Tiga calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diumumkan semalam dijangka berdepan tugas sukar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila perlu berdepan dengan nama-nama besar politik negara dan berstatus menteri.
Tiga calon pertama Muda pada PRU15 ialah Danial Abdul Majeed yang akan bertanding di Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang, Siti Rahayu Baharin di Parlimen Tanjong Karang, Selangor dan Lim Wei Jiet di Tanjung Piai, Johor.
Walaupun gabungan lain khususnya Barisan Nasional (BN) tidak menamakan lagi calon-calonnya, Daniel dijangka akan berdepan penyandang Parlimen Kepala Batas iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina.
GERGASI
Siti Rahayu yang juga merupakan seorang guru pula hampir pasti akan menentang ‘gergasi’ BN Selangor, Tan Sri Noh Omar di Tanjong Karang.
Berdasarkan rekod, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu tidak pernah tewas sejak 1995.
Sementara Wei Jiet pula dijangka berdepan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang menang kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2019 susulan kematian penyandangnya daripada Bersatu.
Danial berkata, beliau berbesar hati untuk menerima mandat yang diberikan untuk berentap dengan Reezal di Kepala Batas walaupun sedar bakal berdepan tugas berat berdasarkan kredibiliti yang dimiliki penyandang kerusi itu.
“Walaupun sedar Kepala Batas adalah kubu kuat BN, saya akan berjuang untuk menang sebab tiada seorang pun calon perlu berasa selesa di kerusi ditandingi kerana akhirnya rakyat yang akan memilih pemimpin yang mereka inginkan,” katanya.
Sementara itu, Siti Rahayu berkata, beliau juga tidak gentar untuk mencabar Noh di Tanjong Karang kerana yakin agenda pendidikan yang dibawanya sangat dekat di hati pengundi dan setiap bangsa berhak dan layak mendapat yang terbaik dalam pendidikan.
“Saya orang biasa sahaja namun, kita sudah lama melihat dalam dunia politik hanya orang sama sahaja. Ini adalah jalan untuk saya buka kepada wanita. Saya bersama Muda dan PH ingin menang kali ini, saat ini kita berjuang bersama,” katanya.
TRADISI
Bagi Wei Jiet pula, kerusi Tanjung Piai adalah satu tanggungjawab yang besar diberikan kepadanya dan menganggap kerusi itu ada sejarah buat pembangkang kerana berjaya merampas kerusi tradisi BN itu pada PRU14 sebelum dirampas semula pada PRK 2019.
“Selepas bertahun-tahun MCA dan BN menang di Tanjung Piai, pada PRU14 kita berjaya rampas namun, dalam PRK mereka kembali menang disitu. Bagi saya, jika PH dan Muda hendak melangkah ke Putrajaya, kerusi seperti Tanjung Piai perlu dimenangi.
“Saya akan bawa cabaran yang diamanahkan oleh Muda dan PH untuk menang di Tanjung Piai, kita kena menang jika tidak mahu negara ini jatuh semula ke tangan UMNO dan BN,” katanya yang juga merupakan seorang peguam.
Semua calon berkenaan diumumkan oleh Timbalan Presiden yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abd. Aziz.
Amira Aisya berkata, ada beberapa lagi kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRU15 dan pengumuman terbabit akan dibuat dalam tempoh terdekat dan parti itu juga mempunyai seorang calon yang akan bertanding di Sabah
Mengulas mengenai tiga calon Muda yang diumumkan, beliau berkata, semua mereka adalah golongan profesional dalam bidang masing-masing dan diyakini mampu menggalas harapan Muda dan PH untuk menang walaupun menentang ‘gergasi’ politik tanah air.
“Calon kerusi Kepala Batas adalah seorang anak jati Pulau Pinang berusia 26 tahun dan juga seorang jurutera. Di Tanjong Karang pula seorang guru dan ibu tunggal berusia 41 tahun selain aktivis pendidikan.
Bagi calon kerusi Tanjung Piai adalah seorang peguam berusia 31 tahun dan aktivis hak asasi manusia,” katanya. – UTUSAN










