunjungan dan lawatan daripada pelbagai pihak bagi melihat keunikan ditampilkan di Gasania ini,” katanya.

Murid-murid yang ingin menggunakan kemudahan berkenaan akan dipantau oleh guru bagi memastikan peralatan di bilik berkenaan terjaga dengan sebaiknya.

Sekolah berkenaan, turut menerima Anugerah Pra Sekolah Magnet oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis atas inisiatif penubuhan Gasania berkenaan.

“Gasania juga akan ditambah baik dari masa ke semasa selepas ini bagi memberikan pengalaman terbaik buat murid sekolah ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×