TIDAK timbul soal terguris hati atau tidak boleh menerima kritikan dan kecaman. Sebaliknya, tindakan tegas yang diambil penerbit filem Gadis Jolobu The Movie untuk menyaman seorang YouTuber bertujuan mengekang kelakuan mana-mana individu tidak bertanggungjawab yang mengkritik di luar landasan profesionalisme.
Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif filem tersebut, Saraleana Nattaya Azmi berkata, tidak wujud istilah cepat melatah atau tidak boleh dikritik, malah dia akur ramai pengkritik lain memberikan pandangan kurang memberangsangkan terhadap naskhah itu.
“Dia menghentam dan bukan mengkritik. Ada ramai sahaja blogger atau media lain yang mengkritik filem ini, tetapi tidaklah sehingga menggunakan bahasa yang sangat biadab. Ini bukan soal saya atau produksi yang cepat melatah. Langsung tidak timbul hal itu,” katanya.
Sara berkata, seandainya tindakan tegas tidak segera diambil, dia bimbang akan wujud lebih ramai pengkritik yang tidak rasional dalam melontarkan kritikan dan ia boleh melumpuhkan semangat dan perjuangan penggiat seni.
Tambah Sara, begitu banyak usaha dilakukan oleh penggiat seni kreatif untuk melonjakkan naskhah tempatan dan inisiatf mereka itu tidak seharusnya dihancurkan dengan mudah oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Bukan mudah untuk penggiat seni menghasilkan sesebuah naskhah. Bukan sedikit kos yang terpaksa dikeluarkan, malah ada yang terpaksa mendapatkan dana. Jika orang lain tidak mahu bangkit melawan, tidak mengapa.
“Saya sanggup berdiri tuntut keadilan. Saya kena bertindak tegas, terutama untuk mempertahankan pelapis dalam industri perfileman. Mereka kena tahu tidak semua yang lantang mengkritik peduli atau ambil berat terhadap industri perfileman kita.
“Ada yang melakukannya semata-mata untuk kandungan dalam saluran YouTube mereka. Disebabkan itu, segelintir pengkritik tidak pernah pandang tinggi filem tempatan, sebaliknya lebih mengangkat filem luar terutama dari Hollywood,” katanya.
SOKONG NASKHAH TEMPATAN
Sara turut menyeru peminat filem agar terus memberikan sokongan kerana ia menjadi pembakar semangat untuk mereka terus menghasilkan karya lebih berkualiti, seterusnya mengangkat produksi tempatan di mata dunia.
“Seharusnya, kita semua saling menyokong dan membantu mengangkat filem tempatan. Ini juga antara usaha dan sasaran saya apabila menerbitkan Gadis Jolobu. Saya nak bawa filem ini ke luar negara dan tonjolkan keunikan wajah filem kita di mata dunia.
“Jadi, orang kita kenalah sokong supaya orang lain mempercayai naskhah kita,” katanya mengenai filem yang diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.
Tambah Sara lagi, filem arahan CL Hor itu memiliki kekuatan tersendiri apabila memaparkan keunikan adat dan budaya Negeri Sembilan.
“Selepas tayangan di Malaysia, Gadis Jolobu akan dibawa pula ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.
“Kami menghasilkan filem dialek kerana mahu membawa kandungan tempatan ke peringkat global. CL Hor banyak mengetengahkan sinematografi cantik dengan memperlihatkan kawasan kampung dan sawah padi, sekali gus penonton asing boleh menikmati keindahan Malaysia apabila filem ini ditayangkan di luar negara,” katanya.
Sementara itu, CL Hor pula yakin filem Melayu kedua garapannya selepas Haq yang dihasilkan pada 2010 mampu berdiri setanding filem genre lain.
Katanya, Gadis Jolobu memaparkan adat dan budaya yang berwarna-warni dengan sinematografi persekitaran kampung, disulam elemen komedi untuk memberikan lebih perisa dalam usaha memperkenalkan filem Malaysia di mata dunia.
“Saya sudah lama mengimpikan untuk menghasilkan filem yang mengetengahkan budaya tempatan kerana Malaysia mempunyai banyak tarikan lokasi yang cantik. Impian saya menjadi kenyataan menerusi Gadis Jolobu,” katanya.
Filem yang ditayangkan di pawagam GSC seluruh negara mulai 4 Ogos itu menjalani penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan. Ia memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dalam usaha mencari jodoh di kampung halaman. Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain di fikiran, membuatkan mereka berusaha mencari jodoh, walaupun berdepan pelbagai dugaan.









