PENDUDUK Kampung Telok Bakong, Bota di Perak Tengah, berbangga dengan kejayaan filem pahlawan Melayu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang sedang mencetuskan fenomena sehingga mencatat kutipan lebih RM90 juta sejak ditayangkan pertengahan Jun lalu.
Ini berikutan, ramai penduduk kampung itu dan beberapa kampung sekitar daerah Perak Tengah terlibat sebagai pelakon tambahan.
Mereka diambil berlakon apabila satu kawasan rekreasi popular di kampung itu dikenali sebagai ‘Padang Koba’ atau padang kerbau yang terletak di tepi Sungai Perak menjadi lokasi penggambaran filem yang dijalankan sekitar 2018.
Rasa bangga itu dizahirkan seorang penduduk Kampung Telok Bakong yang terlibat menjayakan watak orang kampung, Sabaruddin Zakaria, 56.
Katanya bangga itu bukan hanya atas faktor dia berlakon atau disebab kampungnya menjadi lokasi utama penggambaran, sebaliknya disebabkan semangat perjuangan ditonjolkan dalam naskhah berkenaan.
“Berdasarkan sambutan hangat penonton, saya percaya filem ini memberi kesan yang besar dalam menyemai semangat cintakan agama, bangsa dan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Mengimbas wataknya semasa penggambaran filem Mat Kilau, Sabaruddin berkata, dia dan penduduk lain diberikan watak sebagai orang kampung menentang penjajah.
“Semasa adegan bertempur dengan penjajah, berlaku kejadian yang masih saya ingat hingga hari ini apabila kepala saya terkena ‘pisau’ yang diperbuat daripada kayu, menyebabkan kepala saya berdarah kerana luka dan kena sembilan jahitan.
“Kejadian itu berlaku kerana saya lambat mengelak serangan lawan namun kejadian itu tidak menjejaskan penglibatan saya untuk terus menjayakan filem itu.
“Hingga kini saya masih merasai keseronokan berlakon dalam filem itu, cukup bersemangat apatah lagi filem itu mencetuskan fenomena dan mencatat sejarah sebagai filem paling laris,” katanya.
Mat Kilau merupakan filem berdasarkan fakta sejarah yang diadaptasi ke layar perak mengenai pahlawan Melayu yang telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 Jun lalu.
Filem itu dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin dan Datuk Jalaludin Hassan.
Paduka demang
Kawasan lapang Padang Koba Teluk Bakong di tepi Sungai Perak, mempunyai pemandangan menarik selain suasana kampung.
Keindahan itulah antara faktor tempat itu dipilih sebagai lokasi penggambaran filem Mat Kilau.
Ia juga kian popular sebagai kawasan rekreasi untuk bersantai seperti berkelah dan berkhemah.
Lokasi itu sebelum ini tular dengan beberapa video keadaan tempat itu yang diedit dengan video persembahan grafik, kemunculan cruise, kapal terbang malah watak-watak hero dalam filem, kononnya telah muncul di padang itu.
Begitupun, Padang Koba sebenarnya turut popular dengan seorang lelaki Kamarul Baharin Aharuddin, 50, atau dikenali dengan nama Paduka Demang yang suka berceloteh dalam loghat Perak Tengah.
“Alhamdulillah, Padang Koba sudah semakin dikenali sebagai tempat riadah, berehat dan santai malah boleh mandi manda di Sungai Perak, itupun semasa air sungai surut, jaga keselamatan diri sendiri semasa berekreasi di sini.
“Pemandangan di sini cantik, boleh mengabadikan gambar perkahwinan.
“Saya hanya ‘tukang canang’ mengenai keindahan pemandangan di Padang Koba dan gembira kerana tempat ini semakin dikenali,” katanya.
Mengimbau kenangan berlakon dalam filem berkenaan katanya, dia masih ingat ketika penggambaran filem itu pada tahun 2018 diadakan selama kira-kira tiga bulan di Padang Koba dan sekitarnya.
“Tempoh penggambaran agak lama, lebih kurang tiga bulan. Di padanglah dibina pelbagai set penggambaran seperti gudang, khemah British dan babak pertempuran pun dibuat di padang ini.
“Apa yang menyeronokkan, ramai penduduk kampung ini dan dari kampung berhampiran turut berlakon. Lebih kurang 300 orang semuanya.
“Kami semua bangga kerana kampung kami menjadi lokasi penggambaran filem yang menjadi fenomena sekarang.
“Malah kami gembira kerana tempat ini semakin terkenal di seluruh negara sebagai kawasan rekreasi dan bersantai,” katanya.
Temu bual wartawan bersama penduduk Padang Koba ini dijalankan awal Julai lalu dan ketika itu mereka masih belum berkesempatan menonton Mat Kilau.
Padang Koba diurus dengan baik
UNTUK memastikan Padang Koba dijaga dan diurus dengan baik, penduduk menubuhkan satu jawatankuasa khas dinamakan Ukhwah Komuniti Telok Bakong yang dipengerusikan oleh Mohd. Saiful Nizam Alang Ibrahim, 42, sebagai pengerusi sementara untuk menguruskan tempat itu.
Objektif jawatankuasa itu ialah untuk mengekalkan keindahan Padang Koba selain terus menaikkan nama tempat itu supaya terus dikenali.
Katanya, sejak dikenali, penduduk kampung turut mendapat manfaat terutama dengan kehadiran pengunjung.
“Padang Koba menjadi tumpuan orang ramai beriadah terutama pada hujung minggu dan cuti umum. Ini secara tidak langsung mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk malah setakat ini terdapat hampir 30 gerai menjual pelbagai makanan dan minuman untuk pengunjung.
“Tempat ini boleh dimajukan lagi jika ada pihak yang sedia membangunkannya namun tanpa sebarang syarat.
“Di sini boleh dibina lansdkap untuk rekreasi dan merakamkan gambar sempena perkahwinan, kawasan riadah dan untuk berkhemah selain menjadi tempat untuk program-program apa juga agensi termasuk agensi kerajaan,” katanya.










