‘Raja pahit’ buah yang banyak khasiat - Utusan Malaysia

‘Raja pahit’ buah yang banyak khasiat

Liza Md. Salleh (tengah) dan beberapa pekerja menunjukkan beberapa produk yang dihasilkan daripada pati minyak buah tunjuk langit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja tunjuk langit, ramai yang mengenali buah ini membayangkan betapa pahit rasanya. Jika ada yang membandingkan rasa pahitnya dengan buah peria, pasti semua yang pernah merasainya mengakui buah ini jauh lebih pahit.

Separti ungkapan orang tua-tua dahulu, yang pahit itu banyak khasiat dan manfaatnya terhadap kesihatan.

Bukan omongan kosong, buah tunjuk langit atau nama saintifiknya Swietenia Macrophylla mempunyai banyak khasiat dan dibuktikan menerusi hasil kajian saintifik yang antara lain memiliki tahap antioksidan dan antidiabetik yang tinggi.

Antara pencinta yang sanggup menghabiskan masa sehingga tujuh tahun untuk mengkaji khasiat tunjuk langit ialah Pensyarah dan Penyelidik Program Kejuruteraan Bioproses dan Polimer, Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Liza Md. Salleh.

Baru-baru ini, beliau dan pasukan penyelidikannya berjaya menghasilkan tunjuk langit dalam bentuk makanan tambahan.

“Kajian dan penyelidikan saya lakukan mendapati buah tunjuk langit mempunyai banyak khasiat dan manfaat terhadap kesihatan.

“Tetapi tidak ramai yang tahan dengan rasanya yang terlalu pahit,” katanya.

Minyak pati buah tunjuk langit dicampur dengan minyak zaitun yang turut terkenal dengan pelbagai khasiatnya untuk kesihatan.

“Gabungan 10 peratus minyak pati tunjuk langit dan 90 peratus minyak zaitun mengurangkan rasa pahit. Kedua-dua memang telah terbukti mengandungi pelbagai khasiat.

“Bagi memudahkan pengambilannya, gabungan kedua-duanya dimasukkan ke dalam kapsul gel yang lembut dan mudah ditelan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

KHASIAT TUNJUK LANGIT
Penghasilan kapsul gel yang lembut bukan sahaja memudahkannya untuk ditelan, malah yang paling utama adalah khasiatnya.

Hasil kajian Dr. Liza membuktikan bahawa buah ‘raja pahit’ ini mempunyai tahap antioksidan dan antidiabetik yang tinggi.

Justeru, ia mampu merendahkan kadar kandungan glukos dalam darah.

Hasil analisis makmal juga membuktikan pati minyak tunjuk langit yang terhasil mempunyai kandungan lemak tepu yang sangat rendah berbanding minyak kekacang lain seperti badam dan biji chia.

“Kajian antidiabetik yang dilakukan mendapati ekstrak minyak tunjuk langit mampu merendahkan paras glukos dalam darah menerusi tindakan enzim, dengan beberapa testimoni pengguna awal terhadap produk prototaip yang diuji tahun lalu, menunjukkan ia mampu mengawal paras glukos dalam darah.

“Penyelidikan yang dijalankannya juga mendapati minyak ini mengandungi kandungan Omega 3, Omega 6, Omega 9 selain Beta Sitosterol yang baik untuk tenaga dan masalah penyakit prostat bagi lelaki,” katanya.

Buah tunjuk langit juga sememangnya terkenal di Nusantara dengan kaedah konvensional pengekstarakannya sebelum ini adalah dengan menghiris bijinya sebelum dikeringkan dan direndam dengan air panas untuk diminum bagi mendapatkan khasiatnya.

Kaedah lain termasuk menumbuk biji buah berkenaan bagi mendapatkan khasiatnya.

Kajian saintifik lain sebelum ini juga membuktikan terdapat kandungan flavonoid dan saponin yang tinggi dalam biji tunjuk langit yang memberikan kesan antioksida yang tinggi serta mampu membantu meredakan penyakit, antaranya kencing manis, gout, sakit sendi dan darah tinggi.

Selain itu, ia dapat menurunkan kadar gula dalam darah serta membantu individu yang mempunyai masalah lebihan berat badan serta mampu mengurangkan kesakitan migrain.

EKSTRAK GUNA TEKNOLOGI TINGGI
Lebih mengagumkan, proses mengekstrak pati minyak tunjuk langit menggunakan teknologi tinggi, malah merupakan inovasi formulasi yang pertama seumpamanya di dunia.

Pati minyak biji tunjuk langit tulen, sekali gus dijadikan kapsul gel lembut bagi mendapatkan khasiat herba itu secara optimum tanpa campuran bahan kimia.

Teknologi pengekstrakan biji buah tunjuk langit itu telah dipatenkan sebagai harta intelek oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), manakala lebih 10 jurnal berindeks, teknologi ciptaannya itu juga sudah diterbitkan sebagai rujukan dunia.

Inovasi bagi formulasi produk dalam bentuk kapsul gel lembut bagi minyak biji tunjuk langit dengan tujuan memudahkan penyimpanan dan menghilangkan rasa pahit semula jadi ketika diambil.

Selaku penyelidik dan pensyarah kejuruteraan bioproses dan polimer UTM, beliau mempatenkan dan mengkomersialkan hasil inovasi berikutan galakan UTM sebagai majikan selain menyahut seruan kerajaan supaya penyelidik di institusi pengajian tinggi tempatan mengetengahkan hasil kajian yang dilakukan.

Dr. Liza mengaku memilih membuat kajian terhadap buah tunjuk langit sejak tujuh tahun lalu berdasarkan pendapat profesional dari pakar bioteknologi yang menyatakan biji buah ini mengandungi banyak khasiat semula jadi yang boleh dijadikan penawar bagi membantu dan meningkatkan sistem peredaran darah dalam tubuh manusia.

Lebih membanggakan, prototaip kapsul gel lembut buah tunjuk langit ciptaannya berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai produk inovasi terbaik dan mendapat pingat emas dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa termasuk Pecipta’19 dan Seoul International Invention Fair (SIFF) 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×