Terima Tengku Zafrul dengan fikiran terbuka

Terima Tengku Zafrul dengan fikiran terbuka

TENGKU zafrul
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

CETUS kontroversi bukanlah karakter sebenar kerana ia hanyalah watak yang diwujudkan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, DATUK SERI JAMAL YUNOS ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR, baru-baru ini menjelaskan, niat beliau hanyalah semata-mata ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang isu semasa yang berlaku khususnya di Selangor.

JAMAL YUNOS

Memberi contoh, isu gangguan bekalan air di Selangor pada 2016, beliau hadir ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan memakai tuala sambil membawa alat mandian sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri ketika itu.

“Saya tahu jika saya buat sebegitu, mesejnya lebih berkesan berbanding memberi kenyataan media. Malah sehingga hari ini masyarakat masih ingat setiap apa yang saya lakukan.

“Tetapi itu bukan saya, ia cuma watak yang diwujudkan semata-mata,” katanya.

 

UTUSAN: Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan) calon ideal untuk ditonjolkan di Selangor?

JAMAL: Kekurangan di Selangor adalah kita sudah kalah tiga penggal. Saya sendiri sebagai salah seorang ahli jawatankuasa negeri (UMNO) merasakan walaupun ramai sebenarnya pemimpin-pemimpin di Selangor yang berpotensi, tetapi kita memerlukan seorang pemimpin ‘heavy weight’, yang mempunyai pengalaman, latar belakang dan saya lihat Tengku Zafrul berusaha untuk ke arah itu.

Jadi, sebenarnya usaha itu sudah ada pun. Pertamanya, bila datang ke Kuala Selangor dilihat pimpinan di Kuala Selangor menolak beliau. Jadi, gagasan saya itu bukanlah nak panggil dia masuk bertanding di Sungai Besar sebenarnya.

Tetapi lebih kepada untuk memberikan mesej kepada rakan-rakan di negeri, kalaulah di Kuala Selangor, tempat kelahiran beliau itu, beliau tidak diterima, saya kata you boleh datang ke Sungai Besar.

Jadi, maksudnya kesediaan saya itu untuk memberikan gambaran bahawa kita pemimpin di Selangor lebih-lebih lagi Kuala Selangor, itu tempat dia lahir, jadi kita kena terima beliau dengan fikiran yang jauh, lebih terbuka. UMNO Selangor ini kalah, apa yang nak dibanggakan?

Datuk Seri sedia berkorban jika Tengku Zafrul dicalonkan di Sungai Besar?

Ya. Dalam perjuangan memerlukan pengorbanan, bersedia dikorbankan dan mengorbankan diri. Jadi kalau semua pemimpin menghayati konsep awal kenapa kita duduk sebagai pemimpin, saya rasa semua orang akan berjiwa besar demi memenangkan parti.

Dr. Mohamad Khir Toyo ingin membuat kemunculan semula pada pilihan raya umum (PRU) kali ini. Komen?

Tiga penggal UMNO kalah PRU di Selangor sejak 2008 ketika Mohamad Khir menjadi Menteri Besar ketika itu, kita melihat dia ini terlalu sombong dengan kenyataan yang dikeluarkan. Contohnya, bagaimana nak menangani pentadbiran kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan majlis-majlis daerah negeri itu.

Dia menjatuhkan martabat penjawat awam negeri, bagi penyapu, kenyataan-kenyataan pedas kepada pegawai-pegawai kerajaan, sehinggakan saya lihat banyak pegawai kerajaan selepas itu kurang memberikan kerjasama kepada beliau.

Keduanya, mungkin terlalu cepat Mohamad Khir dari dalam parti, pemuda umur muda tiba-tiba diangkat menjadi menteri besar. Ketika itu dia hanyalah seorang doktor klinik gigi. Contohnya, dari tidak ada apa- apa terus menjadi jutawan. Oleh kerana dia terkena kejutan budaya, maka dia membuat sesuatu keputusan mengikut perhitungannya sendiri.

Jadi, amat malanglah UMNO Selangor terhadap apa yang berlaku dan saya melihat juga daripada kekalahan PRU12 itu sehingga hari ini tidak pernah sekalipun kenyataan daripada Mohamad Khir memohon maaf,  menyesali secara terbuka kepada rakyat Selangor tentang kekalahan pada PRU12 yang membawa runtuhnya kerajaan.

Mampukah PKR mempertahankan Selangor pada PRU15?

PKR pun sangat bermasalah, kalau melihat dalam pemilihan yang baru ini, hanya 12 peratus yang keluar mengundi. Macam mana?

Ini menggambarkan ahli-PKR sendiri sudah tak berminat dengan parti mereka. Ditambah pula dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan bekas Timbalan Presiden PKR sudah membawa sebahagian besar pengikutnya keluar daripada parti. Jadi, masalah parti yang saya lihat di Selangor ini, tidak ada sebuah parti yang benar-benar solid, masing-masing mengharapkan antara satu sama lain.

Jadi, kelebihan UMNO adalah Perdana Menteri orang UMNO dan keduanya pengalaman buruk rakyat selama 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah dan ketika itu barulah mereka tahu apabila kerajaan negeri yang diperintah PH, banyak kekurangan yang tak dapat ditutupi sewaktu memerintah dulu.

Banyak kesimpulan menjurus kepada kelebihan Barisan Nasional (BN), UMNO boleh kembali di Selangor, tetapi dengan syarat UMNO dan BN kena bersifat lebih berani dan pemimpin UMNO di Selangor perlu menghayati kembali tentang untuk apa mereka berada di dalam perjuangan parti.

UMNO Selangor mampu menang jika PRU diadakan segera?

Ya, PRU perlu diadakan segera. Kerajaan yang dilihatnya sebuah kerajaan tetapi dianggotai oleh kumpulan yang masing-masing nak ‘bunuh’ masing-masing, maksudnya tikam belakanglah. Jadi, kerajaan yang ditubuhkan untuk sementara ini perlu diserahkan balik kepada rakyat.

Pertama, kita nak elakkan jika ada ahli Parlimen yang umumkan tarik sokongan dan tidak menyokong kerajaan. Sampai bila perkara ini nak berlaku? Sebagai seorang Perdana Menteri seharusnya fokus 100 peratus membangunkan negara dan menjaga kesejahteraan rakyat.

Bukan nak jaga kumpulan, ahli Parlimen, orang politik ini sepanjang masa. Betul, perlu jaga juga tetapi bukan sepanjang masa memikirkan berpolitik sahaja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN