‘Tiada negara mampu banteras scam’

‘Tiada negara mampu banteras scam’

ANNUAR Musa ditemu ramah wartawan Utusan Malaysia, Mohamad Hafiz Yusoff Bakri (kiri) dan Umai Wahed, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
HAMPIR setiap hari terpampang di dada akhbar kes penipuan dalam talian. Daripada sekecil-kecil sehinggalah sebesar kerugian terpaksa ditanggung mangsa.

Lebih parah, kes penipuan dalam talian atau scam tidak menunjukkan penurunan. Malah ada pihak mula mempertikai fungsi disebalik kewujudan entiti tertentu termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM).

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan UMAI WAHED serta jurufoto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR menemu bual Menteri Komunikasi dan Multimedia, TAN SRI ANNUAR MUSA bagi mendapatkan perspektifnya, baru-baru ini.

UTUSAN: Banyak aduan penipuan dalam talian dilaporkan. Mengapa sehingga kini masih belum dapat diselesaikan?
ANNUAR: Kita ambil contoh mencuri. Ia berlaku sejak dahulu lagi. Tapi sampai sekarang adakah ada pihak yang betul-betul boleh membanteras kegiatan mencuri? Sebenarnya tidak timbul soal sama ada kita berupaya atau tidak. Masalah ini akan sentiasa ada dan menjadi semakin kompleks. Itu realiti. Tiada satu negara pun boleh kata mereka mampu mengatasi untuk hapuskan masalah penipuan dalam talian. Selagi masyarakat kurang pengetahuan, maka mereka terdedah kepada unsur penipuan.

Kita juga buat audit untuk mengenal pasti ketulenan mereka yang membeli kad prabayar. Sebab ada yang beli dalam negara dan berikan identiti palsu untuk berselindung. Setakat ini lebih kurang 1.6 juta telah kita siasat dan kita batalkan sejuta kerana terdapat unsur penipuan. Ini juga kita tidak umumkan sebelum ini.

Namun, satu perkara yang masih ramai kurang faham. Sekiranya libatkan data awam misalnya kecurian data, tanggungjawab keseluruhan adalah di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) di bawah Jabatan Perdana Menter

K-KOM beri sokongan daripada segi kepakaran dan aspek teknikal forensik. Sekiranya berlaku sesuatu, perlu ada laporan dan perlukan siasatan sebelum dibuat pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara.
Di K-KOM, kita adalah sebuah entiti yang menjaga dari sudut penggunaan, maklumat dan platform. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat. Oleh kerana banyak agensi terkait, apa yang cuba buat adalah perbaiki dan buat pelarasan kerjasama dengan agensi lain.

Mengenai 1.6 juta kad prabayar yang dibatalkan penggunaannya. Adakah melibatkan warga asing?
1.6 juta itu ada macam-macam pembeli termasuk warga asing dan tempatan. Pengguna dalam negara kita ada pelbagai, sama ada warganegara atau tidak. Tidak timbul soal itu (warganegara) kerana apabila kaji memang kita dapati identiti itu paslu. Mungkin warganegara menyamar atau mungkin bukan warganegara yang berselindung di sebalik identiti palsu.

Berapa aduan penipuan dilaporkan? Adakah menunjukkan trend peningkatan?
Kalau bercakap berkenaan penipuan dalam talian, ia banyak kategori antaranya scam, berita palsu atau penipuan informasi. Aduan yang datang pula pelbagai dan ada sebahagian besar tidak diadukan.
Kalau masalah scam sahaja, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 7,597 aduan berunsur penipuan dan ia terus menunjukkan peningkatan.

Untuk tahun ini sahaja iaitu sehingga Mei lalu, sebanyak 1,158 aduan dicatatkan. Baru-baru ini, dalam satu persidangan di Singapura, saya berjumpa menteri dari beberapa negara termasuk Thailand yang mengatakan trendnya sama.

Penipuan meningkat dan makin banyak serta semakin kompleks. Jadi, usaha perlu dilipatgandakan kerana ini bukan satu isu yang mudah. Biasanya orang yang jalankan penipuan ini licik dan tahu nak elakkan tindakan.

