Tikam isteri 13 kali, suami didakwa membunuh

Tikam isteri 13 kali, suami didakwa membunuh

G. Vikneswaran dikawal anggota polis selepas didakwa membunuh isterinya di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dalam kejadian di Taman Tiram, di sini, minggu lalu.

Vikneswaran, 43, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Vikneswaran didakwa membunuh S. Sila, 39, di sebuah rumah di Taman Tiram antara pukul 6.30 petang hingga 9.04 malam, 14 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan kes akan disebut semula pada 8 Disember depan.

Pada 15 September lalu, akhbar melaporkan pertengkaran pasangan suami isteri dipercayai berpunca daripada cemburu berakhir tragedi apabila Sila maut selepas ditikam 13 kali menggunakan pisau.

Mangsa mengalami tujuh kecederaan tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan sebelum hadir sendiri ke Balai Polis Lunas dan memaklumkan telah menikam isterinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×