Kerap mimpi orang sama tanda kena sihir? - Utusan Malaysia

Kerap mimpi orang sama tanda kena sihir?

USTAZ ABDUL HALIM ZAKARIA menyarankan individu terkena sihir segera mendapatkan rawatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIHIR adalah jampi serapah atau membuat suatu perkara dengan jampi serapah. Ia wujud sebelum zaman Rasulullah SAW. Bahkan nabi sendiri pernah diuji apabila disihir oleh orang Yahudi yang mengupah tukang sikat rambut baginda untuk menukar dan mencuri sikat rambut untuk membuat ikatan simpulan sihir.

Presiden Persatuan Ilaj Syarie dan Pengamal Perubatan Islam, Ustaz Abdul Halim Zakaria menyatakan dalam hadis daripada Saidatina Aisyah RA menceritakan perihal rambut nabi yang panjang dan rambut baginda yang terlekat pada sikat dijadikan simpulan sihir bersama mayang kurma.

“Kemudian dicampakkan ke dalam sebuah sumur atau perigi iaitu Telaga Zarwan merupakan tempat baginda mandi. Keadaan Rasulullah SAW ketika itu sering membayangkan seolah-olah baginda sedang melakukan sesuatu perkara sebaliknya baginda tidak buat apa-apa dan sering berkhayal. Simptom sihir salah satunya individu berubah menjadi khayal, termenung dan berfikir jauh. Ini juga berlaku pada Rasulullah SAW.

“Berdasarkan kisah Nabi SAW, baginda sendiri walaupun mempunyai kekuatan dan dilindungi Allah SWT, baginda juga tetap manusia biasa dan boleh terkena sihir apatah lagi manusia dan umat Rasulullah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Halim yang juga Fasilitator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK CARE) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, surah al-Baqarah ayat 102 (kisah Harut dan Marut ajar sihir), menceritakan tentang sihir dan Nabi Sulaiman AS.

“Ayat ini menyebut Nabi Sulaiman AS mengamalkan sihir tetapi sebenarnya Allah SWT menyatakan dalam al-Quran Nabi Sulaiman tidak pernah mengamalkan sihir sebaliknya baginda adalah mukjizat.

“Pada zaman Nabi Sulaiman, sihir banyak diamalkan oleh umat baginda yang berbangsa Bani Israel. Maka baginda diperintahkan untuk mengumpulkan semua tukang sihir. Mereka disuruh untuk meninggalkan amalan sihir mereka. Tukang sihir yang tidak mahu kembali kepada agama Islam akan dibunuh oleh baginda. Itu adalah syariat Islam tentang pengamal sihir sampailah sekarang, pengamal sihir perlu dibunuh,” katanya.

PUNCA SIHIR
Pendedahan dunia terhadap akses multimedia menjadi salah satu punca sihir iaitu menerusi gambar-gambar yang dikongsi.

“Gambar yang selalu dimuat naik bersama pasangan. Bagi yang melihatnya mungkin sebelum ini sudah berdendam dengan salah seorang pasangan maka timbul kecemburuan, diambil gambar tadi dan dibuat sihir melalui gambar,” katanya.

Selain sihir dan gangguan makhluk halus sering terkena pada orang-orang yang tidak boleh membaca al-Quran, tidak jaga solat dan pemakanan.

“Meskipun dia boleh membaca al-Quran dan jaga solat, tetapi perbuatan tidak mencegah kemungkaran. Asas keimanan perlu cari ilmu, solat berkualiti dan kusyuk, baca al-Quran supaya menjadi amalan dan petunjuk serta jaga pemakanan dari sumber halal. Hati kotor berkaitan dengan pemakanan.

“Bila hati kotor mudah terkena sihir atau gangguan makhluk halus. Ada juga ustaz-ustaz atau yang alim terkena sihir mungkin jadi mereka tidak jaga pemakanan. Begitulah konsepnya,” katanya.

JENIS-JENIS SIHIR
Terdapat pelbagai jenis sihir antaranya sihir pukau, sihir santau (jatuh sakit) sihir tafriq (pemisah) dan tiwalah (pengasih).
“Sihir ini adalah jampi serapah atau membuat suatu perkara dengan membaca ayat-ayat tertentu dan menjampi serapah. Contohnya, surah al-Falaq ayat 4. Maksudnya, dan dari kejahatan tukang-tukang sihir, yang meminta pertolongan dari sihir mereka dengan hembusan pada ikatan yang mereka menyimpulkannya untuk tujuan sihir. Perkataan uqod akan disebut nama orang-orang ini disimpul ikatan.

“Seperti Nabi SAW, disimpul rambut baginda pada sikat tersebut kemudian disimpul dengan mayang tamar. Dua malaikat turun dan duduk di hujung kaki dan rambut nabi berdoa dan merawat nabi dengan membacakan dua Surah al-Falaq dan an-Nas. Inilah sebab turunnya dua surah tersebut. Selepas surah ini dibaca, maka terurailah satu persatu simpulan ikatan sihir itu,” katanya.

CARA MENGENALI SIHIR
Ustaz Abdul Halim menjelaskan tidak mudah mengenali dan menyatakan seseorang itu terkena sihir kerana bukan semua simptom boleh dikaitkan dengan sihir.

