KULIM: Kegembiraan sebuah keluarga meraikan ulang tahun kelahiran seorang kanak-kanak perempuan di Sungai Sedim, di sini bertukar tragedi apabila fenomena kepala air meragut tiga nyawa, petang tadi.
Dalam kejadian itu, Nur Atikah Abdullah, 28; sepupunya, Muhammad Aariz Danial Md. Radzi, 3; dan seorang lagi pengunjung, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus deras.
Adik mangsa, Nur Arif Sukri, 26, berkata, tragedi berkenaan amat memilukan kerana berlaku ketika keluarganya sedang meraikan ulang tahun ketujuh anak sulung Allahyarhamah Nur Atikah iaitu Nur Atiya Sofiya Shazwan.
Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas sehingga dia tidak menyedari kakaknya turut menjadi mangsa.
“Semua berlaku dalam sekelip mata. Ketika itu saya nampak kakak berada di tebing sungai dan sangka dia sudah selamat, tetapi rupa-rupanya dia turut dihanyutkan arus,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kulim, di sini.
Menurut Nur Arif, dia bersama kira-kira 10 ahli keluarga berada di pusat rekreasi tersebut untuk berkelah dan menyambut hari lahir anak saudaranya.
“Saya baru selesai makan apabila kakak memaklumkan dia nampak kepala air, tiba-tiba arus menjadi deras. Ketika itu kira-kira lapan ahli keluarga termasuk kakak, abang ipar, anak saudara dan adik-adik saya sedang mandi.
“Saya yang berada di tebing terus terjun untuk membantu. Mula-mula saya sempat menarik dua adik berusia 12 dan lima tahun serta memeluk mereka, namun arus terlalu kuat sehingga kami terlepas,” katanya.
Katanya, kedua-dua adiknya bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam, manakala dia turut dihanyutkan sebelum sempat berpaut pada ranting pokok dan berjaya naik ke tebing sungai.
“Ketika itu keadaan sangat kelam-kabut. Saya hanya bersyukur ada penduduk dan pengunjung lain yang bertindak pantas membantu mangsa,” katanya.
Akhbar ini melaporkan, tiga mangsa ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat fenomena kepala air melanda Taman Eko Rimba Sungai Sedim kira-kira pukul 2 petang itu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, siren kecemasan di tempat kejadian dilaporkan mengalami kerosakan. – UTUSAN










