fbpx

28 Jun 2022, 7:35 am

  TERKINI

Kedamaian Kuala Sat tarik kunjungan pelancong

Sebahagian pengunjung berpeluang menyelami budaya penduduk Orang Asli etnik Bateq ketika berkunjung ke Kampung Bengoi berdekatan Kuala Sat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKIRANYA berhasrat merasai ketenangan untuk membebaskan diri dari hiruk-pikuk kota serta menghilangkan tekanan kerja bolehlah mengunjungi Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, Jerantut.

Kampung tradisional Melayu terletak di pesisir Sungai Tembeling ini betul-betul menghadap anak Sungai Sat. Ia terletak dalam kawasan Taman Negara suatu destinasi pelancongan di Pahang yang kian dikenali dalam kalangan pelawat domestik.

Kawasan itu juga antara destinasi persinggahan baharu pelancong Barat selepas Taman Negara Kuala Tahan. Khazanah flora dan faunanya masih terpulihara baik dan sempurna.

Tidak sukar untuk sampai ke Kuala Sat kerana destinasi itu berdekatan dengan Taman Negara yang sudah dihubungkan dengan jalan raya ke Ulu Tembeling. Cuma ia mengambil masa selama 30 minit berkenderaan dari Kuala Tahan dan satu jam setengah dari bandar Jerantut.

Pengunjung pasti teruja apabila singgah bercuti bersama keluarga di sini. Peluang berkelah di pinggir Sungai Sat, aktiviti safari sungai, iaitu berakit, berperahu getah (tubing), menggagau siput, berenang dan berkelah antara aktiviti boleh dilakukan di sini.

Pengusaha dan penggiat ekopelancongan turut menyediakan tapak perkhemahan di pinggir Sungai Sat bagi mereka yang berminat menikmati suasana malam pinggir hutan tropika dan memancing.

Pengunjung juga akan teruja kerana dapat bermain dan memberi makanan ikan liar, iaitu ikan kelah dan spesies lain di santuari muara Sungai Sat (anak Sungai Tembeling) yang jinak yang kerap datang menghampiri dan menyentuh kulit (badan) ketika berenang di kawasan itu.

Bagi kaki pancing dan menjala, sudah tentu Sungai Tembeling yang menjadi habitat ikan liar yang bermutu tinggi dan mahal di pasaran berpeluang menangkap ikan kelah, ikan patin, ikan temoleh, ikan genahak dan sebagainya yang sesuai dimasak bercampur asam tempoyak.

BANYAK BOT PENAMPANG

Kemudahan bot penampang, alat memancing, makanan ikan, tiub getah, chalet untuk penginapan malahan makanan kampung turut disediakan pengusaha ekopelancongan yang kebanyakkanya diusahakan penduduk tempatan.

Pengunjung berpeluang melawat penempatan penduduk Orang Asli etnik Bateq Kampung Bengoi berdekatan kampung tersebut yang merupakan antara pakej diaturkan pengusaha ekopelancongan bagi mengenali adat resam dan kesenian masyarakat minoriti itu.

Pengusaha ekopelancongan Kuala Sat, Alias Hashim, 44, berkata, usaha mempromosi kampung itu menerusi laman sesawang dan syarikat pelancongan luar membolehkan hampir 3,000 orang pengunjung domestik singgah di situ sejak negara beralih kepada Fasa Peralihan Endemik, April lalu.

“Kami menerima ramai pelancong antarabangsa dan pelawat domestik untuk menyertai aktiviti rekreasi seperti berkhemah, berkelah, memancing di anak sungai Sat, berakit buluh dan tiub tayar dan melawat perkampungan Orang Asli etnik Bateq.

“Ada pengunjung terutama pelancong Barat memilih tinggal di pusat inap desa milik penduduk di sini untuk mengalami pengalaman suasana di kampung pada waktu malam dan menghayati keindahan hujan tropika Taman Negara di seberang Sungai Tembeling yang masih belum tercemar,” katanya.

‘Banyak spesies dilindungi ada di sini’

KETUA Kampung Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 50, berkata, penggiat dan pengusaha ekopelancongan di situ bertuah kerana Jabatan Perikanan Pahang (JPP) mewujudkan santuari ikan liar sebagai tarikan pengunjung ke situ.

Katanya, menerusi Program MyKomuniti Perikanan (MyKP) di bawah penyeliaan JPP lebih 100,000 ekor ikan dilepas dan dipulihara sejak beberapa tahun lalu. Penduduk di sini diamanahkan untuk menjaga bagi tujuan pembiakan spesies air tawar khususnya manfaat bagi tujuan ekopelancongan.

“Antara spesis dilepaskan dan dipulihara dalam santuari MyKP ialah ikan lampam, ikan kerai dan ikan kelah,” katanya.

Katanya, semasa penguatkuasaan PKP dan musim banjir setiap kali penghujung tahun, santuari ini ditutup sementara dan dibuka semula mulai dua bulan lepas berasaskan kebenaran pihak berkuasa dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Rakan pengusaha ekopelancongan, Suhaidi Erwan Zainuddin, 33, berkata, pihaknya menyediakan kemudahan logistik yang lengkap termasuk pusat inap, pemandu pelancong dan bot penambang serta kelengkapan rekreasi dan riadah untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Kami hanya mengenakan caj yang berpatutan kepada pengunjung untuk bermalam dan menyertai aktiviti yang disediakan.

“Bagi pengunjung yang meminati tangkapan ikan liar secara memancing, kami turut menyediakan kemudahan pemandu dan bot penambang menjelajah Sungai Tembeling dan Sungai Sepia sehingga ke hulu sungai secara pakej bermalam termasuk pengurusan permit,” katanya.

Pengunjung tempatan, Zulkefly Jamaluddin, 56, berkata, kunjungan ke kampung tersebut membolehkannya berpeluang menikmati keindahan hutan tropika dan keunikan sungai yang belum tercemar bagi melakukan kegiatan rekreasi dan riadah bersama keluarga.

“Kemudahan penginapan dan makanan juga disediakan dengan caj berpatutan memberikan keselesaan pengunjung domestik menjimatkan perbelanjaan lebih lagi masih berdepan dengan tempoh pemulihan wabak Covid-19,” katanya.

Mereka yang berhasrat untuk membawa keluarga dan kumpulan masing-masing ke Kampung Kuala Sat bolehlah mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi Alias Hashim menerusi talian 017 9313220 atau 017 9425691 (Suhaidi Erwan) dan 017 9242382 (Masdi Ahmad).

POPULAR

KOSMO! TERKINI