Kisah lelaki dan jambang - Utusan Malaysia

Kisah lelaki dan jambang

MENANAM jambang bagi mereka yang tiada jambang berbeza dengan mereka yang sedia tumbuh jambang secara fitrah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara perkara menarik perhatian saya sewaktu menetap di Turkiye dulu adalah kisah lelaki dengan gaya rambut dan jambangnya.

Mereka suka berhias. Hampir kesemua gaya rambut lelaki Turkiye sama.

Gaya rambut mereka mudah, bahagian tepi dan belakang dipotong pendek habis, belah atas pula dibiarkan sedikit pendek dan dicacakkan ke atas, selalunya ke sebelah kanan.

Kalau jenis berjambang, mereka akan sesuaikan dengan gaya potongan rambut mereka.

Berbeza kalau kita perhatikan lelaki Melayu. Mereka memiliki gaya rambut bermacam ragam mengikut perbezaan jenis salon atau kedai gunting rambut mereka kunjungi. Kita boleh membezakan rambut seseorang itu digunting sama ada di kedai gunting rambut Mamak, Melayu atau Cina.

Penggayaan jambang lelaki Turkiye menarik diperkatakan. Ada bermacam jenis jambang yang ada tetapi rata-ratanya sudah tentu berjambang pendek dan berkumis ringkas.

Muhammed Cakir, 30, menggunakan sabun tradisional pada jambang untuk mengelakkan ia daripada menjadi serabut. Beliau turut menggunakan syampu rambut dan krim pelembut dalam menjaga kebersihan.

“Setelah membilas, saya sapukan pula sejenis minyak Argan yang dibuat dari pokok Argan lalu mengeringkannya.

“Minyak ini dapat menyuburkan janggut dan menghalang ia daripada keguguran,” katanya.

Anak tempatan kota Erzurum, ini turut menyapu minyak zaitun sebelum mandi bagi menjadikan warna rambut dan jambang kelihatan lebih terang dan kuat.

Bagi golongan Islamik pula, mereka memiliki jambang yang amat panjang tetapi kemas dan bersih.

Tengok sahaja gambar-gambar Sultan zaman Turki Uthmaniyah dulu.

Biasanya lelaki yang jenis suka cukur jambang, hanyalah disebabkan faktor pekerjaan yang melarang mempunyai jambang lebat.

Jambang & Janggut bezakan jantina
Pertandingan jambang dan misai terpanjang atau tercantik pun banyak diadakan di Turkiye dan mendapat sambutan luar biasa dari warga sana.

Pada pertandingan tu, macam-macam jenis gaya jambang yang pelik boleh diperhatikan.

Beberapa tahun lepas, seorang guru Madrasah di Turkiye pernah mengatakan bahawa lelaki perlu ada jambang dan janggut lantaran ia adalah dua bahagian badan yang memisahkan antara lelaki dan wanita.

Dia juga memberi contoh sekiranya kita melihat seorang lelaki berambut panjang dari jauh, kita mungkin akan menganggap dia seorang wanita kalau dia tak ada janggut.

Kenyataan guru madrasah ini sudah tentu menyakitkan hati golongan sekular dan bukan pencinta jambang.

Tetapi menurut pandangan saya, tak ada salah pun dengan kenyataan beliau bahkan saya sendiri berpendirian bahawa kaum lelaki lebih baik ada sedikit jambang.

Bukankah menyimpan jambang adalah salah satu daripada sunnah Nabi SAW?

Bab menyimpan jambang Ini memang dijadikan tumpuan oleh sebahagian ulama Islam. Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari berkata: Makruh (mencabutnya) iaitu jangut pada awal pertumbuhannya, sebab mengutamakan ketampanan (kekacakan) dan keelokan paras rupa.

Trend berjambang semakin mendapat tempat di seluruh dunia terutamanya di Malaysia dengan pilihan pelbagai jenis krim dan pelincir untuk tumbuhkan jambang boleh didapati.

Saya menyokong penuh usaha dan aliran seperti ini namun janganlah sehingga menjadi tertekan kalau tak berjambang kerana setiap bangsa itu diciptakan sesuai dengan keadaannya.

Lelaki Melayu selalunya tak berjambang, hanya sekadar berkumis pendek dan janggut halus. Itu pun dah cukup kalau nak ikut sunnah Nabi SAW.

Seperkara perlu diketahui, tak semua lelaki sesuai berjambang.

Pernah tengok lelaki Korea atau Jepun berjambang? Mesti rasa pelikkan?

Sebab apa? Sebab mereka diciptakan tanpa jambang dan sesuai dengan keadaan seperti itu.

Yang lebih merugikan, individu yang dikurniakan rezeki jambang tiba-tiba pergi cukur habis pula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN