50 peratus ibu muda gagal teruskan penyusuan - Utusan Malaysia

50 peratus ibu muda gagal teruskan penyusuan

Khamsiah Muda (kanan) Siti Eaishah (kiri) membangkitkan isu ilmu dalam merealisasikan penyusuan bayi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan ibu-ibu muda berhadapan dengan cabaran menyediakan pemakanan yang mencukupi bagi bayi. Keadaan lebih kritikal dalam memastikan bayi diberi susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama dan disarankan penyusuan susu ibu diteruskan sehingga usia dua tahun.

Berdasarkan pemerhatian pakar sakit puan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra (Andorra), hampir 50 peratus ibu muda yang baru melahirkan bayi dilihat gagal meneruskan tempoh penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan berikutan kurang kesedaran mengenai manfaat jangka panjang penyusuan ibu untuk bayi.

Hakikatnya, penyusuan ibu merupakan suatu kemahiran yang mengambil masa serta latihan sebelum si ibu mahir dan bukan setiap ibu akan mahir secara automatik.

Perkara yang perlu dipelajari termasuk cara memegang bayi, posisi penyusuan yang berbeza, kaedah melekapkan bayi dan menghentikan penyusuan.

Menurut Pakar Sakit Puan Andorra, Dr. Khamsiah Muda, berdasarkan pemerhatiannya kebanyakan ibu muda yang mendapatkan pemeriksaan selepas bersalin di hospital ini dilihat hanya bertahan selama sebulan penyusuan susu ibu sebelum memilih untuk mencampurkan dengan susu formula.

“Kebanyakan mereka tidak mampu berdepan dengan cabaran penyusuan itu antaranya kerana tiada motivasi untuk meneruskan penyusuan eksklusif dan tidak cuba mengatasi masalah di awal penyusuan itu.

“Kebiasaannya bagi ibu muda, mereka tidak mempunyai pengetahuan bagaimana teknik penyusuan dengan betul, hisapan bayi dan kegagalan mengatasi pemikiran bahawa bayi mereka tidak kenyang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Dr. Khamsiah, susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi kerana mengandungi semua nutrien diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan otak, mudah hadam dan susu ibu sentiasa tersedia pada suhu yang tetap.

“Selepas bersalin akan berlaku perubahan hormon dan susu ibu akan terhasil, cuma untuk memastikan penghasilan itu konsisten, perlu ada hisapan semula jadi daripada bayi.

“Cabarannya mungkin pengeluaran susu ibu itu lambat dalam tiga hari, salur susu belum terbuka dan kadang-kadang bengkak susu.

“Dari situ, ibu muda perlu tahu dan meminta pandangan apa yang perlu dilakukan, tetapi sebaiknya teruskan saja memberi bayi hisapan pada payudara kerana hisapan bayi adalah paling kuat sekali.
“Jadi tiada sebab atau alasan mengatakan anda tidak mempunyai susu untuk bayi,” katanya.

Masalah saluran susu tersumbat hingga mengganggu kelancaran pengeluaran susu antara sering berlaku. Ia boleh mengakibatkan susu tidak dapat keluar dan berlaku kesakitan pada bahagian berkenaan.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, kerap susukan bayi. Ini bagi memastikan susu dapat mengalir melalui payudara dan menghalangnya daripada tersumbat. Kosongkan payu dara selepas setiap kali penyusuan. Jangan melangkau penyusuan atau tunggu terlalu lama antara penyusuan.

“Mengurut bahagian payudara sebelum menyusukan bayi juga boleh dilakukan bagi melancarkan pengeluaran susu. Pam susu selepas menyusukan, untuk mengeluarkan lebih banyak susu. Kaedah ini juga antara boleh dilakukan bagi mengelakkan saluran susu tersumbat,” ujarnya.

Bina hubungan rapat
Susu ibu mempengaruhi perkembangan keluarga masa kini. Anak yang menyusu dengan susu ibu sepenuhnya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ibu. Sejak kecil mereka sangat manja malah hubungan ini di bawa sehingga remaja dan dewasa.

Sebagai panduan memastikan susu terhasil dengan baik, Dr. Khamsiah berkata, ibu perlu mengambil pemakanan berzat sepanjang kehamilan dan selepas bersalin bagi memastikan susu dihasilkan banyak dan berkualiti.

“Elakkan makanan segera yang tidak begitu membantu. Ibu menyusu perlu minum air mencukupi, jangan terlalu ketat dalam proses berpantang dan bersandarkan kepada amalan mitos orang dulu-dulu,” katanya.

