Perkahwinan bukan satu perjudian. Ia hanyalah perumpamaan.Sebaliknya satu pelaburan pahala jika seseorang itu mendapat suami yang baik apatah lagi berusaha untuk menjadi pasangan yang baik.
Pun begitu siapalah kita untuk menolak takdir. Ada yang terpaksa menghadapi perceraian setelah merasakan rumah tangga yang dibina tidak mampu dipertahankan.
Minggu ini saya kongsikan kisah Shiela (bukan nama sebenar) yang mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkahwinan.
Katanya, pasangan mana yang menginginkan perceraian selepas berkahwin.
Setiap daripada kita pasti mahu bahagia dan mempertahankan ikatan perkahwianan.
Namun, sebaik mana, secantik mana perancangan seseorang, ketentuan dari Yang Esa mengatasi segalanya.
Dia yang dicerai suami sejak 22 tahun lalu tidak pernah mengganggap perkahwinan satu perjudian, malah sebuah perceraian itu juga merupakan takdir yang perlu dilalui.
Ibu kepada dua anak, Sham dan Zulaika (bukan nama sebenar), masing-masing kini berusia 25 dan 23 tahun itu tidak pernah menyalahkan sesiapa atas apa yang terjadi.
Namun wanita tabah ini sentiasa bermuhasabah dengan apa yang berlaku dan yakin ada hikmah di sebaliknya.
Sejak bercerai, dia tidak pernah berputus asa dan terus melabelkan perkahwinan itu sebagai sesuatu yang merugikan seperti perjudian kerana hakikatnya tidak.
Akui Sheila kesudiannya berkongsi kisah lalu, bukan untuk menggalakkan perceraian.
Sebaliknya cuba menyuntik semangat kepada wanita lain yang tidak bahagia dengan perkahwinan agar lebih berani untuk meneruskan kehidupan walaupun tanpa insan bergelar suami.
Sepanjang hidup bersendirian, dia sentiasa bersangka baik dengan Allah dan sentiasa percaya sebuah perceraian itu juga takdir yang perlu dilalui.
Dia yang memilih jalan perceraian, maka dialah yang mewarnakan atau memadamkan keindahan yang dilalui.
Berdasarkan cerita wanita kelahiran selatan tanah air itu, dia dan suami, Azman (bukan nama sebenar) pernah bercerai pada awal perkahwinan kerana suami sering memukulnya.
Azman memberi alasan dia sering mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri selepas kelahiran anak pertama iaitu Sham (bukan nama sebenar).
Malah suami berterus terang mengatakan dia sudah tidak menarik seperti dahulu.
Sheila cuba berubah, namun masih tetap tidak berupaya menarik perasaan sayang Azman terhadap dirinya.
Ketika itu Sheila berusia awal 20-an, masih muda. Disebabkan tidak berfikir panjang, Sheila sendiri memfailkan tuntutan cerai.
Selepas beberapa bulan menyedari kesilapan masing-masing, Shiela dan Azman setuju untuk rujuk kembali demi anak mereka.
Hari berganti minggu, minggu berganti tahun. Pasangan ini terus menjalani kehidupan seperti biasa sehingga mereka dikurniakan anak kedua, Zulaika.
Kelahiran Zulaika membuatkan Azman teruja, tetapi waktu untuk bersama isteri dan anak-anak singkat apabila dia tetap sibuk bekerja.
Sheila melihat perubahan suaminya.
Azman tidak lagi suka memukulnya seperti dulu.
Namun Sheila masih lagi teruji dengan sikap tidak bertanggungjawab suami.
Selama tempoh itu, Azman jarang berada di rumah. Sheila dan anak-anak sering ditinggalkan.
Bagi Shiela, dia sering berasa sunyi.
Hampir setiap hari dia bertanyakan tentang lokasinya, apa yang sedang dilakukan dan bila waktu dia akan pulang.
Namun amat mengecewakan, apabila pertanyaan itu hanya mengundang kemarahan Azman terhadapnya.
Sheila semakin kecewa dengan sikap Azman.
Keluar pagi dan pulang lewat pagi.
Berjumpa anak-anak ketika itu hanya sejam dua jam sehari sahaja.
Wang belanja rumah juga cukup susah untuk dihulurkan.
Banyak kali diminta, maki hamun pula yang dia dapat.
Dia dan suami pernah mengikuti sesi kaunseling.
Suami hanya berubah seketika, dan kemudian kembali kepada sikap asalnya.
Kali terakhir Sheila pergi mendapatkan khidmat nasihat di pejabat agama pada penghujung tahun 2000.
Dia tidak nampak jalan penyelesaian lain ketika itu, kecuali penceraian.
Pelbagai perkara bermain di fikirannya ketika itu.
Siapa yang akan menanggungnya dan anak-anak jika dia bercerai.
Bagaimanapun, demi anak-anak Sheila kuatkan diri.
Bukan dia tidak cuba sedaya-upaya menyelamatkan perkahwinan yang dibina hampir enam tahun itu. Dia telah mencuba, namun reda dan pasrah.
Mungkin sampai di situ jodoh untuknya dan Azman.
Demi anak-anak dia minta cerai, demi anak-anak juga dia pergi dan mencari bahagia.
Hidup bercerai memang agak sulit.
Sheila terpaksa membesarkan Sham dan Zulaika sendirian apa lagi Azman culas dalam memberi nafkah.
Pendapatannya sebanyak RM1,200 sebulan sebagai kerani di sebuah syarikat peguam itulah digunakan untuk perbelanjaan keperluan harian dan persekolahan anak-anak.
Bagaimanapun, kata Sheila, situasi itu tidak pernah mematahkan semangatnya kerana lebih penting adalah untuk meneruskan perjalanan hidup membesar dan memberi anak-anak pendidikan sempurna.
Bagi Shiela, perceraian bukan pengakhiran sebaliknya permulaan memulakan kehidupan baharu tanpa perlu bertahan dengan kesakitan yang sama.
Dia tidak pernah memandang perceraian sesuatu negatif sebaliknya melihat ada hikmah di dalamnya.
Hidupnya lebih bahagia selepas perpisahan. Dia juga an bersyukur dapat mendidik Sham dan Zulaika hingga ke Menara Gading.
Semoga kisah Sheila ini menjadi pengajaran kepada setiap pasangan agar lebih bertanggungjawab dan amanah dalam menjaga hubungan.
Walaupun syarak membenarkan suami melafazkan talak atau menceraikan isteri di atas sebab-sebab tertentu, tetapi jalan terbaik adalah mencari jalan penyelesaian bagi masalah tersebut.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah SAW:
Siapa sahaja perempuan yang meminta (menuntut) cerai kepada suami tanpa alasan yang dibenarkan maka diharamkan bau syurga atas perempuan tersebut.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Al -Tirmizi dan Ibnu Majah).










