Larian Komuniti Simbolik 63KM KITA FM raih pengiktirafan Malaysia Book of Records - Utusan Malaysia

Larian Komuniti Simbolik 63KM KITA FM raih pengiktirafan Malaysia Book of Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: KITA FM menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi kategori Jarak Kumulatif Terpanjang yang Dicatatkan dalam Kempen Larian Luar sejauh 63 kilometer bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-63.

Angka itu dipilih sebagai simbolik sambutan Hari Malaysia Ke-63, sejajar dengan tema Satu Suara Satu Malaysia yang menekankan nilai perpaduan, keharmonian dan kebersamaan rakyat Malaysia.

Menurut Priya Dharshini Prabakaran selaku Pengarah Astro Audio, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen KITA FM dalam mendekati pendengar secara lebih dekat sambil menyemarakkan semangat perpaduan yang menjadi teras sambutan Hari Malaysia.

“Kami amat berbangga apabila KITA FM berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kempen yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

“Lebih istimewa, pencapaian ini diwujudkan bersempena Hari Malaysia Ke-63 sebagai simbol perjalanan, perpaduan dan semangat kebersamaan yang terus menyatukan rakyat negara ini.

“Setiap langkah yang diambil sepanjang kempen ini melambangkan satu suara, satu semangat dan satu Malaysia. Pengiktirafan ini bukan sahaja milik KITA FM, malah milik semua pendengar yang telah bersama-sama menjayakan kempen ini di seluruh negara,” katanya.

Dalam masa sama, penganjuran larian komuniti ini juga turut menghimpunkan kesemua 13 stesen radio di bawah Astro Audio.

Setiap stesen menganjurkan acara larian di negeri masing-masing dengan jarak antara tiga hingga lima kilometer, membolehkan ribuan pendengar mengambil bahagian secara serentak di seluruh negara.

Priya berkata kejayaan tersebut membuktikan hubungan kukuh yang terjalin antara Astro Audio dan jutaan pendengarnya yang sentiasa memberikan sokongan kepada setiap inisiatif yang dianjurkan.

“KITA FM merupakan antara usaha terbaik kami untuk menghargai kesetiaan pendengar kepada 13 stesen radio di bawah Astro Audio. Sambutan luar biasa yang diterima di setiap lokasi membuktikan bahawa radio masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati rakyat Malaysia.

“Kami merakamkan penghargaan kepada semua pendengar, rakan penaja, rakan strategik dan seluruh warga kerja yang telah memainkan peranan dalam menjayakan KITA FM Satu Suara Satu Malaysia.

“Sokongan ini membolehkan kami mencipta sejarah, dan kami berharap dapat terus mendekati masyarakat menerusi lebih banyak program yang menarik pada masa hadapan,” katanya.

KITA FM memulakan siri larian luarnya pada 29 Ogos 2026 sempena Raptai Penuh Hari Kebangsaan sebelum meneruskan siaran langsung pada 31 Ogos 2026 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.

Selain menggalakkan gaya hidup sihat, larian komuniti ini turut menjadi platform yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, usia dan latar belakang dalam satu aktiviti yang mencerminkan semangat muhibah dan kebersamaan.

KITA FM turut menganjurkan Mini Showcase KITA FM yang menampilkan pelbagai persembahan hiburan di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×