Media sosial mampu mengubah hidup seseorang jika digunakan sebaik mungkin. Itulah yang berlaku kepada Gigi Cheoh. Content creator ini pernah viral apabila aksinya berjoget di Dataran Merdeka, masuk secara tidak sengaja dalam program berita di sebuah stesen televisyen tempatan.
Walau dirakam secara tidak sengaja oleh jurukamera namun ia secara tidak langsung membuka peluang buat dirinya ‘terkenal’ di mata warganet. Gigi kini makin gigih menghasilkan pelbagai video pendek sebagai konten yang diharapkan boleh membantu mempromosi negara di mata dunia.
Menarik mengenai diri anda?
Kreatif, gigih dan yakin serta kelakar.
Sejak bila berkongsi mengenai diri dan aktiviti di media sosial? Kenapa melakukannya?
Dahulu saya pernah bekerja sebagai penyampai berita radio dan juruhebah radio. Saya jadi content creator selepas meletakkan jawatan sebagai penyampai berita radio lebih kurang dua setengah tahun lalu.
Jenis konten yang anda buat?
Keutamaan saya menghasilkan video pendek berhubung komedi, fesyen, pelancongan, makan-makan, kelestarian alam sekitar dan lain.
Video itu diharap dapat memberi energi positif, mesej yang bermakna dan sumbangan kepada masyarakat kita serta menyebarkan cinta kasih dan kebahagiaan kepada orang ramai.
Bagaimana membantu keluarga Malaysia lebih baik?
Saya rasa kalangan masyarakat dapat merasakan semangat dan passion kami dalam kerja melalui video kami. Kalau anda rasa perkara yang anda buat ialah sesuatu yang digemari serta yang betul dan boleh membuatkan diri gembira, anda haruslah berani dan terus berusaha tanpa putus asa.
Kalau gagal dan terima kritikan, teruskan berusaha dan mencuba lagi. Perjalanan hidup kita adalah mengenai pilihan. Tak kira betapa gelap jalan itu, anda kena menghadapinya sampai saat terakhir. Hanya dengan ketabahan baru anda akan berjaya.
Pengalaman tidak dapat dilupakan?
Gambar yang saya berjoget di Dataran Merdeka termasuk ke dalam berita TV3 sampai menjadi viral. Akibat kejadian ini, saya ditemu bual oleh mStar dan dapat berkolaborasi dengan penyanyi Iman Troye. Sejak itu, setiap kali saya shooting di luar, ramai orang kenal saya dan merakam BTS saya dan upload ke Tik Tok.
Selain itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri juga like dan komen di bawah video kami. Saya berasa amat terkejut dan besar hati.Perkara yang berlaku membuatkan saya terasa macam watak utama dalam drama. Memang tak jangka perkara ini berlaku ke atas diri saya.
Bagaimana menambah jumlah pengikut?
Short video ialah trend terkini. Kita kena berusaha untuk buat video pendek secara berterusan agar dapat menambah jumlah pengikut.
Siapakah idola anda?
Pemain badminton Malaysia Datuk Lee Chong Wei, penyanyi Taiwan Jolin Tsai dan penyanyi China Xin Liu Yu Xin. Mereka memiliki keistimewaan yang sama iaitu tidak pernah berputus asa dalam perkara yang mereka gemari.
Setujukah kalau saya katakan Tiktoker membantu pembangunan masyarakat?
Setuju. Tetapi yang paling penting ialah kandungan itu mestilah bermakna dengan penuh energi positif yang boleh menumbuhkan semangat dalam jiwa. Ia mesti lahir dari hati yang ikhlas dan juga dapat ekspres pandangan dan mesej anda kepada masyarakat.
Sejauhmana menjadi influencer mengubah diri dan kehidupan anda?
Sejak menjadi influencer, saya tahu bahawa kewujudan saya adalah bermakna untuk dunia dan saya seorang individu yang berupaya mempengaruhi orang lain.
Mungkin perbuatan baik dan ikhlas atau kata-kata galakan anda kepada orang lain dapat memberi inspirasi dan motivasi atau mengubah kehidupan mereka jadi lebih baik dan bahagia?.
Saya percaya, cinta kasih dan energi positif membantu dunia menjadi tempat yang aman dan damai kepada seluruh penghuninya.










