Sempena meraikan ulangtahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, Persatuan Homestay Malaysia serta Program Persahabatan Alumni Abad ke-21, ASEAN Malaysia-Jepun (PAMAJA) menganjurkan Festival Malaysia-Jepun bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) baru-baru ini.
Program itu merangkumi kebudayaan, kesenian, kulinari dan pelbagai lagi antara kedua-dua buah negara.
Pengerusi festival Malaysia-Jepun 2022, Datuk Sahariman Hamdan berkata, tujuan program itu dijalankan adalah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara matahari terbit itu.
Ia bakal direalisasikan melalui pameran dan aktiviti yang berupaya untuk meningkatkan pengetahuan terhadap budaya dan bahasa dua buah negara terbabit.
“Sejak Malaysia melancarkan Dasar Pandang ke Timur pada 1982, sehingga kini 26,000 rakyat negara ini telah berkunjung ke Jepun untuk belajar dan juga bekerja. Apabila pulang ke negara ini, mereka menggunakan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperoleh dari sana.
“Mereka ini bukan sahaja telah menjadi asas kukuh dalam industri dan pembangunan sosial, malah mereka juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan Jepun dan Malaysia dengan persahabatan dan kepercayaan bersama.
“Budaya ini juga secara tidak langsung membuatkan kedua-dua negara menikmati hubungan dua hala yang kukuh dan mesra,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Festival julung kali dianjurkan itu dirasmikan secara gilang-gemilang Khamis lalu. Turut hadir Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dan wakil agensi-agensi terlibat iaitu Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) dan ramai lagi.
Terdahulu, Dasar Pandang Ke Timur diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 bagi meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat beretika berpandukan negara maju seperti Jepun.
Sementara itu, Sahariman berkata, penganjuran festival itu juga bakal membuka peluang kepada negara untuk merancakkan kembali sektor pelancongan.
Harap acara tular
“Majlis pelancaran secara besar-besaran pada hari pertama festival diharapkan mampu tular sehingga ke Jepun untuk memberitahu kepada mereka bahawa negara kita sudah tenang (daripada Covid-19) dan selamat untuk dilawati.
“Setakat ini kita hanya ada pengunjung daripada rakyat Jepun yang bermastautin di sini dan diharapkan selepas ini ramai lagi yang mahu mengunjungi negara ini bagi menghargai hubungan baik dua negara,” katanya yang mensasarkan seramai 6000 pengunjung sepanjang pameran dijalankan.
Pelbagai acara menarik menanti pengunjung antaranya pameran lukisan kebudayaan, promosi produk pelancongan, persembahan kebudayaan, demonstrasi seni dua buah negara dan banyak lagi.










