“Pak Cik kenal Abu Jahal? Kami dengar dia selalu mencaci Rasulullah SAW di Mekah dahulu. Demi Allah, jika bertemu dengannya kami tak akan lepaskannya.”
Tegas dan penuh nada geram soalan yang diajukan dua remaja Ansar bernama Mu’adh bin ‘Amru bin al-Jamuh dan Mu’awwidh bin ‘Afra’ itu. Kisahnya, ketika gelojak perang Badar mula tercetus, Abdul Rahman bin ‘Auf ditanya dua remaja Ansar itu tentang identiti ‘johan pencaci’ Rasulullah SAW dalam kalangan orang Mekah. Apabila perang Badar tercetus, Abu Jahal dikeronyok sehingga putus nyawa oleh dua remaja Ansar itu. (Sahih Muslim, 3296).
Dahsyat cara Allah memalukan Abu Jahal. Seorang tokoh besar Mekah tewas kepada remaja yang belum mencecah usia 20-an pun. Ia umpama pasukan bola sepak terkenal, Liverpool tewas teruk kepada pasukan bola sepak Kampung Mentuan dari ceruk negeri Kelantan.
Dalam sebuah kisah lain, seorang hamba wanita mati dirodok pisau oleh tuannya yang buta dek kelancangannya mewiridkan cacian kepada Rasulullah SAW. Tuannya yang buta sudah berulang kali menegah tindakannya, namun tegahan itu tak pernah diendah, lalu suatu malam si hamba wanita menemui ajalnya. (Sunan Abu Dawud, 3795).
Begitu juga nasib pemimpin Yahudi Madinah bernama Ka’ab bin al-A’syraf yang lantang mencaci nabi dan menyebarkan kebencian kepada Rasulullah SAW. Dia mati dibunuh adik angkatnya, Muhammad bin Maslamah r.a. (Sahih al-Bukhari, 2806 & Sahih Muslim, 3359).
Perangai mencaci Nabi SAW berterusan sehingga zaman ini kerana genetik Abu Jahal dan Ka’ab bin al-Asyraf akan terus turun kepada generasi manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Tambah menyedihkan jika yang melakukan jenayah ini terdiri daripada orang yang bangsanya sinonim dengan Islam iaitu bangsa Melayu.
Secara logiknya, tindakan mencela Nabi SAW akan mencetus api amarah semua penganut Islam. Fakta ini tidak memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi pun. Ini kerana umat Islam wajib mencintai Rasulullah SAW sepenuh jiwa raga.
Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir. (ali-‘Imran:31-32)
Cinta kita kepada baginda bukan cinta buta ikut-ikutan tetapi cinta sejati kekal sehingga selepas mati. Ini kerana jasa baginda menyelamatkan kita semua daripada bencana jahiliah dan musibah kawah api neraka.
Oleh itu, pihak yang berani mencaci Baginda SAW atau mempersenda agama bawaan baginda dengan pelbagai caranya sama ada melalui video pendek media sosial atau pentas lawak bodoh sepatutnya perlu bersedia menerima padahnya bermain api.
Nabi Muhammad SAW sudah wafat 1,400 tahun, namun baginda tetap hidup dalam hati nurani setiap Muslim di seluruh dunia. Suka saya ingatkan ‘satu jaminan’ yang Allah sendiri nyatakan dalam al-Quran kepada pencela baginda.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu daripada kejahatan orang yang mengejek dan mempersendakanmu. (al-Hijr: 95)
Ketika mentafsirkan ayat ini, para ulama membawa kisah bagaimana geng pencaci Rasulullah SAW dalam kalangan Musyrikin Quraisy menemui ajal secara tragis satu persatu.
Pastinya ayat ini releven sampai kiamat kerana ia datang dari Allah. Allah pasti akan ‘menjentik secara kasar dan lembut’ pencela junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
Tak percaya? Semua rakyat Malaysia boleh lihat dengan jelas dalam kes pelawak bodoh yang mempersenda agama Nabi kita di kelab lawak haram miliknya dan juga yang terbaru kes Muzil Juling yang angkuh mencabar Muslim Malaysia melalui media sosial miliknya.
Percayalah, walau seramai mana sekali pembenci Baginda SAW bangkit mencela, nama baginda tetap harum kerana Allah sendiri mengangkat nama nabi kita seteguh gunung bersama nama-Nya (al-Insyiraah: 4). Walau sekuat atau senyaring mana sekali salakan si anjing, gunung tetap teguh berdiri tak berganjak walau satu mikron pun.
Benarlah firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). (al-Kauthar: 3).
Akhirnya, saya mencabar orang yang bencikan Nabi Muhammad SAW agar melapangkan seketika otak mereka untuk mengenal baginda dari sumber yang adil dan saksama. Lapangkan minda anda untuk meneliti kisah hidup serta ajaran baginda yang sudah menggunung jumlahnya.
Saya yakin sepenuh hati, jika anda tidak mengakui kenabian baginda pun, paling kurang hormat anda kepada baginda akan mula berputik. Jika anda sudah bergelar Muslim pula, sudah sampai masanya anda mendalami ilmu mengenal baginda agar kita lebih faham mengapa umat Islam sedunia sangat sensitif tentang perbuatan mencela baginda.
——-
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










