Pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat lalu disifatkan masih lagi lompong kerana gagal mengarus perdanakan kepentingan jantina dalam setiap aspek belanjawan negara.
Perkembangan itu sedikit sebanyak mengecewakan, sedangkan, elemen itu amat ditunggu-tunggu semua pihak selama ini.
Bayangkan, ketika negara-negara lain sudah melaksanakan kesaksamaan jantina dalam peruntukan belanjawan masing-masing, namun berbeza pula dengan Malaysia yang didakwa masih lagi terkebelakang.
Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Profesor Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, langkah mengarus perdanakan kepentingan jantina penting bagi menangani jurang di samping menjamin perlindungan dan keadilan untuk semua pihak.
Katanya, pendekatan itu bukan semata-mata untuk memberi kelebihan kepada kaum hawa, sebaliknya turut memberi manfaat kepada lelaki.
“Bila kita memperjuangkan soal jantina, ramai yang salah anggap tumpuan hanya kepada wanita sahaja sedangkan ia bersifat menyeluruh dan turut melibatkan kaum Adam.
“Sebelum ini, kita minta dalam setiap aspek belanjawan dan kementerian dibuat perkiraan jantina contohnya bidang seni, alam sekitar dan sebagainya.
“Tetapi dalam Bajet 2023, saya tidak nampak sebarang elemen mengarus perdanakan kepentingan jantina, sebaliknya masih meneruskan tradisi pengagihan bantuan kepada wanita, namun yang bezanya hanya jumlah,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 berkata, kerajaan sentiasa melindungi hak-hak kaum yang lemah termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.
Katanya, dana pembiayaan sebanyak RM235 juta diperuntukkan bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran mereka.
Menurutnya, dana pembiayaan itu boleh didapati menerusi beberapa skim seperti Semarak-Nita Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekunita Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Dananita Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Bizlady Bank Rakyat.
Malah, ujarnya, kerajaan juga bercadang mengecualikan cukai pendapatan mulai tahun taksiran 2023 hingga 2028 bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah tempoh ‘career break’.
Dalam perkembangan sama, Sharifah Hapsah menyambut baik penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual pada tahun depan yang disifatkan tepat pada masanya agar tindakan itu tidak terus dinormalisasi masyarakat.
“Kita tunggu pelaksanaan dan penguatkuasaannya bagaiamana,” katanya.
Peruntukan wanita semakin berkurangan?
Pandangan sama turut disuarakan, Pengarah Eksekutif, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), V. Sumitra yang menyifatkan Bajet 2023 tidak responsif terhadap jantina terutama keperluan golongan B40, M40, orang kurang upaya (OKU) dan belia.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu boleh ditambah baik kerajaan dengan memberi tumpuan kepada jurang jantina selaras peralihan negara ke fasa endemik Covid-19.
“Di samping itu, terdapat beberapa peruntukan yang patut dikaji semula termasuk gender focal team di setiap kementerian dan agensi.
“Ia selaras dengan komitmen Malaysia kepada SDG 5 (kesamarataan gender), 8 (pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan layak semua) dan 10 (pengurangan ketidaksamarataan) dan artikel-artikel CEDAW 7 dan 8,” katanya.
Menyentuh mengenai inisiatif lain, menurut Sumitra peruntukan khusus untuk wanita dilihat berkurangan berbanding belanjawan tahun-tahun sebelumnya.
“Misalnya bagi isu-isu seperti keganasan berasaskan gender dan rumahtangga, hanya RM8 juta disediakan kepada pusat sokongan sosial setempat berbanding sebelum ini, terdapat peruntukan untuk Unit D11 PDRM dan juga premis perlindungan.
“Ini jelas menunjukkan isu menangani keganasan kurang diberi penekanan oleh kerajaan, walaupun prevalens isu ini berterusan pasca pandemik Covid-19 dan memberi kesan kepada kehidupan wanita,” katanya.
Perkasa pendidikan awal kanak-kanak OKU
Peruntukan bajet sebanyak RM20 juta bagi keperluan pendidikan pelajar berkeperluan khas disambut baik oleh penyokong dan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Peruntukan yang dilihat mengambil kira kebajikan anak-anak istimewa itu bagaikan membawa satu sinar baharu dalam kehidupan mereka.
Tambahan pula, penambahan 50 buah taman asuhan kanak-kanak (taska) dilihat sebagai satu perubahan yang impresif dalam memberikan akses dan perlindungan kepada anak-anak OKU tatkala ibu bapa keluar bekerja.
Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, bajet yang diumumkan kali ini banyak memberi sokongan dan dana kepada golongan berkenaan.
Malah, Ahli Dewan Negara itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil kira cadangan yang telah diberikan olehnya sebelum ini.
“Peruntukan untuk e-hailing antaranya yang akan membantu OKU bergerak dengan lebih mudah serta lebih berdikari dalam menjalani kehidupan seperti orang normal yang lain.
“Selain itu, peruntukan RM20 juta untuk sekolah juga adalah sesuatu yang dinanti-nantikan kerana ketika ini ramai OKU dan juga tenaga pelajar yang tidak cukup bahan untuk anak berkeperluan khas.
“Kebanyakan fasiliti sedia ada juga sudah uzur dan lama. Jadi, dengan peruntukan ini akan dapat membantu sekolah untuk menampung keperluan pelajar-pelajar berkeperluan khas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Persediaan murid
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Hasnah Toran berkata, peruntukan yang diumukan itu merupakan antara perkara yang diperjuangkan oleh komuniti itu.
Peningkatan jumlah taska terutamanya antara yang impresif bagi meningkatkan perkhidmatan intervensi awal kanak-kanak berkeperluan khas.
“Bila adanya perkhidmatan intervensi awal maka anak-anak ini akan lebih bersedia ketika ke sekolah kelak.
“Ini yang kita mahu kerana kita mahu mereka sudah sedia untuk belajar apabila memasuki alam persekolahan,” jelasnya yang merupakan bekas Pengarah Pusat Permata Kurnia.
Tambahnya, dengan penambahan itu juga akan menggalakkan lebih ramai ibu bapa untuk menghantar anak ke pusat perkhidmatan intervensi awal.
“Sudah tentu. Sebenarnya ibu bapa ramai dah yang sedar tentang kepentingan pendidikan awal khas untuk anak mereka. Tetapi disebabkan susah hendak cari taska khusus untuk keperluan khas anak mereka, maka mereka pun teraba-raba.
“Taska swasta pula sangat mahal, mencecah hingga RM3000 sebulan menyebabkan golongan kurang berkemampuan terpaksa menggigit jari,” katanya.
Beliau turut meminta agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperincikan kegunaan peruntukan RM20 juta berkenaan sama ada hanya untuk sekolah pendidikan khas atau dikongsi bersama sekolah aliran perdana yang mempunyai program pendidikan khas.









