Vaksinasi kurangkan 40 % kematian warga emas akibat Influenza - Utusan Malaysia

Vaksinasi kurangkan 40 % kematian warga emas akibat Influenza

NOOR Azmi Ghazali (empat, dari kiri) pada Kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pun habis cerita pandemik Covid-19, dunia dikejutkan dengan penularan virus influenza baru-baru ini sehingga menimbulkan keresahan banyak negara.

Apa yang pasti, influenza yang dikenali sebagai flu dan merupakan penyakit bawaan udara melalui sistem pernafasan itu mudah berjangkit dan berupaya menjadi wabak.

Warga emas antara yang berisiko dijangkiti virus influenza selain kanak-kanak, namun pengambilan vaksinasi itu masih lagi rendah dalam kalangan golongan berkenaan.

Situasi itu mungkin berpunca akibat salah tanggapan mengenai influenza dan selesema biasa, sekali gus menyebabkan masyarakat mengabaikan kepentingan suntikan tersebut.

Sedangkan pengambilan vaksinasi influenza terutama secara tahunan terbukti memberi kebaikan dalam menurunkan kadar kemasukan ke wad dan kematian warga emas berusia 65 tahun ke atas di negara ini sehingga lebih 40 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life (IFL), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, suntikan tahunan dalam masa sama mampu menghindarkan pesakit kencing manis daripada risiko strok, kegagalan dan serangan jantung.

Katanya, bagi pesakit jantung pula, vaksinasi influenza mengurangkan kemungkinan kejadian kardiovaskular di samping kematian sebanyak 18 peratus.

Malah, menurutnya, individu yang mengalami sindrom koronari akut turut dapat mengurangkan risiko kesan buruk sebanyak 45 peratus.

“Seiring dengan peningkatan usia, sistem imun kita akan menjadi lemah dan fungsi paru-paru merosot, maka adalah penting untuk warga emas mendapatkan suntikan influenza secara tahunan terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

“Influenza boleh memburukkan lagi keadaan pesakit jantung dan tindak balas keradangan badan bakal menyebabkan pembekuan dan kenaikan tekanan darah di samping bengkak atau parut pada jantung,” katanya ketika kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun baru-baru ini.

Program anjuran IFL dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali. Ia bertujuan memupuk kesedaran terhadap usaha pencegahan flu bagi mengekalkan kesihatan dan kualiti hidup warga emas.

Pengambilan vaksin influenza perlu dijadikan komitmen tahunan oleh warga emas dan usah menunggu sehingga wabak merebak untuk mendapatkan suntikan berkenaan.

Kata Zulkifli, warga emas terjejas influenza turut terdedah kepada jangkitan lain termasuk hilang kekuatan otot akibat lama terlantar atas katil.

“Keadaan itu sekali gus akan menyebabkan mereka kemurungan kerana hilang keupayaan berdikari, selain bebanan kepada keluarga kerana terpaksa menanggung kos hospital serta penjagaan yang tinggi,” katanya.

Vaksin percuma kepada warga emas B40
KETIKA ini vaksinasi influenza dijual pada harga antara RM60 hingga RM130 untuk setiap satu dos sama ada di premis kerajaan mahu pun swasta.

Harga yang murah di samping keperluan pengambilannya mendorong Zulkifli mencadangkan agar Malaysia mencontohi negara lain dalam menawarkan vaksin secara percuma kepada warga emas.

Buat permulaan usaha itu mungkin boleh diperkenalkan kepada mereka yang dalam kumpulan B40 dan rentan sebelum diperluaskan kepada seluruh warga emas.

“Sudah sampai masanya Malaysia mengikut jejak langkah negara-negara lain yang memberikan vaksin influenza secara percuma,” kata Zulkifli.

Sementara itu, Presiden Majlis Kebangsaan Persatuan-Persatuan Warga Kanan Malaysia (Nascom), Datuk Dr. Soon Ting Kueh berkata, pemberian vaksinasi influenza secara percuma sebagaimana Covid-19 diyakini dapat memastikan warga emas terhindar daripada jangkitan sekali gus menikmati kehidupan yang sihat hingga akhir usia masing-masing.

Kerajaan katanya perlu mempertimbangkan segera cadangan vaksin percuma bagi meringankan beban golongan warga emas yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perlindungan.

Jumlah keseluruhan warga emas di negara ini kini dianggarkan mencecah 1.7 juta orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN