Dr. Jue lebarkan sayap perniagaan - Utusan Malaysia

Dr. Jue lebarkan sayap perniagaan

Dr. Siti Juariah mula berkongsi tentang penyakit kronik dan cara mengawalnya secara semula jadi dan holistik dalam Facebook dan Youtube.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memiliki latar belakang sebagai doktor perubatan bukan jaminan seseorang itu tidak akan menghidap penyakit kronik sehingga mengganggu pula kehidupan seharian termasuk urusan pekerjaan.

Situasi itu turut dilalui Dr. Siti Juariah Kusni yang pernah berkhidmat di hospital kerajaan selama tujuh tahun sebelum membuka klinik sendiri pada 1993 iaitu Pusat Perubatan Keluarga yang kini dikenali sebagai Poliklinik Penawar.

Pada 2011, ketika di kemuncak karier, Dr. Siti Juariah yang mesra disapa Dr. Jue disahkan menghidap penyakit autoimmune iaitu Rheumatoid Arthritis.

Beliau mengambil beberapa ubat untuk merawat penyakit itu antaranya ubat cytotoxic dan steroid yang akhirnya berdepan kesan sampingan setelah setahun pengambilan selain penyakit autoimmune yang tidak terkawal.

“Saya mendapat masalah bengkak hati, gastrik dan penyakit refluks gastroesofageal (GERD) yang teruk, obesiti, migrain, diabetes tahap dua, allergic rhinitis dan prolapsed disc yang semakin membimbangkan.

“Saya mengambil keputusan berhenti mengambil semua ubat berkaitan dan penyakit autoimmune pula menjadi sangat teruk sehingga menyukarkan untuk berjalan dan terpaksa ditolak dengan kerusi roda untuk bergerak,” katanya.

Semasa memikirkan penyelesaian tentang semua masalah penyakit dihadapi, beliau belajar perubatan functional iaitu perubatan holistik untuk merawat setiap penyakit kronik dengan melihat semua punca dan akar umbinya.

Sepanjang merawat penyakit menggunakan pendekatan tersebut dan perubatan alternatif, beliau berjaya mengawal penyakit berkenaan sehingga boleh aktif bekerja seperti biasa semula.

Bertitik tolak daripada itu, beliau menubuhkan D’Jue Wellness pada 2018 yang menyediakan perkhidmatan coaching pesakit kronik terutama yang menghidap diabetes.

Beliau melalui perjalanan panjang sejak awal permulaannya di sebuah pejabat kecil terletak di Labis, Johor.

“Minat merawat penyakit kencing manis dan buah pinggang kronik mendorong saya melakukan penyelidikan mendalam, berkongsi kesedaran, mencadangkan makanan yang tepat dan memberi dorongan untuk bekerja keras serta berinspirasi menjadi sebuah kedai atas talian yang berkembang pesat.

“Alhamdulillah, kini kami mempunyai pelanggan di seluruh negara dan teruja menjadi sebahagian daripada industri produk makanan sihat. Seronok bila dengar ramai pelanggan berjaya keluar daripada masalah penyakit kronik, kurang bergantung dengan ubat dan ada yang sudah tidak makan ubat lagi,” katanya.

Visinya adalah untuk fokus membantu seramai 100,000 pesakit diabetes supaya tidak lagi bergantung kepada ubat menjelang 2030. Beliau turut membuka peluang kepada orang ramai yang mahu menambah pendapatan menerusi produk dan program diet serta pemakanan sihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN