PEPATAH Arab menyebut, ‘masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu’. Begitulah cepatnya masa berlalu. Kita kini sudah berada pada 7 Muharam.
Lagipun kita masih dalam semangat menyambut tahun baharu hijrah. Pasti ramai yang mempunyai semangat berkobar-kobar memulakan ‘buku catatan’ baharu amalan masing-masing. Ini dengan pelbagai perkara kebajikan di samping mengelak daripada melakukan kejahatan.
Orang mukmin sentiasa mencari masa dan peluang menambah pahala melalui pelbagai ibadat. Dalam bulan Muharam, ada satu ibadat sunat yang sering dilakukan oleh umat Islam iaitu puasa hari Asyura atau puasa pada hari ke-10 Muharam.
Keutamaan berpuasa dalam bulan Muharam telah dinukilkan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat (sunat) pada malam hari. (riwayat Muslim)
Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (at-Taubah: 36)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Tiga hari daripada setiap bulan daripada satu Ramadan kepada satu Ramadan yang berikutnya adalah menyamai ganjaran berpuasa sepanjang tahun. Berpuasa pada hari Asyura juga dihitung di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang berlalu. (riwayat Muslim).
Mengimbau sejarah 10 Muharam yang dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah SAW adalah penting bagi mencari kebenaran dan merungkai keraguan ummah.
Seterusnya memastikan amalan yang dilakukan oleh umat Islam bertepatan dengan kehendak syariat Islam dan menjauhi perkara atau amalan yang sengaja diada-adakan.
Salah satu daripadanya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.ha bermaksud: Hari Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraisy berpuasa padanya ketika jahiliah. Dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya: Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa Asyura). (Riwayat: al-Bukhari dan Muslim)
Dalam satu lagi hadis, Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu. (Riwayat al-Bukhari)
Demikian antara contoh hadis sahih yang menyebut tentang amalan berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).
Dapat difahami bahawa puasa pada hari Asyura adalah perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan. Apabila puasa Ramadan difardukan pada tahun ke-2 Hijrah, kewajipan ini telah gugur. Namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.
Selain berpuasa pada hari Asyura ini, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam atau hari tasu’a. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan”. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu. (riwayat Muslim)
Para ulama berpendapat hikmah disunatkan berpuasa pada hari tasu’a (sembilan Muharam) itu ada beberapa aspek aspek:
1. Bagi menyalahi atau membezakan dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (riwayat Ahmad)
2. Bagi tujuan berhati-hati berpuasa pada hari Asyura kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharam itu dalam pengiraan adalah hari yang ke-10 Muharam yang sebenarnya.
Demikian juga kita disunatkan berpuasa pada 11 Muharam selain pada seluruh bulan tersebut dan juga pada 1 hingga 10 Muharam menurut sebahagian fuqaha.
Menurut Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72), kita dianjurkan puasa Asyura dengan cara seperti berikut: berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya; berpuasa pada 9 dan 10 Muharam atau berpuasa pada 10 Muharam sahaja.
Namun, bagi yang dikurniakan kesihatan, mari ambil peluang berpuasa sunat pada tarikh-tarikh berikut. Puasa sunat Isnin pada 17 dan 24 Muharam (15 dan 22 Ogos); puasa Khamis (20 dan 27 Muharam iaitu 15 dan 22 Ogos) dan puasa hari putih 13 hingga 15 Muharam (11 hingga 13 Ogos)
Justeru, marilah kita merebut peluang dalam bulan mulia ini untuk menambah amalan dengan berpuasa sunat. Janganlah kita hanya sibuk dengan kerja memasak bubur asyura sehingga terlepas ibadat yang lebih utama iaitu berpuasa.-UTUSAN
Penulis ialah Pengarang Berita, Utusan Malaysia











