Karen Gillan inspirasi pelakon muda - Utusan Malaysia

Karen Gillan inspirasi pelakon muda

Nama Karen melonjak selepas membintangi filem Jumanji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya semakin mendapat tempat di hati peminat filem Hollywood seluruh dunia terutamanya selepas kejayaannya melakonkan watak Nebula, anak kepada Thanos, sejenis makhluk dari planet Titan dalam filem keluaran Studio Marvel, Guardians of the Galaxy 2014 dan dua lagi filem bersiri Avengers.

Namun pesona Karen Gillan, 34, sebenarnya sudahpun meningkat naik di United Kingdom (UK) sejak melakonkan watak sebagai Amy Pond dalam drama bersiri UK, Doctor Who pada 2008 dan 2010-2013.

Sehingga kini Karen sudah berlakon dalam 22 buah filem dan pelbagai siri dan jenis drama. Filem terbaharunya, Thor: Love and Thunder bakal ditayangkan dalam masa terdekat. Pelakon asal kota Inverness, Scotland ini ternyata sangat disenangi peminatnya yang menyifat­kannya sebagai individu baik hati, lucu dan ‘bersih’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya mula meminati Karen Gillan sewaktu menonton dua buah siri filem Jumanji, Welcome to the Jungle (2017) dan The Next Level (2019). Dalam kedua-dua filem ini, dia memegang watak sebagai Martha Kaply, seorang pelajar sekolah yang pemalu yang kemudiannya bertukar kepada Ruby Roundhouse, seorang wanita yang berperwatakan ala tentera. Berlakon disamping Dwayne Johnson atau The Rock menjadikan dirinya lebih dikenali.

Karen pernah bergandingan dengan artis kebanggaan tanah air Tan Sri Michelle Yeoh dalam filem, Gunpowder Milkshake pada 2021.

Dalam filem itu, Karen memegang peranan sebagai watak utama, Sam yang merupakan seorang pembunuh upahan manakala Michelle Yeoh sebagai Florence, salah seorang ahli dalam kumpulan pembunuh upahan wanita.

Keghairahannya dalam dunia lakonan bermula sejak di bangku sekolah lagi. Beliau pernah berkongsi sebuah video lama beliau di Instagramnya sendiri yang kononnya sedang berlakon dalam filem seram bersama bapanya yang kuat menyokong cita-cita anaknya.

Ketika itu, dia masih berusia 13 tahun dan merupakan anak tunggal dalam keluarganya.

MINAT MENDALAM
Minat mendalam diselangi kerja keras serta penghijrahan merupakan tiga faktor utama saya pelajari dari Karen Gillan. Sekiranya kita ingin mencapai sesuatu dalam hidup atau melakukan sesebuah pekerjaan, kita harus melakukannya disebabkan minat, bukan kerana ia sekadar sebuah pekerjaan atau disebabkan matlamat yang ingin dicapai itu dilihat menguntungkan.

Realitinya setiap sosok yang berjaya, pasti pernah berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan hidup.

Karen Gillan bukan sahaja perlu berjuang dalam kerjayanya bahkan perlu berhadapan dengan masalah anxiety (keresahan).

Hijrah pada usia awal merupakan antara aspek penting dalam mengecapi kejayaan, namun ramai yang terlepas pandang. Seperti Karen, seawal usia 16 tahun beliau berhijrah ke Edinburgh, ibu kota Scotland yang kemudiannya ke Akademi Teater Italia Conti di London bagi meningkatkan ilmu dan bakatnya dalam lakonan. Seterusnya, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat pada 2013 untuk terus berkembang dalam industri lakonan.

Saya tidak melihat Karen Gillan sebagai seorang artis yang sentiasa menceriakan penonton menerusi kaca TV namun saya turut melihat beliau sebagai inspirasi kehidupan dan contoh teladan yang wajar dikaji. Beliau sememangnya layak berada di tahap tertinggi dalam aspek lakonan.

Saya berharap agar satu hari nanti kita boleh melihat figura ini di Malaysia yang hadir bukan sahaja sebagai seorang pelakon tetapi membuat perkongsian dengan warga kita yang menceburi bidang lakonan agar mereka lebih kuat dan tidak berputus asa untuk bergerak lebih jauh.

Karen Gillan baru sahaja melangsungkan majlis perkahwinannya dengan Nick Kocher, 36, Mei lalu berlangsung di Castle Toward, Dunoon, Scotland.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×