Hairy cell leukemia bagai api dalam sekam - Utusan Malaysia

Hairy cell leukemia bagai api dalam sekam

Dr. Muhd. Zanapiah Zakaria
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap tahun, Alia (bukan nama sebenar) akan memastikan dirinya menjalani pemeriksaan kesihatan termasuklah ujian darah sebagai rutin penjagaan kesihatannya.

Namun keputusan hasil ujian darah pada Februari, 2018 memberikan kejutan yang tidak dijangkakannya apabila didapati ada sesuatu yang tidak kena. Tahap haemoglobin dan sistem imun Alia yang ketika itu baru berusia 47 tahun, didapati menyusut dengan banyak.

Alia yang bekerja sebagai perancang kewangan, berasa pelik kerana sebelum ini dia tidak pernah merasa lemah atau sakit-sakit. Malah tahap kesihatannya boleh dikatakan memuaskan kerana jarang jatuh sakit.

Alia dirujuk kepada doktor pakar untuk mengesan masalah kesihatan sebenar yang mungkin sedang ‘menumpang’ secara senyap di dalam tubuhnya. Bagi menyedapkan hatinya, Alia pergi ke hospital lain untuk menjalani ujian darah untuk mendapatkan pandangan kedua daripada doktor berbeza.

“Saya memang panik ketika itu sebab selama ini saya sihat-sihat saja kecuali sakit sendi ringan kerana saya memang sudah lama menghidap arthritis yang kadang-kadang menyakitkan. Doktor lain yang saya temui pula mencadangkan saya menjalani ujian tulang sum-sum untuk mengetahui masalah sebenar.

“Akhirnya, ujian tulang sum-sum menunjukkan saya sebenarnya mengalami kanser darah yang jarang ditemui di dunia dikenali sebagai Hairy Cell Leukemia. Penyakit ini ditemui satu dalam sejuta pesakit. Malah di hospital, hanya saya seorang saja yang menghidapnya. Menurut doktor, ada seorang pesakit pada tahun 2017,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Alia berkata, sukar untuk dia menjelaskan perasaannya ketika itu. Perkataan kanser saja sudah cukup mengerunkannya walapun ketika itu secara luarannya dia sihat dan tidak merasa sebarang kesakitan. Lebih membimbangkannya adalah kos rawatan kanser yang sememangnya sudah diketahui sangat mahal.

Lebih menakutkan Alia, apabila dimaklumkan pihak hospital, ubat untuk merawat kanser berkenaan tidak terdapat di negara ini. Ubat itu perlu diimport daripada Jerman dengan harga kira-kira RM30,000 dan kos rawatan keseluruhan boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

“Bila mendengar kos yang tinggi itu, saya jadi lebih takut dan risau walaupun saya ada membeli insuran kesihatan tetapi terhad kepada RM120,000 saja untuk setahun. Kos rawatan mungkin lebih daripada itu kerana harga untuk rawatan kemoterapi saja sudah mencecah RM60,000 sehingga RM80,000.

“Saya bersyukur kerana sel barah berkenaan belum merebak ke organ lain. Walaupun tidak merasa sebarang sakit atau lemah ketika itu, saya tetap memilih untuk menjalani rawatan untuk memastikan sel barah tidak merebak ke organ lain,” katanya.

Mujurlah Alia tidak memerlukan ubat yang banyak kerana penggunaannya berdasarkan berat badan pesakit iaitu semakin berat, semakin banyak ubat diperlukan.

Selepas tiga bulan menunggu, ubat berkenaan sampai dari Jerman dan Alia menjalani kitaran kemoterapi selama tujuh hari berturut-turut selama 24 jam.

Alia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kesan sampingan sepanjang rawatan selama dua minggu tinggal di dalam wad. Dia hanya mengalami demam ringan selama enam hari akibat sel yang sihat di dalam tubuh turut mati selepas kemoterapi dan hanya memerlukan rawatan antibiotik.