“Bukan semua mimpi adalah petanda sihir. Contohnya, simptom mimpi menyusukan anak dan mendukung bayi itu adalah simptom biasa.

Mimpi menyusukan anak mengikut perawat yang tidak mahir mereka akan kata itu sihir. Sebenarnya tidak. Ada faktor-faktor lain mungkin terlalu inginkan zuriat sehingga boleh terbawa-bawa mimpi tersebut.

“Mimpi menggendong bayi juga bukanlah petanda sihir. Sebaliknya, ia ada berkait dengan perut dan masalah psikologi.

“Tetapi yang paling mudah untuk mengenalpasti mengikut pengalaman ustaz, adalah apabila kerap bermimpi orang tersebut. Bukan senang dan bukan mudah tapi yang paling tepat jika disihir adalah bermimpi orang itu (si penghantar sihir),” katanya.

Beliau yang turut arif dalam bidang kaunseling Islam, menggabungkan rawatan mengikut sudut psikologi.

“Rata-rata yang ustaz telah diagnos, orang yang mimpi menyusu anak atau mengandung adalah wanita ini tidak mendapat anak atau kerap keguguran. Maka dalam konteks psikologi dia menginginkan anak itu dan asyik memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan anak sehinggakan terbawa kepada mimpi. Jika ada situasi begini maka ia bukanlah sihir,” katanya.

SIHIR MELALUI MIMPI
Mimpi berulang kali atau kerap mimpi yang sama.

1) Bermimpi yang buruk iaitu kerap mimpi ular hitam.

2) Bermimpi lembaga tertentu atau lembaga hitam.

3) Mimpi si penghantar sihir atau membuat sihir. Dalam mimpi tersebut, nampak orang yang menghantar sihir atau kelihatan samar-samar wajah orang itu.

4) Mimpi bahan-bahan sihir yang digunakan.

5) Mimpi seseorang menanam sesuatu.

6) Kerap terjaga dan tidak dapat tidur nyenyak.

Selain mimpi mangsa juga boleh melihat secara zahir seseorang itu melakukan sihir kepadanya.
“Sama ada mimpi atau benar-benar seorang datang ke rumah melakukan sesuatu, maka benar, jelas dan sah sudah disihir,” katanya.

1) Terjumpa sesuatu yang pelik di halaman rumah atau kedai. Contoh sihir untuk memutuskan rezeki biasanya mereka menggunakan duit syiling. Banyak duit syiling ditaburkan di kedai ataupun di stor. Ditaburkan duit syiling untuk menutup rezeki.

2) Banyak jarum peniti yang dipintal dengan benang berselerak di sekeliling rumah.

3) Nampak individu yang meletak sesuatu di hadapan rumah, ini bukti sihir. Contoh, seorang wanita tua menabur tanah kubur di hadapan rumah mangsa.

RAWATAN SIHIR
Abdul Halim yang juga panel di Kementerian Kesihatan (KKM) bertugas di Hospital Sungai Buloh berkata, untuk rawatan, pesakit perlu berjumpa dengan doktor perubatan terlebih dahulu untuk mengenalpasti sakit yang dihadapi.

“Selepas berjumpa doktor dan mendapatkan ubat berkaitan seperti ubat penenang untuk tenangkan diri dan tidur atau vitamin untuk bina semula sel-sel darah.

“Sihir boleh mengakibatkan sel darah merah berkurangan apabila jin atau syaitan berada dalam darah. Jika jin berada di saluran darah juga boleh juga menyebabkan tekanan darah tinggi. Selain itu, terkena sihir atau apa sahaja sakit sekalipun pasti akan berkurangan mineral. Itu yang perlu tambah air dalam badan.

“Air yang didoakan dengan ayat-ayat ruqyah boleh diminum. Air yang diminum masuk ke dalam saluran darah, akan bertindak menolak jin tadi keluar daripada badan sama ada melalui pembuangan air kecil, besar atau peluh dan muntah. Jika doktor sudah cek darah, tekanan jantung tetapi tiada apa-apa sakit sedangkan batuk tidak henti dan tidak boleh tidur malam, baharulah berjumpa dengan perawat yang mahir,” katanya.

Mandi dengan bahan seperti daun bidara dan limau purut juga salah satu cara nabi sebut dalam hadis. Dalam al-Quran juga dinyatakan khasiat daun bidara dan aroma limau purut.

AYAT & SURAH
Dalam pada itu, beliau turut berkongsikan surah dan ayat-ayat al-Quran yang boleh ubati sihir diamalkan oleh perawat mahir namun perlu dihafal dan beramal.

“Cara mengubati adalah menggunakan ayat yang sama namun simptom individu disihir sahaja yang berbeza dan tempoh penyembuhan. Nabi sebut dalam hadis, setiap penyakit ada ubatnya. Semua sihir sama sahaja cara ubati sebab Allah SWT sebut dalam al-Quran, surah al-Baqarah yakni sihir adalah syaitan.

“Cara rawat sama ada Islam mahupun kafir, Allah menyebut dalam al-Quran, yang mengajar ilmu sihir ini adalah syaitan. Namun ada golongan jin Islam yang munafik dan fasik mengganggu manusia. Sama juga manusia yang munafik dan fasik yang mengganggu orang Islam lain. Mitos sekiranya sihir Thailand perlu berubat di Thailand atau bomoh tertentu sahaja. Ia tidak betul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN