PENUNTUT tahun akhir Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu ini semakin selesa mengurus perniagaan sendiri apabila jenama pakaian Dwans yang diusahakan dua tahun lalu berdaya maju di pasaran.
Wan Nurul Aida Nazwa Wan Ahmad, 23, yang minat berniaga sejak kecil mengambil langkah tepat memilih jurusan pengajian yang sama dengan minatnya. Lantaran itu tidak hairanlah bila dia mampu memperoleh pendapatan hampir RM100,000 setahun melalui jualan pakaiannya.
“Bagi saya, tiada istilah sibuk atau tiada waktu untuk berniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabat perniagaannya di Pangkalan Chepa, baru-baru ini.
Nyata semangat itu menjadi pemangkin buat dirinya membina empayar perniagaannya sendiri.
“Bimbingan pensyarah, ilmu dan strategi perniagaan dari kuliah dan kursus samping serta sokongan rakan-rakan memberi semangat untuknya berniaga.
“Di UMK kami digalakkan menubuhkan syarikat yang berdaftar dan aktif menjalankan perniagaan samada dalam persekitaran kampus atau dunia global selaras fungsinya sebagai universiti keusahawanan.
“Rugi sekiranya penuntut jurusan keusahawanan dan perniagaan tidak cuba berdikari dengan membina perniagaan sendiri,” katanya melontarkan pandangan.
Wan Nurul bermula sebagai ejen jualan pakaian wanita sebelum memutuskan untuk mengusahakan sendiri perniagaan itu.
“Kejayaan graduan universiti dalam perniagaan turut menjadi idola saya untuk menceburkan diri sebagai peniaga.
“Ilmu dipelajari juga amat bermakna buat saya kerana ia saling berkait apabila teori secara amali diterima di bilik kuliah dapat dipraktikkan serta merta untuk menyusun strategi membangunkan perniagaannya sendiri,” katanya.
MODAL RM500
Perniagaan bermodalkan RM500 itu adalah hasil tabungan upah menjual tudung yang disimpannya.
Namun akuinya modal bukan penghalang buat dirinya terjun ke dalam dunia perniagaan.
“Berakit-rakit dahulu, bersenang-senang kemudiannya. Banyak strategi boleh dibuat termasuk memohon deposit daripada pembeli yang membuat tempahan pakaian. Apa yang penting, sikap amanah untuk memberi kepercayaan kepada pelanggan.
“Pada awalnya saya keluarkan koleksi kaftan sahaja kerana tidak punya banyak modal. Apa yang saya lakukan adalah mengumpul tempahan dan jadikan pre-order dengan mengumpulkan 100 tempahan kaftan dengan setengah deposit dari harga pakaian yang ditempah. Wang deposit itulah saya jadikan modal,” katanya.
Sehingga kini, katanya, selain pakaian wanita seperti baju kurung, skirt, jaket, blazer, palazo dia turut mengeluarkan beg tangan dan tudung.
Menurutnya, hasil pengamatan dalam dunia fesyen membolehkannya menghasilkan baju mengikut trend semasa bermula dengan pakaian santai hinggalah kepada yang lebih anggun.
“Kalau tengok zaman sekarang pengguna sudah kembali meminati pakaian simple tetapi kelihatan eksklusif,” katanya.
Dalam perancangan masa depan, Wan Nurul menjelaskan beliau ingin membuka butik cawangan di seluruh negara dan memastikan pasaran keluaran jenama Dwans berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi laman niaga media sosial.
“Begitupun, saya akan teruskan pengajian dalam jurusan yang sama sehingga impian mencapai ke peringkat ijazah kedoktoran tercapai tanpa menjejaskan perjalanan perniagaan ini,” katanya.
Mengenai kononnya pakaian dijual itu dibeli dari China dan ada peniruan fesyen K-Pop, Wan Nurul menjelaskan kesemua pakaian dijual adalah hasil rekaannya bukan dibeli secara bundle dari China.
“Rekaan fesyen yang saya hasilkan diserahkan kepada pembekal pilihan tempatan. Pembekal berkenaan menyediakan kain dan penjahit yang mahir.
“Setiap kali saya hendak keluarkan produk, saya akan membawa satu hasil rekaan untuk penjahit mengeluarkan satu contoh pakaian siap dan sekiranya dapat tempahan, baharulah ianya dihasilkan dalam kuantiti yang banyak,” ujarnya.










