
TAHUN lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Bajet 2022 percaya dengan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion dirangka untuk memberi manfaat kepada semua pihak sejajar konsep Keluarga Malaysia. Bajet yang menekankan aspek pemulihan negara daripada kesan Covid-19 dan menyokong usaha transformasi ekonomi jangka panjang ke tahap yang lebih itu dapat memacu pemulihan ekonomi selain membina semula daya ketahanan negara.
Bajet 2022 merupakan bajet dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara adalah ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ itu menjamin tiada seorang pun tercicir daripada agenda pemulihan negara setelah mengalami kesukaran hidup akibat pandemik Covid-19. Dan ia berjaya dilakukan dalam tempoh hampir setahun ini. Ini termasuk golongan B40, M40, wanita, belia, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor informal, orang kurang upaya (OKU), pencari kerja serta bumiputera dan syiar Islam.
Pelbagai bantuan dan pembiayaan mudah komprehensif yang disediakan dapat mengurangkan bebanan rakyat terkesan. Memandangkan persaingan untuk pelaburan akan menjadi sengit antara negara, kerajaan mengambil pendekatan responsif untuk membantu rakyat dan perniagaan agar kembali pulih dan mampu bersaing walaupun berdepan ekonomi dunia yang ada pasang surutnya.
Kerajaan menyedari bahawa kadar pemulihan ekonomi tidak sekata walaupun sempadan antarabangsa telah dibuka. Oleh itu, kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri masih mengekalkan bantuan bersasar seperti subsidi upah untuk sektor utama seperti peruncitan dan pelancongan.
Malah pakej perniagaan SemarakNiaga bernilai RM40 bilion terdiri daripada pelbagai langkah bagi membantu perniagaan bangkit semula. Ini termasuk pembiayaan, jaminan pembiayaan dan pembiayaan separa ekuiti untuk perniagaan besar, kecil dan juga mikro. Bagi perusahaan kecil dan mikro, pembiayaan termasuk pinjaman dengan kadar faedah 0 peratus dan moratorium serta-merta hingga 12 bulan.
Bagi memastikan tiada rakyat tercicir dalam sektor pekerjaan, kerajaan memperuntukkan RM4.8 bilion melalui program JaminKerja yang menyasarkan mewujudkan 600,000 pekerjaan serta meningkatkan kemahiran rakyat. Selain itu kerajaan turut memandang berat peluang rakyat dan perniagaan dalam ekonomi digital. 5G dijangka menjana RM650 bilion pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul dari 2022 hingga 2030 dan 750,000 pekerjaan pendapatan tinggi. Ia memberi manfaat kepada sembilan industri berbeza daripada sambungan 5G dan penciptaan sekurang-kurangnya 15 bandar pintar.
Bukan hanya itu, kerajaan turut menyediakan geran padanan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menyokong pertumbuhan perusahaan sosial sebagai kerjasama pelaksanaan ke arah agenda perlindungan sosial.
Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, beliau berpendapat, walaupun bajet tahun ini melibatkan jumlah terbesar dan negara berdepan pelbagai situasi getir dalam ekonomi dan politik, namun peruntukan yang dijanjikan berjaya disalurkan sepenuhnya mengikut jadual. Malah, tidak pula terdengar aduan daripada mana-mana penerima.
Kejayaan ini kerana kerajaan mempunyai pangkalan data yang terbaik sehingga memudahkan kerja-kerja penyaluran sekali gus bantuan langsung kepada isi rumah dan individu menepati sasaran.
“Walaupun kita juga ambil maklum beberapa peruntukan untuk pembangunan dan pengurusan tidak dapat disalurkan, namun saya lihat keutamaan terhadap beberapa perbelanjaan masih kekal seperti kemudahan penjawat awam termasuk kenaikan gaji serta tiada penjawat awam yang dibuang atau dipotong gaji,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, walaupun ada kata-kata di belakang yang menyifatkan bajet ini boleh memberi kesan buruk kepada kewangan negara, namun perkara itu tidak akan berlaku kerana Malaysia mempunyai sumber pendapatan lain seperti minyak dan sawit.
“Anggaran harga purata minyak kira-kira AS$62 per tong tetapi apa yang berlaku sekarang harga minyak melebihi sekitar AS$100. Di situ ada penambahan hasil terutama melalui dividen import yang bakal diperoleh daripada Petronas dan sebagainya.
“Sementara kutipan hasil cukai laba minyak sawit juga adalah juga punca pendapatan tambahan kerajaan. Kenaikan harga minyak mentah membantu kerajaan menjana sumber kewangan,” jelasnya.
Jadi, keupayaan Ismail Sabri dalam memulihkan ekonomi negara dan rakyat adalah satu kejayaan buat Keluarga Malaysia dan pujian patut diberikan kepada beliau kerana segalanya nampak cantik dan tersusun, lebih-lebih lagi bajet tahun ini dirangka secara berhati-hati dan komprehensif dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk parti pembangkang bagi memenuhi aspirasi mereka selaras dengan iltizam kebersamaan Keluarga Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











