Awasi risiko buah pinggang rosak ketika hamil - Utusan Malaysia

Awasi risiko buah pinggang rosak ketika hamil

Ujian mudah seperti ujian kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah boleh dilakukan dalam mengesan risiko penyakit buah pinggang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak komplikasi tidak diduga boleh berlaku ke atas bakal ibu termasuk kegagalan fungsi buah pinggang.

Ada dua jenis kegagalan buah pinggang iaitu kegagalan buah pinggang akut dan kegagalan pinggang kronik.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur, Dr. Sunita Bavanandan, berkata kegagalan buah pinggang akut berkemungkinan sembuh ke tahap asal tetapi dalam kes tertentu, tidak dapat kembali sepenuhnya kepada kadar fungsi asal.

“Berbeza dengan kegagalan buah pinggang kronik, ia akan kekal dan tidak boleh disembuhkan atau bertambah merosot, di mana kerosakan pada buah pinggang berlaku dalam jangkamasa panjang.

“Kekerapan kegagalan buah pinggang akut semasa hamil adalah dalam lingkungan 0.2 peratus sehingga1.8 peratus berdasarkan laporan dari negara China dan India. Manakala kegagalan buah pinggang kronik dianggarkan dalam 3 peratus dalam kalangan wanita hamil,” katanya kepada Seri.

Punca berlaku
*Kegagalan buah pinggang akut boleh berlaku disebabkan penyakit pre-eklampsia atau eclampsia, thrombotic microangiopathies, jangkitan kuman (sepsis), kekurangan air dalam badan (dehidrasi) disebabkan muntah berterusan (hyperemesis gravidarum).

*Kegagalan buah pinggang kronik boleh disebabkan penyakit kencing manis, hipertensi dan penyakit auto-imun seperti Sistemetik Lupus Eritematosus (SLE) iaitu antibodi seseorang bertindakbalas dengan tisu mereka sendiri dan menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi termasuk buah pinggang.

Tanda-tanda
Tiada tanda-tanda tertentu yang boleh mengesan masalah kegagalan fungsi buah pinggang dengan tepat.

Justeru penting bakal ibu menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang kehamilan mengikut jadual ditetapkan oleh doktor.

“Ujian mudah seperti ujian kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah akan membolehkan pengesanan penyakit buah pinggang pada peringkat awal dan seterusnya rawatan dapat diberikan dengan cepat.

“Kegagalan ginjal mempunyai impak ke atas kesihatan ibu hamil dan juga bayi dalam kandungan. Justeru, ibu hamil perlu sentiasa mengikut jadual pemeriksaan kesihatan yang diberikan oleh pihak hospital,” katanya.

Risiko ke atas bayi
Kegagalan fungsi buah pinggang boleh menyebabkan risiko tumbesaran terbantut semasa dalam kandungan, seterusnya ia akan menyebabkan berat badan yang rendah apabila bayi dilahirkan.

“Kemungkinan bayi perlu dilahirkan lebih awal melalui pembedahan caesarian kerana tumbesaran terlalu terbantut ataupun kesihatan ibu merosot. Kelahiran pra-matang akan menyebabkan masalah seperti kesusahan pernafasan kerana paru-paru bayi tersebut belum cukup matang.

“Doktor boleh cuba mengurangkan masalah ini dengan memberikan ubat steroid sekiranya masa kehamilan adalah kurang daripada 34 minggu tetapi masih terdapat kemungkinan bahawa bayi akan memerlukan pemerhatian dalam unit rawatan rapi dan mungkin juga memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Kegagalan buah pinggang ketika hamil juga boleh menyebabkan risiko kematian bayi dalam kandungan ataupun semasa bulan pertama selepas kelahiran.

Kesan ke atas bakal ibu
Bakal ibu juga berisiko mengalami kemerosotan buah pinggang dengan cepat dan adakalanya perlu menjalani rawatan dialisis.

“Bakal ibu juga berdepan risiko mengalami tekanan darah tinggi dan komplikasi termasuk sawan dan masalah organ lain seperti hati (eklampsia) dan bersalin pra-matang.

“Sekiranya tekanan darah ibu hamil sukar dikawal ataupun tumbesaran bayi dalam kandungan terlalu terbantut, maka bayi akan perlu dilahirkan lebih awal dan biasanya membabitkan keperluan menjalankan pembedahan caesarean,” katanya.

Nasihat kepada bakal ibu
Ibu hamil yang diketahui menghidap kegagalan buah pinggang kronik dinasihatkan supaya berbincang dengan pakar nefrologi sebelum mengandung supaya mereka dapat memperolehi maklumat penuh berkaitan risiko sekiranya mengandung dan juga supaya dapat mengoptimakan kesihatan mereka.

“Konsultasi ini penting jika mereka sedang makan ubat-ubatan dalam memastikan ia memberi kesan ke atas bayi dalam kandungan. Jika perlu, ubat akan ditukar kepada yang lebih sesuai. Ubat aspirin dalam dos rendah boleh membantu mengelakkan komplikasi pre-eklampsia dan vitamin seperti zat besi mungkin perlu untuk mengelakkan kekurangan sel darah merah (anemia).

“Tekanan darah juga perlu dipantau dengan rapi. Ubat darah tinggi yang sesuai dengan kehamilan mungkin perlu dimulakan supaya tekanan darah terkawal di bawah tahap 135/85. Sekiranya fungsi buah pinggang merosot kepada tahap serius, rawatan dialisis perlu dimulakan. Ada kalanya fungsi buah pinggang selepas bersalin akan sembuh kepada tahap asal tetapi adakalanya fungsi buah pinggang tidak sembuh dan oleh yang demikian, rawatan dialisis akan diperlukan secara tetap,” katanya yang menjelaskan rawatan dialisis tidak memberi kesan ke atas penyusuan bayi.

Bagi ibu hamil yang menghidap kegagalan buah pinggang akut, punca kegagalan tersebut perlu dirawat. Sebagai contoh, ubat antibiotik untuk jangkitan kuman, rehidrasi melalui cecair intravena ataupun mempercepatkan kelahiran bayi dalam kes pre-eklampsia/eklampsia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN