Bekas Cef jual nasi lemak, burger bertaraf lima bintang - Utusan Malaysia

Bekas Cef jual nasi lemak, burger bertaraf lima bintang

MUHAMAD AZRUL guna wang pampasan diberhentikan kerja untuk membuka kiosk Street Burger.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau sudah bergelar Cef, jual nasi lemak bungkus daun pisang tepi jalan pun boleh laris sehingga mencecah 700 bungkus dalam beberapa jam saja.

Bekas Cef hotel lima bintang, Muhamad Azrul Abu Samah,39, tidak pernah menyangka cubaannya dan isteri, Farah Aiza Ahmad,37, berniaga nasi lemak bungkus di kampungnya di Kuala Kangsar ketika bercuri raya dua tahun lalu, mendapat sambutan hangat pelanggan.

Seronok dengan pengalaman dialaminya itu, pasangan ini menjadi lebih bersemangat untuk berniaga. Rasa malu menebal ketika awal berniaga sebelum ini, hilang sebaik sahaja melihat hasil jualan nasi lemak yang bagaikan ‘durian runtuh’ itu.

“Malu juga berniaga tepi jalan, maklumlah sebelum ini, tugas saya hanya memasak di dapur hotel saja dan memastikan semua masakan terhidang sempurna. Tiba-tiba kena duduk di tepi jalan, pasang payung berniaga nasi lemak pula. Memang terasa kekok sangat.

“Mula-mula saya jual 50 bungkus nasi lemak saja pada hari raya kedua sebab saya tahu, pasti ramai yang hendak mencari sarapan kerana sudah jemu dengan rendang dan lemang pada hari itu. Tak sampai setengah jam, nasi lemak yang dijual pada harga RM2 sebungkus yang mengandungi sambal, telur, kacang, timun dan ikan bilis bersaiz besar, licin dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhamad Azrul berpengalaman bekerja di beberapa hotel terkemuka di ibu kota dan luar negara, terpaksa menerima tawaran berhenti kerja berikutan hotel tempat beliau mencari rezeki ketika itu ditutup selepas dilanda Pandemik Covid-19.

Dalam suatu situasi, pernah terdapat 20 pelanggan menghuni hotel berkenaan, menyebabkan mereka terpaksa dipindahkan ke hotel lain.

Akur dengan situasi itu, Muhamad Azrul berkata, sedari awal beliau sudah bersiap sedia menerima takdir apabila majikan mula memotong separuh gaji setiap pekerja.

Malah sebelum diberhentikan kerja, majikan kerap memberi cuti dan setiap kali bercuti itulah, Muhamad Azrul mengambil kesempatan menjual nasi lemak.

Bermula jam 5 hingga 7 petang, Muhamad Azrul menjual nasi lemak bungkus di tepi jalan dengan membuka meja dan payung, berhadapan kawasan perumahannya di Laman Delfina, Nilai Impian untuk menambah pendapatan.

“Masa mula dulu, sambutan diterima agak dingin kerana berkemungkinan lokasi gerai tidak sesuai. Selepas itu, saya membuat keputusan berniaga di tepi jalan ini yang menjadi laluan orang ramai.

“Nyata lokasi ini sesuai kerana semakin ramai pelanggan datang membeli nasi lemak bungkus saya. Dalam masa dua jam, sebanyak 300 bungkus nasi lemak habis dibeli oleh pelanggan yang kebanyakannya baru pulang daripada kerja. Kejayaan itu menyuntik semangat saya untuk terus berniaga,” katanya yang pernah terbang hingga ke Rusia dan Arab Saudi sewaktu menjadi cef.

BURGER LIMA BINTANG
Daripada berniaga di bawah payung, Muhamad Azrul mendirikan kiosk Yusuf Street Burger untuk memperluaskan perniagaannya dengan menjual burger sebagai menu tambahan. Pengalaman isterinya, Farah sebagai Sous Chef di pelbagai restoran sekitar ibu negara, digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan pelbagai menu burger buatannya sendiri.

Burger eksotik menggunakan daging arnab, rusa, burung unta, kambing, wagyu dan berasaskan makanan barat lain yang digubah menjadi burger seperti fish n chip, ayam goreng mentega susu ranggup (butter milk crispy chicken) dan sosej bertaraf restoran lima bintang antara menu unik ditawarkan.

“Nak tak nak, saya memang kena menambah menu untuk ditawarkan kepada pelanggan. Saya sedar, kami tidak boleh hanya fokus pada satu jenis menu saja. Dari situ, saya mula berniaga burger. Mula-mula saya menjual burger biasa saja pada bulan September, 2020.

“Duit pampasan yang saya dapat, saya gunakan sedikit untuk membuat kiosk ini dan buat sedikit pengubahsuaian bagi memastikan tidak dimasuki air ketika hujan. Ketika berniaga di bawah payung dulu, pernah payung diterbangkan angin ketika hujan ribut,” katanya yang turut menyediakan air teh lemon secara percuma untuk pelanggan menghilangkan dahaga sambil menunggu makanan ditempah, siap.

Muhamad Azrul berkata, dia kini semakin seronok berniaga malah semakin kurang tekanan berbanding ketika bekerja makan gaji.

Baginya di sebalik musibah Pandemik Covid-19, terselit pengajaran bermakna untuknya, di mana menerusi perniagaan itu. beliau mampu menggaji tiga orang pekerja.

“Kalau dulu, saya tidak pernah nampak ‘jalan’ berniaga ini kerana sibuk bekerja berhempas pulas di hotel tanpa mengira siang atau malam. Kini saya lebih gembira kerana dapat meluangkan masa bersama anak dan isteri berbanding sebelum ini, susah hendak bercuti bersama mereka,” katanya.

RESEPI SENDIRI
selain nasi lemak, setiap makanan barat dihasilkannya diberikan sentuhan resipi sendiri supaya setanding dengan makanan ditawarkan di restoran lain yang terkenal dalam kalangan penggemar makanan barat.

Kata Farah, keunikan mereka terletak pada pati burger yang dibuat olehnya sendiri di rumah.

Sos yang dihidangkan bersama Fish & Chip pula adalah sos tartar dan bukannya sos mayonis seperti sering digunakan dalam burger biasa.

“Burger paling laris adalah burger Fish & Chip, Butter Milik Crispy Chicken dan kambing. Nasi lemak masih menjadi pilihan utaman pelanggan dan antara yang paling cepat laris sehingga ada pelanggan tetap yang menempah awal-awal lagi bagi memastikan mereka dapat menikmatinya bila petang nanti,” katanya yang fokus pada sajian barat.

Dalam perancangan masa depan kata Farah, mereka berdua ingin mengembangkan perniagaan dengan membuka sebuah restoran, namun setakat ini belum ada lokasi sesuai untuk melaksanakan impiannya itu.

Pun begitu katanya, buat masa ini, mereka berdua berpuas hati dengan pendapatan hasil perniagaan dijalankan di situ.

“Kalau boleh kami mahu buka restoran di sekitar kawasan perumahan ini tetapi pada masa ini belum ada kedai yang sesuai untuk disewa. Sementara itu kami akan memastikan perniagaan benar-benar stabil dengan menambah lagi menu tersendiri dan unik supaya dapat menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Rata-rata pelanggan ke kiosk mereka terdiri daripada golongan pekerja yang mahu makan malam dengan hidangan yang enak tetapi cepat pada harga berpatutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×