Sepanjang di wad, Alia tidak dibenarkan menerima pelawat dan lebih melegakan, tiada pemindahan darah diperlukan. Alia juga cukup lega kerana kos rawatan mencecah RM118,000, kesemuanya ditanggung oleh pihak insuran.

“Selepas empat tahun, saya kini didapati bebas daripada sel barah itu. Tiada ubat susulan tetapi saya menjalani gaya hidup lebih sihat dengan memastikan makan makanan organik dan vitamin. Saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan.

“Semuanya berlaku secara tiba-tiba yang mungkin disebabkan oleh tekanan kerja. Saya sendiri pun tidak pasti. Ini adalah anugerah Allah untuk menguji iman saya. Sekarang saya sudah boleh ketawa apabila mengingati detik-detik itu.

Bila saya ingat balik, saya sangat bertuah kerana tidak rasa sebarang sakit pun. Orang di sekeliling, terutama doktor dan jururawat pun menjadi pendorong untuk saya segera sembuh,” katanya.

Bagaimanapun, Alia berharap agar suatu hari nanti ubat untuk Hairy Cell Leukimia ini boleh didapati di negara ini tanpa perlu diimport dari luar negara bagi mengurangkan beban pesakit selain dapat mempercepatkan rawatan yang diperlukan.

Menyerang satu dalam sejuta orang
Sel kanser unik seakan buah rambutan atau dikenali sebagai Hairy Cell Leukemia adalah sejenis barah darah yang jarang berlaku, di mana ia hanya menyerang satu dalam sejuta orang.

Di negara ini, dianggarkan kurang 10 orang mengalaminya walaupun tiada data sebenar menunjukkan bilangan penghidap penyakit ini. Di negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah pula, dianggarkan dua peratus daripada penduduknya mengalami penyakit ini.

Lebih unik, penyakit ini juga tidak berlaku ke atas kanak-kanak sebaliknya hanya menyerang golongan dewasa berusia sekitar 50 tahun ke atas dan sesetengah pesakit pula mengalami penyakit ini pada usia lebih muda iaitu sekitar 30 an.

Pakar Hematologi, Prince Court Medical Centre, Dr. Muhd. Zanapiah Zakaria berkata, Hairy Cell Leukimia adalah sejenis leukimia yang berkembang secara perlahan-lahan di dalam tulang sum-sum pesakit tanpa diketahui punca ia berlaku.

“Ia menyebabkan sel sihat iaitu sel darah merah dan putih terganggu seterusnya pesakit mengalami kekurangan darah merah atau anemia, muka pucat lesi serta mudah semput apabila bersenam. Sel ini juga akan berkembang pada limfa menyebabkan pesakit berasa kembung perut.

“Ia dikenali sebagai Hairy Cell Leukemia kerana apabila dilihat dibawa mikroskop, ia berbulu menyerupai buah rambutan. Penyakit ini lebih kerap ditemui berlaku ke atas golongan lelaki dewasa dengan kadar satu bagi dua lelaki. Bagaimanapun, ada golongan wanita yang turut menjadi mangsanya,” katanya.

Menurut Dr. Muhd Zanapiah, walaupun tiada punca sebenar yang dikenalpasti boleh menyebabkan perkembangan sel barah ini tetapi mereka yang pernah terdedah kepada radiasi lebih berisiko tinggi untuk mengalaminya berbanding individu yang tidak pernah terdedah kepada radiasi.

“Biasanya mereka yang menghidap kanser lebih berisiko tinggi terdedah kepada radiasi. Individu yang kerap menjalani ujian sinar X atau X ray dan MRI juga terdedah kepada barah ini. Itulah sebabnya X ray dan MRI ini ada hadnya.

“Penghidap Hairy Cell Leukemia mungkin tidak mengalami sebarang gejala di peringkat awal. Bagi peringkat lebih teruk, kebanyakan pesakit mengalami anemia iaitu kurang sel darah merah yang menyebabkan wajah tampak pucat lesi dan mudah letih.

