TAMPIL dengan lagu berbentuk ketuhanan dan kerohanian, penyanyi dan pelakon, Fattah Amin mengaku, kini lebih selesa dengan genre lagu seperti itu untuk diperdengar dan dikongsikan bersama peminat.
Menurut Fattah, lagu-lagu seperti itu menyuntik rasa ketenangan buat pendengar dan itulah yang dirasakannya saat bersetuju memulakan langkahnya dalam mewarnakan kerjaya seni muziknya dengan lagu berkonsep sedemikian.
Kata Fattah, entah mengapa, kali ini menerusi single baharu berjudul Padamu, dia yakin langkahnya sekali lagi tidak salah dalam membawakan naskhah lagu yang mempunyai kandungan mesej positif.
“Lagu ini mengisahkan tentang rasa seorang hamba pada pencipta-Nya yang sentiasa percaya pada-Nya. Walaupun sehebat mana kejayaan yang kita kecapi atau sedalam mana kegagalan yang kita alami, kita masih tetap rasa cinta dan syukur di bawah peliharaan serta lindungan-Nya.
“Melodi asal lagu ini dicipta oleh Ikhwan. Cuma liriknya telah diubah semula setelah saya berkongsi dengan Universal Music mengenai hala tuju dan maksud yang saya mahukan untuk lagu terbaharu saya itu.
“Selepas mendengar kisah yang saya diceritakan, Ikhwan selaku penulis lirik mengubah semula seni kata berdasarkan mesej yang ingin saya kongsikan itu. Tapi saya sendiri menyukainya kerana bila mendengar, hati dan jiwa terasa tenang,” katanya.
Berkongsi lanjut katanya, genre lagu seperti itu sebenarnya tidak asing buat dirinya termasuk isteri tercinta, Nur Fazura.
Kata Fattah, mungkin ramai tidak tahu bahawa mereka berdua memang gemar mendengar lagu genre kerohanian.
“Pada kebanyakan masa, kami memang berkongsi minat yang sama dalam bab muzik. Kami suka lagu seperti ini sebab memang kena dengan jiwa.
“Bagi kami, lagu ketenangan dan kerohanian ini bagaikan sebuah terapi diri dan halwa telinga.
“Maklumlah, sehari-harian kita semua asyik sibuk dengan urusan kerja, diuji dengan pelbagai masalah dan adakalanya berdepan dengan tekanan. Kita hanya insan kerdil, tak semua perkara mampu dikendalikan. Bila dengar lagu begini boleh bantu kita relaks sedikit,” katanya.
Dapat bimbingan guru vokal
Ditanya mengenai usahanya memperbaiki kelemahan vokal yang sebelum ini pernah dikritik ramai, Fattah menerusi lagu ini bagaimanapun membuktikan peningkatan yang baik dan mengaku mendapatkan bimbingan daripada guru vokal profesional.
“Kalau ada yang kata vokal saya dah bertambah baik, saya bersyukur. Bagi saya, ia semua kerana pengalaman. Macam lakonan jugalah. Kalau tak bagus, kita belajar dan buat sehabis baik lagi.
“Begitu juga dengan nyanyian. Saya cuba perbaiki kelemahan yang ada, buat latihan dan Alhamdulillah, makin baik. Saya masuk juga kelas vokal bersama Cikgu Syafi dan Mark Adam. Saya tahu diri tak bagus, jadi saya belajar,” katanya.
Dalam pada itu, berkongsi pengalaman di studio, Fattah meluahkan rasa syukur kerana proses rakaman lagu itu berjalan lancar.
“Saya amat berterima kasih dengan Wan Salleh yang banyak membantu saya ketika proses rakaman berlangsung,” katanya yang sebelum ini pernah tampil dengan lagu Kiriman Agung, Sinar Selawat dan Hamba.
Mengulas mengenai pembikinan muzik video (MV) lagu ini, Fattah mengakui berdepan cabaran untuk menghasilkannya berikutan tarikhnya bertembung ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Lebaran.
“Lagu ini dilancarkan di semua pelantar digital pada April lalu iaitu berdekatan tarikh perayaan Aidilfitri. Disebabkan itu timbul cabaran apabila lagu ini terpaksa bersaing dengan lagu-lagu raya.
“Bagaimanapun kami tidak melihat perkara itu sebagai satu halangan kerana bagi saya yang penting adalah mesej dan rasa yang saya hendak sampaikan pada pendengar.
“Walaupun pembikinan MV lagu ini sedikit lewat kerana saya mahu ia dilancarkan selepas hari raya, saya tetap berpuas hati dengan hasilnya yang nampak ringkas tetapi bermakna,” ujar Fattah.
MV Padamu sudah boleh ditonton di saluran Youtube rasmi penyanyi itu mulai 9 Jun lalu.










