Ramai dalam kalangan kita tidak sedar bahawa terdapat sebuah penempatan atau perkampungan di Mekah yang diberi nama Ajyad Alssad.
Menariknya, penempatan ini ada kaitan dengan rakyat Malaysia sejak awal tahun 70-an lagi hingga kini.
Kawasan yang terletak di lereng bukit dengan pemandangan cantik termasuk sekitar Masjidilharam ini, sebelum ini merupakan kawasan kering kontang tanpa penghuni.
Ajyad, membawa maksud ‘kuda liar’ manakala Alssad pula membawa maksud ‘benteng’.
Bersesuaian dengan namanya yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari Masjidilharam.
Penempatan ini bermula sekitar awal tahun 70-an, di mana seorang penduduk dari Kelantan, Usop Jaafar telah datang ke Mekah menaiki kapal laut yang terakhir untuk mengerjakan ibadah haji.
Dikhabarkan jemaah itu kemudian menetap di Ajyad Alssad yang dihuni oleh banyak kuda dan keldai liar dengan mendirikan sebuah penempatan sementara. Ketika itu rumah yang didirikan merupakan kediaman pertama di kawasan berkenan.
Bermula dari situ, kawasan itu kemudiannya mula dihuni penduduk lain terutama yang datang dari luar Arab Saudi.
“Bermula dari atuk saya mendirikan rumah, kini sudah ada lebih 200 orang tinggal di sini termasuk kira-kira 50 rakyat Malaysia, manakala yang lain datang dari Pattani, Pakistan dan beberapa negara lain.
“Dengan bertambahnya penduduk, sebuah masjid didirikan dan diberi nama Masjid Kelantan,” kata Imam Masjid Kelantan di penempatan Ajyad Alssad, Ahmad Muhammad Yaacob Sulaiman Daud Alhasani.
Ahmad Muhammad merupakan cucu kepada Usop Jaafar.
Beliau yang merupakan rakyat Malaysia tetapi dilahirkan di Mekah telah menetap di penempatan berkenaan sejak lahir dan hanya tiga kali sahaja berpeluang pulang ke tanah air.
Nasi Arab hidangan kegemaran ramai
Selain nama Ajyad Alssad, ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia memanggil penempatan itu sebagai Kampung Kelantan atau Kampung Malaysia.
Ahmad Muhammad memberitahu, Ajyad Alssad sentiasa menjadi tumpuan rakyat Malaysia sejak dulu lagi tidak kira musim haji atau umrah.
Jelasnya, rakyat Malaysia yang berkunjung ke situ antara lain bagi merapatkan silaturahim selain meminta penduduk mengaturkan program doa selamat, tahlil dan sebagainya.
“Ada jemaah berkunjung ke sini meminta disediakan masakan nasi Arab,” katanya.sambil tersenyum.
Difahamkan, sejak musim haji baru-baru ini iaitu selepas PKP, setiap hari boleh dikatakan ada sahaja majlis atau program jemaah Malaysia di Ajyad Alssad diadakan sama ada di rumah penduduk Malaysia atau Masjid Kelantan.
Sesuatu yang amat menarik, setiap kali masuk waktu solat, azan akan berkumandang di Masjid Kelantan yang dilaungkan oleh anak Ahmad Muhammad, bernama Bilal, berusia enam tahun.
Selain Masjid Kelantan, terdapat sebuah masjid lain yang turut didirikan di penempatan tersebut berikutan pertambahan bilangan penduduk di situ.
“Jemaah di Masjid Kelantan, tidak terhad kepada rakyat Malaysia sebaliknya pelbagai termasuk Thailand dan Pakistan,’’ katanya.
Masjid berkenaan turut disemarakkan dengan pengajian agama Islam bagi mereka yang datang untuk menambah ilmu agama.
Sementara itu, Perunding Umrah dan Ziarah Hi-Fly Travel & Tours, Izudin Muhamad Amin bersama rombongan jemaah Malaysia memberitahu, kunjungan ke Ajyad Alssad antara aktiviti ziarah setiap kali mengerjakan umrah dan haji di Mekah.
Menurutnya, kunjungan ke Ajyad Alssad adalah atas permintaan jemaah yang mahu mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, selain merapatkan hubungan sesama rakyat Malaysia.
“Selalunya jemaah akan meminta orang Malaysia di Ajyad Alssad menyediakan masakan istimewa terutama nasi Arab,” katanya.










