Dari tukang jahit anak patung ke model Lolita berhijab - Utusan Malaysia

Dari tukang jahit anak patung ke model Lolita berhijab

Alice atau nama sebenarnya Fatimah Azzahra memiliki puluhan ribu pengikut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lolita dan Mori adalah fesyen yang berasal dari Jepun. Namun penggemarnya melangkaui negara Matahari terbit itu. Di sini pun penggemarnya dan wanita yang lebih suka dikenali sebagai Alice, 28 ini adalah salah seorang daripada peminatnya.

Beliau menggayakan pakaian fesyen Lolita bermula sebagai hobi. Tetapi lama-kelamaan setelah beberapa jenama Lolita dan komuniti Lolita di luar negara ‘menemui’ kewujudan dirinya sebagai Lolita berhijab, Alice mula mendapat beberapa tawaran untuk menjadi model untuk pakaian-pakaian Lolita.

Menggunakan Alice In Wonderland pada akaun Instagram @littleberrybum miliknya.

Peminat fesyen Lolita dan Mori pasti tertarik dengan pakaian unik yang digayakan Alice. Maka tidak hairanlah beliau mempunyai followers seramai 13,800 orang.

Bercakap kepada Seri, Alice atau nama sebenarnya Fatimah Azzahra mengetahui mengenai fesyen Lolita melalui internet sekitar 2009.

“Ketika itu jugalah saya mengetahui tentang kewujudan Malaysian Lolita. Saya melihat beberapa orang hijab Lolita pernah viral di akhbar, Facebook dan sebagainya. Ketika itu saya mula mengagumi pakaian dan aksesori Lolita yang cukup luar biasa,” katanya.

Lolita adalah fesyen wanita berasaskan pada zaman Rococo manakala Mori adalah fesyen yang berasaskan forest atau hutan.

Pakaian Lolita biasanya berenda dan kembang manakala Mori biasanya labuh, berlapis-lapis dan juga berenda.

Mori hanya terhad kepada warna semulajadi yang ada pada hutan tetapi Lolita tidak terhad kepada sesetengah warna dan Lolita boleh diperagakan dengan pelbagai warna.

“Lolita adalah nama yang dipilih untuk mewakili fesyen ini. Ramai yang keliru Lolita Fashion dengan karya buku Lolita daripada Vladimir Nabokov. Walaupun namanya sama tetapi kedua-dua ini mempunyai makna berbeza dan tiada kaitan sama sekali.

“Mori itu sendiri bermakna forest dan kei adalah style. Jadi Morikei bermakna fesyen yang membawa unsur-unsur alam semula jadi seperti tanah, pokok, langit, air dan sebagainya. Rona pakaiannya perlu mengikut warna-warna yang datang daripada tema ini,” katanya yang berkerjaya sebagai tukang jahit.

KREATIVITI TANPA SEMPADAN
Jauh di sudut hati, beliau kagum dengan kreativiti jenama Lolita hasilkan untuk baju mereka.

Disebabkan itu jugalah beliau tertarik untuk cuba menjahit sendiri.

“Saya dapat idea membuat baju Lolita dan Mori dari pelbagai lokasi. Salah satu sumbernya ialah ball jointed doll (BJD). Saya mula mengumpul anak patung BJD sejak 2012.

“Kepelbagaian baju BJD memberi inspirasi kepada saya untuk menjadikan dalam saiz baju dewasa.

“Apabila mula menjahit baju Lolita banyak skill saya pelajari. Saya sedar yang saya boleh menggunakan kreativiti saya tanpa batasan apabila menjahit baju Lolita berbanding baju biasa.

“Saya ada asas menjahit, jadi tidaklah terlalu sukar. Saya hanya perlu meneliti potongan dan materialnya sahaja. Selepas itu baharulah saya cuba meniru cara jahitan dan dapatkan hasil yang sama,” katanya yang menjelaskan tempoh masa menghasilkan sepasang baju bergantung kepada jenis.

“Ada baju simple. Ada juga yang rumit. Namun bahan umum untuk baju ini ialah kain bercorak dan renda,” katanya.

Harga standard sepasang baju Lolita biasa yang bermula dari RM300.

Menjadi pengumpul baju Lolita dan Mori ada cabarannya.

Pasaran Lolita yang agak terhad menjadikan harga pakaian yang dijual agak tinggi.

“Mengadaptasi baju Lolita dengan pakaian menutup aurat juga agak mencabar.

“Kadangkala baju itu mempunyai motif tidak sesuai dengan agama Islam seperti lambang salib, gambar wanita tidak berpakaian sempurna dan sebagainya. Begitupun itu bukanlah halangan untuk saya meneruskan minat ini,” katanya.

Pakai untuk kepuasan sendiri
Alice masih baharu lagi dalam komuniti pengumpul dan penggaya fesyen Lolita dan Mori. Berikutan itu tidak banyak koleksi pakaian tersebut dalam simpanannya. Setakat ini beliau hanya memiliki lebih kurang 20 set pakaian Lolita dan Mori.

Antara koleksi pakaian paling disayangi adalah baju Classical Puppet, hasil pemberian bapanya yang berharga kira-kira RM1,000.

Jelas Alice, setiap koleksi pakaian dikumpul, bukannya untuk pameran atau untuk dijual, sebaliknya untuk dipakai sebagai kepuasan diri sendiri.

Mengulas mengenai komen orang ramai terhadap penampilannya, kata Alice dia sebenarnya suka mencuba dan reach out pada komuniti Lolita di luar negara kerana komunitinya lebih besar.

“Saya kerap memasuki pertandingan yang komuniti Lolita di luar negara. Tanpa saya sedari, mereka menyukai kelainan ini. Saya kerap menjadi johan setiap kali menyertai pertandingan. Saya rasa gembira kerana mereka menyokong kelainan saya yang bertudung ini kerana Lolita biasanya tidak bertudung,” katanya.

Mengakui puas apabila berjaya mix and match pakaian-pakaian Lolita dan berjaya menghasilkan gambar-gambar yang cantik.

“Apabila gambar-gambar tersebut dikongsi di media sosial ada pula yang terinspirasi. Sebelum ini ramai kawan-kawan tertawakan saya bila saya memberitahu mereka saya bercita-cita menjadi pereka fesyen.

“Buat masa ini saya akan terus berkarya dalam bidang ini kerana saya percaya inilah minat saya.

“Saya turut menyasarkan meneruskan haluan sebagai model Lolita dan seterusnya membina jenama Lolita sendiri. Saya berharap untuk memiliki butik Lolita sendiri pada masa akan datang,” katanya serius.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN