BERTEMBUNG dengan dua lagi penganjuran konsert membabitkan artis bernama besar tanah air, tidak sedikit pun membuatkan penyanyi bertaraf legenda ini tergugat untuk meneruskan konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Sabtu lalu.
Biarpun sebelum ini pernah terbit daripada mulutnya yang dia rela beralah bagi memberi ruang kepada artis lain menganjurkan konsert, kalau sudah dinamakan rezeki, tetap jua akan menjadi miliknya.
Kuntuman senyuman tidak lekang yang menghiasi riak wajahnya sepanjang malam, seolah-olah memberi gambaran betapa gembiranya Datuk Aishah Ariffin kerana akhirnya berpeluang merealisasikan sebuah impian yang sudah sekian lama dipendam.
Hal itu juga menjadi antara perkara pokok yang diselit dalam ucapannya ketika berinteraksi bersama penonton di dalam dewan, selain berkongsi keterujaan berada di pentas berprestij menyajikan persembahan secara solo.
Bak kata Aishah, sungguh jauh perjalanan yang ditempuh bagi membolehkan hasratnya untuk berada di pentas DFP menjadi kenyataan dan dua tahun, perasaannya bagaikan cukup lama.
“Selama 36 tahun saya menyanyi, menunggu saat untuk mengadakan sebuah konsert penuh bersama iringan orkestra, akhirnya ia menjadi kenyataan.
“Ia sememangnya bagaikan perjalanan yang sangat jauh. Apabila peluang diberikan oleh pihak Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan telah berlatih bagai nak rak, tiba-tiba pandemik pula berlaku.
“Sepanjang tempoh menunggu untuk merealisasikan konsert, dua kali saya diuji dengan jangkitan Covid-19. Hampir 20 peratus juga paru-paru saya alami kerosakan, tetapi itu semua tidak mematahkan semangat saya,” katanya.
Benar. Menerusi semangat yang terkumpul itulah Aishah membuktikan kepada semua bahawa penantiannya untuk mengadakan konsert begitu berbaloi.
Seisi dewan yang dihadiri kurang lebih 920 penonton nyata terhibur dengan ‘hadiah’ persembahan Aishah yang menggamit memori.
Apatah lagi, seleksi lagu yang dinyanyikan sudah sebegitu lancar bermain di bibir peminat yang hadir.
Sebanyak 25 lagu disusun cantik untuk persembahan konsert Aishah & MPO : A Symphonic Rendezvous dan kesemuanya dipimpin oleh konduktor tersohor, Ahmad Muriz Che Rose.
Antara lagu malar segar yang dipilih untuk dihadiahkan kepada peminat ialah Kasih Kita; Kau Yang Istimewa; Bayangan; Hening; Hanakage; Kemaafan Dendam Yang Terindah; Kau Sahabat, Kekasih dan Teman; Camar Yang Pulang, Seloka Rindu dan Janji Manismu.
Selain itu, beberapa lagu dipersembahkan secara medley seperti Tiada Duka, Jari-Jariku Sakit Semua, Menanti dan Malam.
Tidak cuma itu, medley seleksi popular The Fan Club antaranya Sensation, I Feel Love dan Don’t Let Me Fall Alone yang pernah menembusi carta Billboard, Amerika Syarikat (AS) pada 1989 juga menjadi pilihan Aishah untuk menghiburkan penonton.
Jangan tidak tahu, walaupun dirinya sudah berusia separuh abad, untuk lagu rancak, Aishah kelihatan sangat menyakinkan. Sesekali, Aishah ‘belanja’ penonton dengan gerak tari mengikut rentak lagu, membuatkan penonton kagum dengan energi yang dimilikinya pada malam itu.
Ternyata, she still got the groove! Malah, tidak salah untuk dikatakan bahawa penyanyi ini benar-benar ingin berseronok di pentas besar itu, sekali gus membuang stigma kolot bahawa, wanita berusia tidak boleh berseronok.
Daripada aspek vokal, sudah tentu ia tidak perlu dipertikaikan lagi. Sedap, mantap dan jelas butir nyanyiannya membuatkan penonton terbuai bagai mendengar nyanyian dari rakaman kaset. Begitulah diumpamakan.
Rasanya, Aishah adalah antara artis tempatan yang sangat bertuah kerana kesemua lagu yang dipersembahkan dengan iringan orkestra pada malam itu, kedengaran sangat tepat dan sempurna.
Benar sebelum ini sudah ada artis lain yang membuat persembahan dengan iringan orkestra. Tetapi ‘bunyi’ sesempurna persembahan Aishah, sukar untuk didengar. Indah!
Memang rugi peminat yang tidak dapat hadir ke konsert tempoh hari. Menerusi persembahan yang dijayakan sempena konsert tersebut, Aishah benar-benar meletakkan dirinya pada kelas yang tersendiri.
Tahniah dan terima kasih Aishah atas memori yang ditinggalkan buat peminat dan penonton di DFP tempoh hari. Ada rezeki mahu dengar dan saksikan lagi.









