Jue sesal buka isu dalam kain di media sosial - Utusan Malaysia

Jue sesal buka isu dalam kain di media sosial

Jue masih dihantui perasaan kesal selepas tindakannya berkongsi kisah peribadi dan rumahtangga di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarlah kata orang, masa bercinta sehinggalah membawa kepada awal perkahwinan semuanya manis dan indah-indah sahaja. Tidak nampak kekurangan, segalanya baik-baik.

Namun begitu rasa cinta yang memuncak itu memudar sedikit demi sedikit, apabila keperibadian sebenar masing-masing tidak dapat disembunyikan.

Ini termasuk kegagalan pasangan membahagikan waktu dengan baik selepas berumahtangga, isu kewangan, masalah seksual dan sebagainya.

Situasi ini dengan mudah mengubah perasaan sayang kepada kebencian dan rasa kecewa.

Kegagalan menguruskan kekecewaan menyebabkan ada antara suami atau isteri menjadikan media sosial tempat meluahkan perasaan.

Ia dijadikan gelanggang menyemai kebencian dan memburukkan pasangan.

Minggu ini saya kongsikan kisah Jue (bukan nama sebenar)yang masih dihantui perasaan kesal selepas tindakannya berkongsi kisah peribadi dan rumahtangga di media sosial beberapa tahun lalu.
Setelah difikirkan, terasa malu sendiri.

Namun apakan daya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Mungkin ketika itu tidak terlintas langsung dalam fikirannya akan kesan buruk kepada diri, pasangan dan keluarga.

Mengibaratkan media sosial seperti pisau bermata dua, di satu sisi memberikan manfaat, di satu sisi lain mendatangkan mudarat.

Menceritakan kisah cintanya dengan Zahir (bukan nama sebenar), Jue berasa serasi dan mendapati banyak persamaan dalam diri mereka terutama melibatkan minat dalam aktiviti lasak.

Namun malangnya, tidak selepas mereka berkahwin.

Jue berasa agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup Zahir kerana cara kehidupan yang berbeza semasa mereka masih bujang.

Selepas berkahwin, tinggal serumah, tidur sebantal, barulah dia nampak perangai Zahir dari bangun subuh sampai tidur semula ada sebelah malam.

Zahir digambarkan sebagai suami yang workaholic dan gagal beraksi di ranjang.

Selain kerap kali lupa waktu bersama isteri, Zahir yang terlalu leka dengan kerjaya juga kurang tertarik kepada hubungan intim.

Ternyata Zahir ‘lemah’ dan gagal memberi kepuasan kepadanya.

Dari situlah perbezaan mula dirasai.

Selepas segala sikap dan perangai sebenar ditunjukkan, ketika itu perselisihan mula tercetus.

Masing-masing tidak mahu mengalah dan ingin terus dengan cara hidup masing-masing.

Bermulalah cabaran dalam rumah tangga Jue dan Zahid.

Jue berasa dirinya tidak dihargai.

Dia yang kesunyian kerana sering ditinggalkan Zahir atas urusan kerja ketika itu, menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan perasaan.

Jue tidak dapat mengawal emosi. Dia mulai terjebak dengan tindakan mengaibkan Zahir yang gagal memuaskan kehendak batinnya di media sosial.

Selain ghairah berkongsi gambar dirinya, Jue turut mengadu suami terlalu sibuk sehingga mengabaikan dirinya yang dahagakan belaian dan kasih sayang sebagai seorang isteri.

Tanpa memikirkan kesan negatif kepada diri dan keluarga, Jue ketika itu mulai berasa diberi perhatian oleh warga maya berbanding suaminya sendiri.

Jue juga disogokkan dengan pendapat mengelirukan.

Keadaan ini membuatkan dia cenderung menggunakan emosi dalam pertimbangan hal berkaitan rumah tangganya berbanding akal yang waras.

Kesannya, Zahir menceraikan Jue dengan talak tiga atas alasan tiada persefahaman.

Selepas empat tahun berlalu, Jue mula sedar akan tindakan bodoh dan memalukan itu.

Sebelum mengakhiri perbualan, Jue sempat menitip pesan terutama kepada isteri di luar sana yang mempunyai masalah rumah tangga agar menggunakan saluran yang betul.

Sebaiknya, kongsi dengan individu yang dipercayai seperti rakan baik, ahli keluarga atau pakar kaunseling.

Sekurang-kurangnya mereka boleh memberi pandangan yang lebih berkualiti dalam membantu mengharungi masalah rumah tangga berbanding rakan di alam maya.

Malah dalam Islam sendiri menganjurkan setiap masalah yang dihadapi hanya boleh diluahkan kepada mereka yang arif mengenai agama dan hukum hakam.

Jue juga meminta kaum isteri sentiasa berwaspada dalam memuat naik apa-apa status di media sosial.

Ini kerana ia bukan medium sesuai untuk meluahkan perasaan bahkan boleh mencetuskan masalah lebih besar dan membuka ruang untuk orang luar menghakimi rumahtangga mereka.

Kisah Jue dan Zahir ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada pasangan muda terutamanya yang ingin berumahtangga.

Sekiranya ada perselisihan dalam rumah tangga, kembalilah mengingati matlamat asal perkahwinan adalah untuk mendapat redha Allah.

Perasaan cinta sahaja tidak cukup menjadi asas kebahagiaan rumah tangga.

Paling penting adalah rasa hormat antara satu sama lain , tidak membuka aib sesama sendiri dan itulah jaminan kebahagiaan rumah tangga berkekalan.

Sabda Rasullulah SAW:

Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya.

Janganlah engkau, kamu mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.

Dan sesiapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya. (HR Tirmizi 1955)

Hadis ini menuntut seseorang supaya menyembunyikan aib sendiri dan menutup keaiban orang lain kerana boleh jadi suatu hari nanti orang yang diaibkan menjadi orang yang baik, bahkan lebih baik daripada mereka yang mencela.

Lebih-lebih lagi aib melibatkan pasangan adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain.

Islam melarang umatnya membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×