Ziana Zain doa, mohon imam terbaik untuk keluarga

Ziana Zain doa, mohon imam terbaik untuk keluarga

ziana zain
Ziana Zain serahkan soal jodoh kepada Allah SWT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Itu adalah konsep kehidupan yang perlu difahami sedalam-dalamnya. Setidak-tidaknya sebagai Islam, kita harus berpegang kepada perkara tersebut.

Itu juga adalah prinsip didakap erat penyanyi kesayangan ramai, Siti Roziana Zain atau Ziana Zain.

Dalam pertemuan bersama pengamal media pada sidang akhbar konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 baru-baru ini, diva tersohor itu memberi jawapan apabila ditanya soal jodoh di masa akan datang.

“Saya tak berani nak cakap. Wallahualam. Apa yang bakal terjadi di hadapan, kita tak tahu.

“Kita minta, ya Allah, berikanlah yang terbaik dalam hidup kita. Allah beri dalam bentuk apa? Wallahualam,” katanya.

Penyanyi lagu Madah Berhelah ini memberitahu antara kriteria perlu dalam lelaki bergelar bakal suami, sudah semestinya memiliki ilmu agama.

“Yang terbaik, agama. Dia harus menjadi imam yang paling baik untuk keluarga. Itulah yang paling penting,” jawabnya ringkas.

Kemelut rumah tangga Ziana ternoktah setelah dia diceraikan talak satu oleh bekas suami, Armin Zaharin pada 12 Julai 2018.

Mengulas mengenai perkembangan dirinya kini, ibu empat orang anak ini mengakui, bahagia dan mahu memberikan tumpuan pada tanggungjawab sebagai ibu, kakak, adik dan seorang penyanyi.

Selepas lebih 30 tahun, Ziana, Anuar bergabung dalam konsert istimewa

6 Ogos disifatkan sebagai tarikh keramat buat peminat Ziana dan adiknya, Anuar Zain apabila kedua figuran ini bakal bergabung menjayakan sebuah konsert mega yang bakal berlangsung Planery Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Lebih 30 tahun berbakti dalam industri seni, konsert itu nanti merupakan julung-julung kali diadakan, menyatukan dua figura adik beradik paling popular negara ini.

Bagai menepati ramalan, tiket laku terjual dengan 50 peratus daripadanya habis selepas tiga jam proses jualan dilancarkan.

Bagi Ziana, selepas bertahun-tahun hanya bercakap-cakap tentang konsert bersama dengan Anuar, kali ini, dipermudahkan dan sekelip mata direalisasikan.

“Kami pernah memperkatakan tentang ini sebelum ini. Tetapi banyak kekangan yang membuatkan ia hanya sekadar cakap-cakap biasa. Terlalu banyak. Ada yang tampil ingin menganjurkan tetapi akhirnya tidak menjadi.

“Tetapi kali ini, ia berlaku cukup mudah. Prosesnya dipermudahkan dan untuk membuat kata putus itu pun terlalu mudah,” akuinya.

Meskipun sudah menyanyi terlalu lama, Ziana akui, membawa lagu Anuar pada konsert itu nanti sebagai perkara yang terlalu mencabar.

Jelas penyanyi berusia 54 tahun ini, kebanyakan lagu yang dibawakan Anuar memerlukan jiwa dan penghayatan emosi yang tinggi selain keupayaan vokal yang mantap.

“Mendengar senang dan selesa. Lagu Anuar, jiwa dan emosinya berat. Sebab itu, bila orang lain menyanyikan, tak sama. Tak kiralah lenggok bunga macam mana yang dibawa sekalipun. Susah.

“Saya berpandangan sebegini bukan kerana dia adik saya, tetapi dari sudut seorang penyanyi profesional.

“Saya memang kena belajar dan kaji. Memang kita faham lirik. Tetapi, untuk memasukkan jiwa, kita kena jadikan lagu dia sebagai lagu kita sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ziana berharap agar peminat akan terhibur dan gembira dengan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan dalam konsert itu nanti.

Katanya, proses pemilihan lagu bukan mudah memandangkan pihak dia dan Anuar perlu peka dan teliti dengan setiap keinginan peminat yang ingin lagu-lagu kegemaran mereka dinyanyikan pada konsert istimewa itu nanti.

“Saya berharap peminat gembira dengan lagu yang kami sudah pilih.

“Kami sendiri pun terpaksa berbincang, pilih lagu yang betul-betul sesuai dan betul-betul hits,” ujarnya.

Tiket konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga antara RM288 dan RM1,188.

Pembelian boleh dilakukan menerusi www.excitix.com.my atau hubungi 010 3098998.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya