BAM beri masa gandingan baharu bukti kemampuan

BAM beri masa gandingan baharu bukti kemampuan

Kenny Goh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak melihat kekalahan sulung gandingan baharu Man Wei Chong-Soh Wooi Yik pada Terbuka Jepun kelmarin sebagai petanda awal kegagalan, sebaliknya percaya percaturan barisan kejurulatihan memerlukan masa sebelum dapat dinilai secara menyeluruh.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, rombakan membabitkan sektor beregu lelaki dibuat hasil keputusan bersama barisan jurulatih yang mempunyai perancangan tersendiri dalam usaha mencari kombinasi terbaik menjelang musim kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 tahun depan.

“Sebagai pentadbir, saya menghormati keputusan yang dibuat oleh barisan jurulatih. Semua ini adalah keputusan bersama dan saya pasti mereka mempunyai perancangan tersendiri mengenai kombinasi pemain beregu.

“Ini baru kejohanan pertama. Saya percaya para jurulatih akan terus memantau perkembangan semua pasangan sebelum membuat keputusan yang terbaik,” kata pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Tertutup Kuala Lumpur 2026 di Stadium Titiwangsa, semalam.

Kelmarin, Wei Chong-Wooi Yik memulakan kempen Terbuka Jepun dengan langkah kiri apabila tewas 23-21, 17-21, 16-21 kepada pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen pada pusingan pertama dalam penampilan sulung mereka sebagai gandingan baharu.

Menurut Kenny, BAM tidak menetapkan tempoh singkat untuk menilai keberkesanan eksperimen berkenaan kerana pemain masih memerlukan masa menyesuaikan diri, dengan satu lagi ujian menanti di Terbuka China minggu depan.

“Kami masih ada Terbuka China minggu depan. Saya percaya jurulatih akan terus memantau prestasi setiap pasangan sebelum membuat penilaian.

“Kalau boleh, kami mahu memuktamadkan keputusan sebelum bermulanya musim kelayakan Olimpik,” katanya.

Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi melakukan rombakan besar dengan memisahkan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, menyaksikan Wooi Yik digandingkan bersama Man Wei Chong, manakala Aaron bergandingan dengan Aaron Tai sebagai sebahagian daripada percaturan baharu skuad negara.

Selain itu, menjelang Terbuka China minggu depan, Kai Wun bakal berganding dengan Yap Roy King manakala Arif Junaidi akan berpasangan dengan Kang Khai Xing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN