Dinamik politik Selangor, PRU15

Dinamik politik Selangor, PRU15

PARTI-PARTI yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinasihatkan tidak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pengundi India.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONVENSYEN Barisan Nasional (BN) peringkat Selangor baharu sahaja melabuhkan tirainya tempoh hari. Perjalanan konvensyen tersebut berjalan lancar dalam suasana yang menggembirakan, memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permohonan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Ia berkaitan pindaan perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selesainya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun, apakah semangat yang ditunjukkan oleh para perwakilan sudah mencukupi untuk BN Selangor merampas Selangor yang dikuasai oleh PKR sejak PRU12?

Sekiranya mengimbau kembali sejarah pola pengundian pada setiap pilihan raya di Selangor, jelas kelihatan sebahagian besar pengundi Melayu di luar bandar setia bersama UMNO/BN. Sebaliknya pengundi bukan Melayu dikesan lebih cenderung menyokong parti bukan UMNO, sebuah parti yang menerajui perikatan iaitu gabungan parti UMNO, MCA dan MIC sebelum tertubuhnya BN.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan PRU3 yang diadakan pada 1969 bukan sahaja jelas menunjukkan trend pemikiran dan pilihan pengundi Selangor, bahkan menjadi asas untuk unjuran terhadap pemikiran dan pemilihan pengundi bukan Melayu.

Pada PRU3, Perikatan hanya memenangi 14 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor. DAP pula memenangi sembilan kerusi, Gerakan (4) dan Bebas (1). Meskipun kehilangan majoriti dua pertiga, Perikatan berjaya membentuk kerajaan di Selangor. Perikatan dilaporkan hanya dapat bernafas dengan majoriti lebih satu undi dalam DUN Selangor. Sebahagian besar pengundi bukan Melayu menyokong DAP dan Gerakan yang merupakan dua parti pembangkang yang baru ditubuhkan.

Pengundi bukan Melayu pada ketika itu didakwa mengalihkan sokongan kepada DAP dan Gerakan kerana terpengaruh dengan isu dan sentimen perkauman yang dibangkitkan dalam kempen. Perkembangan pemikiran politik ‘pecah belah’ semata-mata untuk meraih kuasa politik bersandarkan sentimen kaum terhenti buat sementara waktu apabila gagasan BN ditubuhkan.

Parti lawan ketika itu seperti Gerakan dan Pas menyertai gagasan BN, namun pemikiran menolak UMNO yang bertunas pada 1969 meletup pada PRU12 (2008) apabila isu perkauman dibangkitkan semula dalam kalangan rakyat bukan Melayu, khususnya pengundi India. Pada PRU12, BN memenangi 20 daripada 56 kerusi DUN, manakala DAP memenangi 13, PKR (15) dan Pas (8). BN kehilangan kuasa majoriti dalam DUN untuk menubuhkan kerajaan Selangor.

Peningkatan sokongan kepada parti pembangkang didakwa disebabkan timbulnya sentimen menolak UMNO dalam kalangan pengundi India yang ditiupkan oleh gelombang Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf). Kesannya, semua wakil MIC yang bertanding bagi DUN Selangor kecundang dalam PRU12.

Dalam pada itu, pada PRU13, pembangkang menubuhkan pakatan politik yang dirujuk sebagai Pakatan Rakyat (PR) antara PKR, DAP dan Pas. Sebahagian besar pengundi bukan Melayu di Selangor telah terpengaruh dengan propaganda politik PR yang menimbulkan persepsi buruk terhadap pemimpin dan kerajaan BN. Hasilnya, sebahagian besar pengundi India mengalihkan sokongan kepada PR. Pengalihan undi sebahagian besar pengundi India dan sebahagian pengundi Melayu di kawasan campuran menyebabkan PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15), Pas (15), manakala BN hanya 12.

Seterusnya, meskipun PR dibubarkan pada 2015 kerana Pas bertindak keluar daripada gabungan, sebuah gabungan parti politik, Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan menjelang PRU14 di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamed. Dr. Mahathir pula menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili kaum Melayu, kononnya pengganti kepada UMNO. Dengan langkah Dr. Mahathir, sebahagian pengundi Melayu mengalihkan sokongan mereka daripada UMNO kepada Bersatu.

Pada PRU14, kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak cuba memulihkan sebahagian sokongan pengundi India yang menjauhkan diri daripada BN. Namun, persepsi kononnya BN dan pemimpinnya korup mempengaruhi minda politik pengundi India. Pengundi India yang percaya kononnya PH adalah bersih dan prihatin terhadap kebajikan rakyat marhaen telah mengundi PH. Kesannya, PH memenangi 51 dan BN hanya memenangi empat kerusi DUN selangor. BN terus gagal merampas Selangor daripada genggaman PH.

Pergolakan dan perkembangan politik serta keputusan pilihan raya negeri Selangor didapati dipengaruhi dakwaan yang mampu menimbulkan persepsi bagi pemilihan parti politik dalam PRU. Persepsi politik dalam kalangan pengundi India dilihat amat jelas mempengaruhi minda mereka ketika mengundi.

Justeru, parti-parti yang bertanding pada PRU15 di Selangor khususnya BN perlulah berhati-hati terhadap sentimen pengundi India. Pemimpin – pemimpin parti politik tidak seharusnya sama sekali membangkitkan isu-isu sensitif kaum, agama, pendidikan dan sebagainya semata-mata untuk meraih undi bagi sesuatu kaum tertentu yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pengundi India.

Apapun, pejuang BN dan PKR (PH) kini menunggu gendang PRU15 untuk dipalu untuk menjalankan kempen politik mereka. Apakah BN yang kelihatan lebih bersemangat pada kali ini akan dapat menawan semula Selangor daripada genggaman PH? Kita tunggu dan lihat.-UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×