Datin Vivy Sofinas Yusof, cukup teruja dengan keberadaan butik dUCk untuk tahun ke lapan di pusat beli belah, Pavilion, Kuala Lumpur.
Berbunga hatinya bila produk tempatan bersaing di lot-lot kedai yang rata-ratanya dimonopoli jenama asing di pusat beli-belah paling berprestij di ibu negara itu.
Jenama tudungnya ini mencipta sejarah apabila laris bagai goreng pisang panas hanya dalam tempoh beberapa minit dilancarkan. Malah menjadi antara jenama tempatan terawal menjalin kerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Barbie, Disney dan Miss Universe.
Mesra di sapa Vivy, wanita kecil molek ini mengakui mengurus sembilan kedai termasuk satu di Singapura tidak semudah kata, khususnya dalam segmen fesyen Muslimah.
“Pandemik Covid-19 beri impak kepada jenama fesyen. Siapa yang mahu berfesyen sebab semua berada di rumah?,” katanya mengimbau kesukaran dilalui kepada Seri.
Ketua Pegawai Kreatif di FashionValet dan pengasas bersama The dUCk Group ini berkata, tidak mahu larut dengan situasi, kumpulan kerjanya pantas berinovasi memperkenalkan produk diperlukan waktu itu, antaranya pelitup muka, bahan keperluan lain seperti mekap dilengkapi tabir suria serta tudung sarung dilengkapi bukaan tepi untuk fon telinga bagi memudahkan menyertai mesyuarat secara online.
“Tiada pembuangan pekerja mahupun potong gaji, semua 400 pekerja dapat gaji. Hanya saya dan suami sahaja tidak menerima gaji untuk tempoh beberapa bulan,” katanya.
Beliau sebaliknya melihat pandemik sebagai hikmah membantu syarikat mempertingkat perniagaan dalam talian termasuk berkolaborasi dengan pengendali e-hailing, Grab bagi mempercepatkan proses penghantaran pesanan pelanggan.
Ikon yang pernah dipaparkan dalam banyak platform media tempatan dan antarabangsa seperti BBC, CNBC, The New York Times, VICE dan Forbes ini turut merancang melebarkan sayap perniagaan hingga ke luar negara.
“Tak banyak jenama pakaian sopan yang lengkap di pasaran sebab itulah saya mahu memenuhi permintaan itu sebagai modest fashion group brand ke pasaran global. Saya mahu menyediakan pakaian Muslimah yang mencakupi aspek kain yang tidak jarang dan potongan yang tidak ketat. Maknanya kalau membeli dalam online pun, kita tahu bagaimana jenis kainnya dan potongannya,” katanya. Hingga kini jenamanya sudah dipasarkan ke 18 negara antaranya Arab Saudi, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Berhasrat berkongsi ilmu keusahawanan, ibu muda ini dalam perancangan menerbitkan buku The First Decade By Vivy Yusof penghujung tahun ini.
“Naskhah ini mengenai perjalanan 10 tahun dalam bidang perniagaan termasuk kegagalan dan kesilapan saya lalui. Saya ada sentuh mengenai media sosial, kutipan dana dan dana pelaburan serta bagaimana membina jenama. Saya kira ia sesuai untuk anak muda dan baharu berjinak-jinak membina perniagaan,” katanya. Buku 200 halaman dan 12 bab itu diterbitkan penerbit terbesar dunia, Penguin.
Vivy memiliki lebih 1.8 juta pengikut di Instagram dan 236,000 di saluran YouTube yang dilancarkan pada 2017.
‘Minda perlu positif’
Seri: Di mana permulaan Vivy?
Vivy: Saya menulis di Proudduck.com sejak lebih 12 tahun lalu. Ragam dan rencam menulis menyebabkan saya sudah biasa dengan komen, sama seperti di media sosial. Bila menulis secara terbuka, bererti kita membuka ruang untuk untuk orang lain komen dan memberi pandangan.
Ada yang suka dan ada yang tidak. Begitupun kritikan itulah yang sebenarnya memberikan saya kesedaran sebab kadangkala apa yang diperkatakan pengikut itu ada juga betulnya. Cabaran saya ialah untuk habiskan satu post sehari atau 365 hari setahun.
Bagaimana berdepan isu tular?
Biasanya saya tidak mahu terlalu melayan rasa. Kalau ada komen atau perkara dibangkitkan tidak tepat saya akan abaikan. Dulu saya rajin beri penerangan bagi setiap pertanyaan di media sosial tetapi saya dapati ia tidak membawa ke mana. Kalau orang tidak suka kita, dia memang tidak akan suka dan saya terima hakikat itu.
Tak perlu reply satu-satu, sebaliknya lebih baik saya fokus tenaga kepada kebaikan. Macam kes perlekeh B40 dan M40 dulu, saya tidak cakap begitu, tetapi penerimaan orang berbeza.
Dia pun sudah meminta maaf dan saya tidak mahu dipanjangkan dan ia selesai dengan baik.
Apa pengajaran Vivy dapat?
Bila produk ada pengasas senang untuk individu itu ‘kena’. Sebab orang kenal dengan wajah pemiliknya, seperti yang berlaku kepada saya.
Namun kita perlu menjadi real dan tidak berpura-pura. Saya kira sebab itulah juga saya di ikuti.
Apa yang saya lakukan ini ada kelebihannnya bila pengguna rapat dengan saya malah komen feedback juga laju.
Lebih daripada itu saya rasa kalau orang komplen, itu tandanya mereka ambil berat dan mahu kita lebih maju dan boleh improve. Saya tidak pernah melihat ia sesuatu yang menyusahkan.
Segelintir penyedia konten gemar review mengarut. Komen?
Saya tak nak komen pasal orang tetapi kena selalu fikir ‘Kalau aku buat macam ni, 10 tahun akan datang menyesal tak? Anak malu tak?’.
Lebih baik kita jadi diri sendiri, jangan terikut-ikut. Kalau kita jenis outspoken, tak mengapa tetapi ambil sisi yang baik dan positif sahaja.
Tips positif dan bersemangat?
Sebenarnya ramai orang terkejut bila tahu saya sangat positif. Saya selalu melihat sesuatu ada hikmah di sebaliknya. Keluarga selalu saya jadikan rujukan, dan mereka jugalah tempat saya mengadu.
Saya tidak suka meluah rasa di media sosial sebab apa yang kita lahirkan semuanya kita yang kena bertanggungjawab dan suatu hari nanti kita yang akan ‘disoal’.
Sama situasinya kalau ada orang ingin attack saya. Selalunya saya akan akan bercerita kepada keluarga dan suami. Mereka mendengar dan memberikan semangat dan itulah juga yang saya mahukan.
Saya suka meredakan stres dengan berkomunikasi, luahkan perasaan dan meluangkan masa bersama keluarga. Berbeza buat suami, dia suka bersukan.
Begitupun sejak ada empat anak ini, saya kurang beremosi dan tidak ada masa untuk terlalu stres.
Bagi saya daripada fokus perkara negatif, lebih baik manfaatkan masa dengan sesuatu yang menyeronokkan. Banyak benda yang seronok dalam hidup ini.
Doa, usaha dan tawakal. Selalu ingat Allah dan kena kuat dalam dan luaran.
Idola dalam dunia perniagaan?
Saya mengidolakan ramai individu berjaya antaranya Jessica Alba menerusi The Honest Company dan Rihanna dengan Fenty Beauty. Saya juga suka membaca buku berkaitan perniagaan dan jenama seperti McDonald’s dan Netflix.
Vivy ibu yang bagaimana?
Saya ibu yang balance, ada masa garang tetapi ada masa suka manjakan anak. Saya dengan anak-anak bagaikan kawan-kawan. Saya selalu bercakap dengan anak dan bawa mereka ke kedai.
Cara ini memberikan pendedahan kepada mereka mengenai kerja ibu dan ayah mereka.
Kanak-kanak ini banyak idea bernas. Pernah dalam satu insiden, saya ada masalah terima produk dari luar negara. Anak saya memberikan cadangan untuk membuka kilang di Malaysia bagi mengatasi masalah pengangkutan. Walaupun rasa lucu tetapi mereka bijak melontar idea.
Ke mana hala cita-cita anak?
Buat masa ini empat anak sudah cukup. Fokus kami untuk menumpukan pelajaran, hobi dan minat anak.
Anak sulung Daniel Azim Shah,9, suka komputer dan beliau mahu jadi gamer. Kami beri mereka peluang meneroka minat. Daniel pernah mahu menjadi youtuber dan saya berikan segala kemudahan buat konten.
Hingga kini dia hanya buat tiga konten, tetapi tak mengapa sekurang-kurangnya dia tahu disiplin yang perlu untuk menjadi youtuber.
Bagi Mariam Iman Shah (7) pula, dialah Kak Long, suka ke depan, berbakat dan berkepimpinan.
Malah bercita-cita mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat. Anak ketiga, Sarah Ilham Shah (3) saya anggap penyeri dalam keluarga dengan wataknya yang ceria. Seorang yang menghiburkan dan boleh jadi youtuber dan influencer.
Begitupun saya dan suami memberikan kebebasan kepada anak-anak.
Sebagaimana ayah saya memberikan kebebasan itu kepada saya. Walaupun ayah seorang kontraktor tetapi beliau tidak pernah mendesak, sebaliknya memberikan galakan untuk saya buat apa yang saya suka. Kejayaan saya pun sebab dorongan keluarga. Mereka tidak pernah menghalang minat saya.









