MUKADIMAH
WALAUPUN baru dua tahun berada dalam PKR, Senator Dewan Negara, FADHLINA SIDDIQ berjaya membuktikan usia tidak menghalang beliau daripada mendapat sokongan ahli selepas tampil dengan idea lebih segar semasa pemilihan parti baru-baru ini.
Dengan ‘tawaran’ yang baik dan relevan, Fadhlina yang juga seorang peguam syarie berjaya memenangi jawatan Ketua Wanita PKR selepas undian semula dilakukan dengan majoriti 32 undi.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto AFIQ RAZALI, beliau percaya kemenangan itu mencerminkan kematangan parti yang memilih berdasarkan merit dan bukan tempoh berkhidmat.
Dalam temu bual ini juga, beliau sama sekali tidak bersetuju jika dibandingkan dirinya dengan Datuk Zuraida Kamaruddin dengan menganggap zaman bekas Naib Presiden PKR itu sudah berlalu.
UTUSAN: Visi dan misi selepas menjawat jawatan Ketua Wanita PKR?
FADHLINA: Sejak awal tawarkan diri untuk bertanding lagi saya sebut ingin menawarkan satu perubahan kepada parti. Saya memang baru dua tahun menjadi ahli parti tetapi pengalaman selama 20 tahun sebagai aktivis mampu dimanfaatkan untuk parti.
Kedua, merangkul semua kekuatan yang ada dalam parti dan bersedia bekerja dengan semua pihak. Dan ketiga, ikuti dengan tawaran-tawaran semasa pemilihan antaranya komponen LAWA, BANGKIT dan ASAK.
Kalau kita lihat, PKR adalah satu-satunya parti yang meletakkan 30 peratus wanita dalam semua peringkat pimpinan. Kita memang nak terjemah di peringkat cabang, negeri dan pusat.
Ini adalah tawaran dalaman saya kepada ahli dan alhamdulillah, selepas mendengar dan mereka menerimanya dengan baik.
Adakah YB (Yang Berhormat) jangka kemenangan ini pada sesi undian semula?
Pada asalnya tidak menjangka kemenangan ini kerana satu-satunya sebab, saya masih baharu dan tidak menjangka ada beberapa fasa pengumuman. Yang pertama, kalah tetapi saya terkejut tengok margin dengan lawan memang rapat dari awal. Ini bermakna Wanita PKR mahukan perubahan.
Selepas audit forensik dan diumumkan menang pun, saya menang tidak jauh. Ini bermakna penerimaan itu ada dan saya bersedia untuk bekerja dengan semua kumpulan dan sebab itu tagline saya semasa pemilihan adalah Rangkulan Reformasi. Maknanya mahu merangkul semua kekuatan yang ada untuk bersama membangunkan parti.
Kemenangan YB bukti PKR tidak bermain elemen seniority?
Itu satu kematangan yang terserlah dalam pemilihan kali ini. Ini adalah pertembungan penawaran idea. Rodziah Ismail juga tawarkan idea, saya juga tawarkan idea dan saya menang tipis sahaja. Ini bermakna tawaran itu mempengaruhi pemilihan pada kali ini.
Boleh jelaskan dakwaan mengatakan kemenangan YB disebabkan campur tangan pihak ketiga?
Semasa saya buat keputusan untuk tawarkan diri, saya rujuk semua pimpinan. Saya rujuk Ketua Wanita sedia ada ketika itu, YB-YB yang ada termasuk rakan-rakan, Nurul Izzah, Nurin Aina termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jadi, saya rasa tak betul kerana konsultasi berlaku sebab kita nak tahu juga, adakah kita masuk ini boleh beri kesan? Bolehkah tawaran kita ini diterima oleh pimpinan yang berpengalaman? Nasihat mereka saya sangat perlukan ketika itu sebab itulah saya pergi dapatkan nasihat daripada semua. Jadi, tidak timbul soal campur tangan pihak ketiga.
Difahamkan Rodziah mahu tuntut hak kerana tidak berpuas hati?
Saya pulangkan semula kepada JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti). Saya secara peribadi cukup terbuka dan jika ada proses itu dan saya perlu harunginya sekali lagi, tiada masalah cuma saya nak tegaskan soal kerja, kena move on.
Banyak perkara yang sedikit sebanyak mengganggu ketika menunggu keputusan final. Saya tiada masalah kerana itu adalah hak dia untuk teruskan proses tetapi untuk saya setakat ini, diumumkan begitu saya teruskan kerja sayalah.
Setahu saya final adalah kongres tapi tidak tahulah kalau dia nak gunakan saluran lain, saya tidak pastilah. Tapi saya ingat pimpinan sudah ambil keputusan, there’s no more re-election.
Bagaimana hubungan dengan Rodziah?
Tiada masalah, masih WhatsApp, masih boleh bekerja bersama. Saya lega mempunyai lawan yang berjiwa besar.
Wanita PKR seolah-olah tidak berperanan lagi selepas Zuraida melompat. Komen?
Tak betul tetapi ada kesan selepas ‘Langkah Sheraton.’ Selepas ‘Langkah Sheraton’, parti ambil keputusan buat penilaian semula dan dalam proses itulah saya masuk (sertai PKR). Saya tak masuk semasa parti jadi kerajaan. Saya masuk selepas lihat parti ini sedang bergolak dan tiada peneraju. Ramai keluar dan proses pengkhianatan beri kesan sangat panjang. Saya masuk itu pun rakan-rakan masih lagi dalam keadaan kecewa dan terperanjat.
Saya tekad untuk terus bersama parti. Potensi parti sangat besar. Kita sudah lalui ‘Langkah Sheraton’ yang melukakan. Semasa pemilihan pun ada yang terluka lagi. Jadi, inilah masa paling baik untuk merangkul semula semua kekuatan dan kongres ini digunakan sebaik mungkin untuk memulihkan hubungan sedia ada dan kembali kuat menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ujian terbesar saya adalah lonjakan force Wanita PKR yang signifikan. Cabaran baharu adalah kembali dengan isu yang signifikan untuk manifesto. PRU lepas kita berjaya bawa banyak manifesto yang beri kesan cukup besar seperti perkahwinan kanak-kanak, i-Suri dan sebagainya.
Kali ini saya mahu lihat Wanita PKR juga terus kekal dengan isu-isu sebegitu dan mempengaruhi sebahagian besar pengundi dengan jaminan isu yang akan kita bawa.
Bagaimana mahu menyaingi kepimpinan Zuraida?
Kami adalah dua individu berbeza, latar berbeza, zaman berbeza. Zaman beliau sudah berlalu. Ini zaman saya dan beri peluang untuk saya buktikan kemampuan dan tawaran-tawaran saya bukan sahaja kepada parti tetapi juga rangkulan Wanita untuk Malaysia yang lebih baik. Jauhlah saya dengan Zuraida.
Kini, saya memimpin Wanita yang sudah berusia 23 tahun. Ada ahli yang sudah bersama Zuraida yang kini bersama saya dan mereka adalah pejuang yang setia dengan parti. Mereka mempunyai pilihan lain untuk tidak menyokong saya, tetapi mereka pilih saya.
Akan bertanding pada PRU15?
Ya, saya akan bertanding kerusi Parlimen tetapi tidak tahu mana lagi, tapi rasanya di Selangor. Biarlah parti tentukan.
Pendapat tentang kemenangan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR?
Okey sangat, sebab memang dia menang atas pilihan ahli dan kita perlukan dia untuk pilihan raya bagi melawan UMNO. Kita (PKR) perlukan dia.-UTUSAN










