Transplan buah pinggang adalah pilihan rawatan alternatif terbaik bagi penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD), sebagai penawar efektif dan meningkatkan peluang pesakit meneruskan kehidupan di samping membantu mengurangkan perbelanjaan perubatan dalam jangka panjang.
ESKD adalah keadaan di mana kedua-dua buah pinggang gagal berfungsi menyingkirkan bahan buangan dan cecair berlebihan dari tubuh.
Dialisis bukan pilihan terbaik untuk ESKD, sebaliknya mendedahkan pesakit kepada pelbagai komplikasi kesihatan lain seperti keletihan, kekejangan otot, anemia, penyakit tulang renal dan penyakit jantung.
KUALITI HIDUP
Kajian menunjukkan pesakit menjalani transplan buah pinggang, dapat menikmati jangka hayat melebihi lima tahun atau mencapai 90% berbanding yang tidak melakukannya.
Manfaat paling ketara adalah pesakit tidak perlu lagi merancang kehidupan mereka berdasarkan jadual dialisis.
Mereka hanya perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan sepanjang hayat untuk memastikan tubuh tidak menolak buah pinggang baharu.
Sekadar perbandingan, sebuah kajian menyebut, kos tahunan bagi seorang pesakit hemodialisis adalah RM39,790, manakala kos seorang pesakit menjalani dialisis peritoneal ambulatori adalah RM37,576.
Walaupun dua pertiga (67.1%) pesakit dialisis ditaja kerajaan Malaysia, 14.9% membiayai sendiri, manakala selebihnya dibiayai oleh badan kebajikan (13.2%), majikan (1.3%), insurans (0.5%) dan sumber-sumber lain.
Perkhidmatan transplan disediakan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang, Selangor.
Pesakit menjalani pembedahan pemindahan hanya membayar RM1,000 untuk keseluruhan prosedur dan dibekalkan ubat-ubatan imunosupresan sepanjang hayat mereka secara percuma.
Bagi perkhidmatan transplan dan ubat-ubatan di hospital-hospital Kementerian Pendidikan, contohnya Pusat Perubatan Universiti Malaya di Kuala Lumpur, cuma menerima subsidi separa dan bil hospital untuk transplan dianggarkan berjumlah kira-kira RM50,000 hingga RM60,000, manakala pesakit yang menjalani transplan di hospital swasta perlu membayar antara RM70,000 hingga RM100,000 untuk pembedahan ke atas penerima dan RM40,000 hingga RM60,000 untuk pembedahan ke atas penderma.
PENDERMA ORGAN
Pendermaan organ mesti sukarela dan tidak boleh dibuat untuk sebarang ganjaran atau pampasan.
Walaupun majoriti organ hanya boleh diambil dari penderma yang sudah meninggal dunia, buah pinggang adalah salah satu daripada dua organ yang boleh didermakan oleh penderma masih hidup (organ yang satu lagi adalah sebahagian daripada hati).
Ini amat penting buat pesakit ESKD kerana jumlah penderma organ yang sudah meninggal dunia amat sedikit di Malaysia.
Pangkalan data MyKAS (Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia) mendedahkan, terdapat 10,278 pesakit ESKD yang sedang menunggu transplan buah pinggang.
Walau bagaimanapun, hanya 20-40 transplan buah pinggang melibatkan penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun, iaitu kira-kira 1 dalam sejuta populasi.
Penderma masih hidup hanya boleh mendermakan salah satu buah pinggang kepada pasangan, saudara tahap pertama atau tahap kedua.
Saudara tahap pertama adalah ibu bapa, anak, atau adik beradik kandung.
Saudara tahap kedua adalah datuk atau nenek, cucu, ibu atau bapa saudara, anak saudara atau adik beradik tiri.
Penderma masih hidup juga boleh menderma kepada saudara yang lebih jauh, atau juga bukan ahli keluarga, menjalani penilaian oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dilantik oleh KKM, iaitu Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC) KKM sebelum prosedur tersebut boleh dijalankan.
Justeru adalah lebih baik untuk pesakit menerima organ dari penderma masih hidup yang telah menjalani penilaian untuk menentukan kesesuaian dan tahap kesihatan sebelum prosedur.
Ini kerana buah pinggang dari penderma meninggal dunia diambil dan disimpan di dalam ais (biasanya selama beberapa jam) sebelum ia dipindahkan ke dalam tubuh penerima.
Penderma sudah meninggal dunia juga berkemungkinan mengalami kecederaan buah pinggang sebelum pengambilan organ.
Oleh itu, buah pinggang dari penderma yang sudah meninggal dunia biasanya mempunyai tahap boleh hidup cantuman (graf) yang lebih rendah, di mana buah pinggang yang dipindahkan tidak dapat bertahan lama berbanding daripada penderma masih hidup.
Secara amnya, kadar tahunan kehilangan cantuman, di mana pesakit perlu menjalani dialisis semula kerana cantuman tersebut gagal adalah 4%.
Kebarangkalian ini sebenarnya masih baik berbanding pesakit ESKD yang meneruskan dialisis dan tidak menjalani transplan buah pinggang.
Pesakit ESKD yang telah menerima buah pinggang yang didermakan mempunyai peluang lebih baik untuk hidup lebih lama dan dengan kualiti hidup yang lebih baik, berbanding pesakit yang meneruskan dialisis.
Pesakit sedemikian boleh meneruskan semula kerjaya, tanpa halangan kepada pekerjaan mereka sekiranya mereka masih dalam usia bekerja.
Pesakit lebih muda juga boleh membina keluarga, jika mereka mahu dan ini sukar untuk dilakukan sekiranya mereka menjalani dialisis.
Oleh itu, sekiranya ada peluang untuk pesakit ESKD yang layak menerima buah pinggang yang didermakan, sama ada dari penderma yang sudah meninggal dunia atau masih hidup, kami amat menggalakkan mereka berbuat demikian.
————
Dr. Wong Hin Seng ialah Pakar Perunding Kanan Nefrologi; Ketua Unit Transplan Renal, Ketua Jabatan Nefrologi dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal di Hospital Selayang, Selangor.