Peneraju K-KOM ketika zaman pentadbiran terdahulu pernah menyatakan Akta 709 akan dikaji semula. Adakah akan diteruskan?
Akta 709 digubal untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial pengguna data (individu atau organisasi yang memproses data peribadi) dan melindungi kepentingan pemilik data peribadi. Hasil kajian yang dijalankan pada 2019 mendapati ada keperluan untuk menambah baik Akta 709 agar lebih efektif dan setanding standard serta amalan terbaik perlindungan data peribadi di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan perbincangan, memang kita rasakan akta ini perlu ditambah baik kerana berdasarkan kes yang berlaku, pelaku sememangnya kreatif.

Jadi kita telah siapkan dan draf pindaan undang-undang dalam peringkat semakan akhir oleh K-KOM. Draf pindaan ini akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian lanjut sebelum dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Berkenaan capaian internet termasuk 5G di kebanyakan kawasan yang didakwa lembab. Adakah sukar untuk menaik taraf kemudahan tersebut ?
Banyak orang kurang faham. Kemudahan 5G bukan untuk orang pedalaman. Antara 4G dan 3G pun masih ada yang kurang faham. Pada masa kini hampir seluruh dunia menggunakan 4G. Jadi di negara ini, kita laksanakan penggunaan capaian internet 4G dan tutup rangkaian 3G. Sudah tentu infrastruktur berbeza, perlu ditambah menara, tambah kemudahan gentian optik dan sebagainya.

Ini yang sedang berlaku sekarang. Pelan 4G hanya siap pada 2025 dan ia sedang berjalan. Sekarang kita buat program Jalinan Digital Negara (Jendela 1) dan Jendela 2. Jendela 1 bermula 2020 sampai tahun ini dan tak lama lagi ada Jendela 2 bermula tahun depan sampai 2025.

Untuk meningkatkan kualiti, kita perlu perbanyakkan fiber optik. Jadi, dalam melaksana 4G juga rangkaian fiber optik sedang dijalankan. Jadi, yang fiber optik ini pula kita nak capai sasaran sembilan juta premis.

Yang banyak orang kalut apabila dia mengukur sambungan internet menerusi telefon bimbit. Sebagai contoh, kalau masuk dalam rumah dia punya pengalaman berbeza.Rumah besar lain rumah kecil lain. Kalau ada orang pakai internet, kemudahan akan down. Itu jalur lebar mudah alih.

Untuk 5G, bukan kita nak terus guna. Ia lebih spesifik, lebih kepada Revolusi Industri 4.0 (R.I 4.0) kalau kegunaan harian 4G memandai.

Dan untuk 5G ada pelan pelaksanaannya. Sekarang 1,300 sudah diaktifkan. Sebelum akhir tahun ini, 4,000 stesen juga akan diaktifkan. Bermula dengan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Cyberjaya.

Apa yang saya boleh katakan, menjelang akhir 2024, kita sasarkan liputan 80 peratus kawasan berpenduduk. Kalau merata tempat ada orang mengeluh internet belum sempurna, ia memang begitu apalagi kita dalam proses nak tambah baik menjelang 2024 dan 2025.

Sebelum ini ada cadangan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme cukai kepada penyedia platform enjin carian seperti Google agar pendapatan besar yang diperoleh entiti itu boleh dikembalikan semula kepada syarikat media tempatan. Pandangan Tan Sri?
Sebarang pelaksanaan cukai bukan di bawah bidang kuasa K-KOM, sebaliknya Kementerian Kewangan. Perkara ini ada dibincangkan dan apakah mekanisme sesuai untuk mengenakan cukai juga perlu dikaji. Ia tidak mudah. Jika ada ruang dan peluang, kita akan kenakan cukai. Cuma kita perlu melihat dasar secara global.

Kalau kita buat cukai less friendly sedangkan negara lain tidak buat, ia akan ada implikasi. Di peringkat K-KOM memang ada ruang untuk diteliti dan memang patut dipertimbangkan untuk dikenakan cukai. Persoalannya, bolehkah kita nak kenakan cukai syarikat yang ada di Amerika Syarikat (AS)?