Jelasnya, tidak memanfaatkan penyusuan secara eksklusif adalah suatu kerugian kerana tiada sentuhan atau ikatan semula jadi antara ibu dan bayi yang boleh terhasil.

“Tidak dinafikan kebanyakan syarikat pengeluar susu bayi ini boleh mencipta hampir 95 peratus persamaan dengan susu ibu melalui pelbagai kandungan jenis vitamin, probiotik dan sebagainya.

“Namun sebagai hospital yang menekankan penyusuan ibu, kami tetap menggalakkan ibu muda memberi susu ibu kepada bayi mereka.

“Susu ibu adalah susu Allah ciptakan dengan sifat semula jadi dalam komposisi nutrien, vitamin, ketepatan suhu, selain memberi antibodi yang kuat untuk bayi melawan serangan penyakit.

“Dalam keadaan ekonomi kurang baik ketika ini, susu ibu adalah penyelamat dalam mengurangkan beban membeli susu formula,” katanya.

‘Susu ibu jimat, percuma’
Beberapa bulan pertama menyusukan bayi, Siti Eaishah Hamzah, 38, mengakui bimbang tidak dapat menyusukan bayinya sehingga kenyang sebab tidak cukup susu.

Akuinya, pada peringkat awal, proses penyusuan menjadi perkara yang menyedihkan buat dirinya. Bukan sahaja dia sentiasa bimbang bayinya tidak kenyang, tetapi paling teruk lagi bila merasakan dirinya sebagai seorang ibu yang gagal.

Kesedihan itu membuatkan beliau mengalami kemurungan selepas bersalin dan adakalanya menangis tanpa sebab. Perasaan serba kekurangan itu menurunkan keyakinan diri, sekaligus merenggangkan hubungannya suami.

“Perasaan itu menyebabkan saya rela memberikan susu formula kepada bayi sulung saya. Pada awalnya, saya beranggapan masalah kurang susu adalah perkara normal bagi semua ibu. Sehinggalah saya diberitahu doktor, puncanya kerana tidak memberikan anak menyusu sedangkan susu memang ada.

“Ia berpunca daripada masalah kurang ilmu penyusuan. Saya turut berhadapan masalah susu tersumbat. Payudara saya terpaksa dibedah. Sebelum dibedah, pelbagai cara dilakukan bagi mengurangkan bengkak susu itu seperti tuam, urut dan sebagainya, tetapi semuanya tidak berfungsi.

“Akhirnya saya tak dapat tahan kesakitan dan terpaksa melakukan pembedahan kerana menurut doktor, payudara saya sudah bernanah dan ia perlu dikeluarkan,” katanya.

Tambah Siti Eaishah, dia sempat menyusukan anak selama 40 hari, bagaimanapun selepas mempunyai sedikit ilmu, apabila anak kedua lahir, dia berjaya menyusukannya selama setahun, anak ketiga setahun lebih, keempat menyusu sepenuhnya dan kelima setahun kerana perlu melakukan pembedahan lain.

Siti Eaishah bersyukur kerana sentiasa diberi galakan oleh suami dan keluarga untuk melakukan penyusuan ibu. Lebih menggembirakannya, setiap kali kunjungan ke klinik doktor menunjukkan bayinya membesar dengan sihat dan penghasilan susunya mencukupi untuk memenuhi keperluan bayi.

“Perkara yang paling menarik bila menyusukan bayi ialah hubungan kami semakin rapat sepanjang masa penyusuan. Sukar untuk menjelaskan perasaan dan emosi keibuaan. Jika anda seorang ibu, saya nasihatkan untuk tidak lepaskan peluang menyusukan bayi.

“Jika ada sebarang keraguan tentang penyusuan, dapatkan nasihat doktor. Mereka pasti akan memeriksanya ibu untuk memastikan bayi membesar dengan sempurna dan ini penting untuk membina keyakinan dan meleraikan yang kebimbangan anda itu adalah tidak berasas,” katanya.

Menurut Siti Eaishah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu menyusu badan juga dapat menjimatkan kos serta bajet keluarga sehingga RM500 sebulan daripada membeli susu formula.

“Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri yang terpaksa berbelanja dengan banyak untuk susu formula kerika kelahiran anak pertama. Walau apa juga kekangan dilalui wanita, saya percaya semua masalah ini dapat diatasi sekiranya ibu sudah menetapkan matlamat dan tujuan mereka iaitu memberikan makanan terbaik kepada si kecil selepas dilahirkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×