MENGHAMPIRI Ogos, bulan memperingati tarikh kemerdekaan negara, mereka yang sayangkan negara tentu tidak membiarkan bulan ini berlalu tanpa terlintas sekelumit perasaan damai di hati. Betapa syukurnya berada di sebuah negara yang merdeka, makmur dan berdaulat.
Memerdekakan tanah air yang berasal namanya Persekutuan Tanah Melayu bukan melalui jalan mudah. Banyak rintangan dan cabaran terpaksa ditempuh oleh tokoh-tokoh lampau. Mereka gigih berjuang, bercagar semangat kental untuk mengembalikan tanah air tercinta ini ke pangkuan bangsa sendiri.
Bacalah catatan dalam buku-buku sejarah tanah air yang tulen untuk menghayati kisah suka duka perjuangan menebus kemerdekaan negara daripada tangan penjajah. Sejarah tidak pernah membohongi kenyataan. Membacanya mungkin melahirkan rasa insaf dan sedar untuk mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang sedang dinikmati.
Jangan ketepikan politik. Perjuangan politik waktu itu berdiri atas nama kesepakatan di antara kaum sambil bertunjangkan masyarakat peribumi menjadi paksi kepada wadah kemerdekaan. Semuanya berjalan di atas semangat demi memerdekakan tanah air. Tiada percakaran atau perebutan sesama sendiri. Dan, semangat persefahaman sihat yang tinggi ini terus memancar cahaya gemilang negara sehingga melangkaui enam dekad.
Justeru, wajar kalangan mereka yang banyak berjasa ini sentiasa dikenang dan dihargai dengan sikap dapat menerima, memahami dan menghormati segala apa yang sudah termaktub dalam perjanjian sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tambah menyemarak kehidupan apabila lahirnya pula Malaysia pada 16 September 1963. Bersama menikmati harmoni dengan wujudnya ‘tautan kekeluargaan’ di antara rakyat Semenanjung dengan rakyat Sarawak dan Sabah. Terpisah oleh Laut China Selatan, namun di hati tetap subur jalinan perpaduan.
Malaysia unik, istimewa dan tersendiri. Sehingga ada warga asing pernah mengungkap, “Kesian rakyat Malaysia jika ada yang masih cuba mengganggu harmoni dan kestabilan yang ada, kerana suasana begini bukan mudah dicapai oleh banyak negara.”
Betul, menyemarakkan rasa cinta negara dan menyemak jati diri bangsa tidak terbatas pada musim dan ketika. Tetapi setidak-tidaknya di bulan memperingati kemerdekaan turut memperingatkan semua yang bergelar warganegara melihat sejauh mana usaha mengisi kemerdekaan serta mengekalkan kestabilan dapat sama-sama diberi perhatian.
Warga sebuah negara merdeka perlu memperkukuh perpaduan agar tidak timbul isu yang boleh mengeruhkan hubungan kaum. Elak bersikap prejudis, bersifat cauvinisme. Jika ada unsur-usur yang merosakkan perpaduan, hatta dalam soal politik, seluruh rakyat berhak menolak dan menghantar isyarat jelas kepada pihak-pihak terbabit bahawa majoriti rakyat negara ini tanpa mengira kaum mahu hidup aman damai.
UNDI18
Nyatakan kepada semua bahawa rakyat ingin kekal dengan konsep kehidupan berasaskan kata sepakat, hidup secara sederhana, mengharapkan liputan kecaknaan kerajaan secara inklusif serta menentukan layanan adil saksama kepada semua. Antara jati diri lain yang perlu diserlahkan oleh setiap warganegara termasuk bersikap rajin berusaha, berintergriti, menghasilkan mutu kerja yang efisien serta berproduktiviti tinggi. Bebaskan imej sektor awam dengan isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Anak-anak muda perlu mengisi dada dengan ilmu yang sesuai dan secukupnya. Isikan negara merdeka ini dengan nilai kendiri yang terbaik serta menjadi modal insan bermutu bersilih generasi.
Cabaran kepada anak-anak muda untuk menghayati tuntutan menegakkan keutuhan bangsa dan negara dengan merujuk kata-kata, “Jika mahu menjangka masa depan sesebuah negara, lihatlah gelagat anak muda yang ada.” Waspada dengan sebarang gejala atau pengaruh yang boleh melalai dan melekakan. Guna Undi18 sebaiknya pada pilihan raya umum tidak lama lagi.
Jati diri lain yang perlu diberi perhatian ialah mementingkan nilai budi dan peradaban. Sama-samalah membina bangsa yang tegak bertamadun serta bermaruah tinggi. Ramah bertutur, bijak bertindak.
Dunia kehidupan menjadi sempit jika diabai nilai-nilai kebaikan. Ini termasuk soal menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar.
Seni budaya harus dihidupkan dan dipergiatkan. Aspek ini antara yang menjadi lambang kemeriahan suasana kehidupan sesebuah bangsa. Lapangan sukan juga boleh menyumbang mengharumkan nama negara.
Semangat patriotisme perlu sentiasa hangat bertenaga. Kalangan anak bangsa perlu bersedia menganggotai pasukan keselamatan. Biar tersemat tekad mahu mempertahankan setiap inci tanah air daripada dicerobohi oleh sesiapa. Pendatang asing hanya dibenar datang mencurah tenaga, bukan kekal menghuni selamanya.
Sementara, aspek agama tidak kurang pentingnya memperkukuh jati diri, memandu arah amalan kebaikan dan menjauhkan diri daripada sebarang kemungkaran.
Lalu, himpun dan persegarkanlah segala aspek jati diri bangsa demi menyumbang ke arah kestabilan, kemakmuran dan kesentosaan negara. Kemerdekaan, biar tegak meniti zaman, setiap sudut diisi kekuatan, setiap ruang dipenuhi kemajuan.-UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