Bagaimana sekiranya kerajaan mengambil tindakan lebih keras dengan menyekat terus daripada mengambil bahan berita dan dimuat naik di platform media sosial?
Boleh. Kita gunakan dasar macam China. Tapi China negara besar. Dia boleh buat aplikasi sendiri. Masalahnya, adakah pasaran kita besar? Adakah kita boleh asingkan diri kita? Perlu dilihat dari segi praktikal.

Berkenaan serangan siber dari negara luar. Adakah semakin serius?
Ia berada bawah Nacsa apabila membabitkan keselamatan siber peringkat nasional. Cuma ini satu tajuk yang banyak dibincangkan bersama antara negara luar.

Banyak kaedah perlu dilakukan untuk mengelakkan daripada terkena serangan siber kerana ia berlaku sepanjang masa. Untuk makluman, pada tahun ini bermula Januari sehingga Mei, sebanyak 305 kes.
Saya bertemu dengan pemimpin negara-negara ASEAN kerana ada elemen cross border dan perlunya kerjasama. Selain itu, perlu ada pertukaran maklumat, perlu ada teknologi untuk buktikan serangan dibuat di mana dan sebagainya.

POLITIK

Ramai mendakwa kelemahan UMNO disebabkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sehingga ada pihak menggesa agar beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden. Komen?
Dalam politik ada pandangan masing-masing. Kita tidak boleh terbawa-bawa pandangan secara individu. Dalam UMNO, kita ada sistem untuk membuat satu-satu keputusan.Kita ada beberapa peringkat seperti bahagian dan cawangan. Kalau ada sesuatu perkara berbangkit, kita perlu lihat adakah ia pandangan individu, cawangan, negeri atau Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Saya tidak rasa kelemahan boleh diletakkan pada presiden sebab beliau dipilih mengikut proses tertentu, ada penggal tertentu.

Pada saya, walaupun ada perkara tidak selari dengan presiden, ada pelbagai cerita, tetapi beliau perlu berkhidmat sampai habis penggal. Beliau menang pun menerusi pertandingan, itu hak beliau.

Bagaimana Tan Sri melihat pendedahan dan pengguguran bekas ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman?
Pada saya, ada perbezaan pendapat. Saya fikir ini lumrah. Apabila UMNO hilang kuasa, ia macam proses transisi sebelum mahu stabil. Istilah fizik dipanggil sebagai proses political equilibrium (keseimbangan politik). Nak wujudkan keseimbangan akan memakan masa. Di sini ada pelbagai pandangan dan kebetulan dalam tempat itu ada perbezaan pendapat.

Tan Sri dilihat banyak mengkritik dan menentang keputusan pucuk pimpinan UMNO. Tidak takut sekiranya tidak menjadi calon dalam Pilihan Raya PRU15 nanti?
Dalam politik kita jangan tiada tulang belakang. Jangan takut untuk beri pandangan. Kalau kita tidak beri pandangan sebab takut tak disokong menjadi calon, kita akan jadi pembodek. Saya tidak perlu bodek dan saya tidak pernah nak jadi calon. Saya sudah lapan penggal tidak pernah lobi untuk minta jadi menteri pun.

Pada saya, semua sudah Allah SWT tentukan. Tapi kalau kita jadi ahli politik dan bukan pengikut atau suruhan politik, kita perlu cakap apa yang ada dalam jiwa kita. Apa yang ada dalam hati kita mungkin tidak sama dengan orang yang lebih berkuasa macam sekarang. Kalau kerana itu saya tidak menjadi calon, itu kuasa merekalah.

Sebagai ahli politik, segalanya bukan mati (tidak menjadi calon) hanya di situ. Kalau ada duit RM10,000, bayar deposit masih boleh jadi calon. Cuma saya mahu jadi calon untuk mewakili parti saya selagi mana parti percaya pada saya. Yang penting, saya nak pastikan parti menang.

Pertama saya nak tanya bila PRU? Kalau PRU15 datang selepas pemilihan parti dan orang sekarang tidak menang, bagaimana? Kalau ditakdirkan ajal bagaimana? Semua benda ini lambat lagi. Allah SWT yang tentukan dan kita hanya merancang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×