“Kekurangan darah putih pula akan menyebabkan pesakit mudah mengalami jangkitan kuman dan jatuh sakit. Selain itu, sembilan daripada 10 penghidap juga akan mengalami kekurangan zat besi. Bagaimanapun, satu peratus lagi perlu dipastikan ia bukan disebabkan oleh penyakit lain,” katanya.

Peluang sembuh adalah tinggi
Sama dengan penyakit barah lain, penghidap perlu menjalani rawatan kemoterapi antara lima hingga tujuh hari bergantung kepada keperluan setiap pesakit. Bagaimanapun, ada pesakit memerlukan rawatan menggunakan kaedah immunoterapi sekiranya kemoterapi tidak berkesan.

“Pesakit mempunyai 90 peratus peluang untuk sembuh sekiranya kemoterapi memberikan tindakbalas yang baik, Kemoterapi secara amnya memberikan kesan sampingan seperti loya, muntah dan kurang selera makan. Pesakit yang kekurangan darah pula perlu menjalani pemindahan darah.

“Apa yang bagusnya, barah ini tidak berlaku ke atas mereka yang lanjut usia. Sekiranya pesakit sedang hamil, jenis barah juga perlahan dan tidak terlampau teruk, rawatan akan ditangguhkan sehingga mereka melahirkan anak. Sebaliknya jika sel barah diperingkat lanjut, pembedahan ceasarian akan dijalankan untuk mengeluarkan bayi seterusnya membolehkan ibu menjalani kemoterapi,” katanya.

Tambahnya lagi, pemeriksaan sum sum tulang akan dijalankan bagi mengesahkan pesakit bebas daripada sel barah ini. Bagaimanapun, risiko barah berulang adalah sekitar 10 peratus. Oleh itu, pesakit perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memantau keadaan mereka.

Pesakit juga akan diberikan kaunseling bagi menerangkan langkah penting untuk berdepan penyakit ini bagi mengelakkan kemurungan. Mereka juga dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan senaman dan pemakanan seimbang.

Apakah Hairy Cell Leukemia?
» Sejenis barah darah yang jarang ditemui.

Bagaimana sel barah ini berlaku?
» Tulang sum-sum mengeluarkan terlalu banyak sel B (limfosit), sejenis sel darah putih yang melawan jangkitan. Sel B ini tidak normal dan nampak berambut di bawah mikroskop. Peningkatan sel leukemia ini yang banyak mengurangkan pengeluaran sel darah putih, darah merah dan platelet.

Siapa berisiko tinggi mengalaminya?
» Hairy cell leukemia menyerang lebih ramai lelaki berbanding wanita dan berlaku dalam usia pertengahan atau dewasa berusia.
» Ia disifatkan sebagai penyakit kronik kerana boleh berulang walaupun hilang selama beberapa tahun selepas rawatan.

Gejala/Simptom
» Sesetengah pesakit tidak mengalami sebagai gejala atau simptom tetapi ujian darah untuk penyakit lain boleh mendedahkan penyakit ini secara tidak sengaja.
» Ada juga pesakit yang mengalami gejala seperti berikut:
» Rasa perut penuh dan tidak selesa untuk makan lebih
» Keletihan
» Mudah lebam
» Jangkitan berulang
» Kelemahan
» Pengurangan berat

Faktor risiko:
» Sesetengah faktor mungkin boleh meningkatkan risiko kanser darah ini. Sesetengah penyelidikan menunjukkan dua faktor risiko walaupun tiada bukti kukuh iaitu:
» Pendedahan kepada radiasi-mereka yang bekerja dengan mengendalikan mesin sinar X dan tidak memakai peralatan mencukupi untuk melindungi diri atau mereka yang menerima rawatan radiasi untuk kanse.
» Pendedahkan kepada kimia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN