PCOS tinggi hormon lelaki, punca wanita berbulu lebat - Utusan Malaysia

PCOS tinggi hormon lelaki, punca wanita berbulu lebat

Dr. Sai Sudha (kanan) menjelaskan PCOS rumit. Linora (kiri) jalani gaya hidup sihat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bertubuh sempurna sebagai wanita secara luaran tetapi hakikatnya secara dalaman penghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) memiliki hormon lelaki (androgen) lebih tinggi berbanding hormon wanita (estrogen).

Ini menyebabkan ada wanita yang mengalami PCOS mempunyai bulu berlebihan pada dada, ketiak, bawah perut dan belakang badan. Malah mereka juga ditumbuhi jerawat pada muka dan badan walaupun sudah melepasi usia 30 an.

Kebanyakan masalah utama dialami wanita penghidap PCOS, adalah kitaran haid yang tidak menentu seperti haid berterusan selama lebih sebulan atau langsung tidak didatangi haid selama beberapa bulan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Ampang, Dr. Sai Sudha berkata, PCOS adalah keadaan endokrin rumit dan berlaku akibat penghasilan hormon lelaki berlebihan, menyebabkan hormon pembiakan tidak seimbang.

“PCOS menyebabkan ovari tidak mengeluarkan telur semasa proses ovulasi seperti sepatutnya dan menjadi punca kitaran haid tidak menentu. Seterusnya, penghidapnya mengalami masalah kesuburan dan pembentukan sista atau cyst yang berbentuk seakan kalung mutiara pada ovari.

“Masalah lain dihadapi akibat PCOS adalah diabetes yang berlaku akibat rintangan insulin apabila ia tidak diproses dengan betul. Mereka yang obes dan mengalami PCOS boleh memburukkan lagi masalah ini. Bagaimanapun, pada masa yang sama, PCOS juga boleh menyebabkan obesiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PCOS biasanya dikesan dalam lingkungan usia akil baligh iaitu 15 sehingga 45 tahun di mana wanita atau gadis terbabit berada dalam usia reproduktif. PCOS tidak boleh dikesan pada bayi atau kanak-kanak selagi mereka belum didatangi haid.

Setakat ini, tiada statistik menunjukkan berapa ramai wanita di negara ini menghidap PCOS tetapi dianggarkan 15 hingga 20 peratus wanita mungkin mengalaminya dengan 5 sehingga 10 peratus mewarisinya secara genetik.

“Oleh kerana kurang kesedaran mengenai PCOS sebelum ini, ramai yang tidak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Mereka hanya mengetahui menghidap PCOS apabila berjumpa doktor kerana sukar hamil selepas berkahwin.

“Bagaimanapun, sejak 5 hingga 10 tahun lalu, lebih ramai wanita muda datang untuk dapatkan rawatan selepas membaca mengenai PCOS di internet yang mengaitkan dengan keadaan yang mereka alami terutama haid tidak menentu atau faktor kesuburan,” katanya.

Tiga faktor sah ada PCOS
Keadaan PCOS agak kompleks dengan pelbagai gejala, namun tiga faktor boleh dijadikan panduan bagi mengesahkan sama ada seseorang wanita itu menghidap PCOS atau sebaliknya.

“Faktor pertama pengeluaran telur yang sedikit atau tiada telur langsung. Kedua adalah hormon lelaki lebih tinggi berbanding hormon wanita. Ini boleh dilakukan menerusi ujian darah dan kehadiran rambut pada bahagian tubuh.

“Manakala faktor ketiga adalah kilang telur tidak matang dan kelihatan seperti kalungan mutiara pada kilang atau ovari apabila diihat menggunakan kamera khas yang dimasukkan ke dalam rahim,” katanya.

Sekiranya seorang wanita mempunyai dua daripada tiga faktor ini, mereka boleh didiagnos atau disahkan menghidap PCOS.

Selain itu, insulin yang tinggi menyebabkan paras gula dalam darah juga lebih tinggi dan cenderung mengalami kencing manis dalam jangka masa panjang. Penghidap juga mengalami kulit gelap di bahagian tengkuk dan celah peha disebabkan hipermentasi.

Pendarahan, kanser & kemurungan
Jumlah haid yang kurang daripada lima kali setahun boleh menyebabkan masalah kesihatan dalam jangkamasa panjang ke atas wanita PCOS termasuk risiko mengalami kanser rahim.

“Kitaran haid normal bagi seorang wanita adalah antara 8 sehingga 30 hari iaitu haid datang pada hari ke lapan atau ke 30. Ada wanita mengalami kitaran haid yang lama iaitu antara 40 hingga 50 hari. Kalau haid kurang lima kali setahun, boleh muncul masalah kesihatan di masa depan.

“Estrogen yang mengakibatkan penebalan dalam dinding rahim boleh berubah dan menjadi tidak normal seterusnya menyebabkan pendarahan tidak normal (endometrial hyperplasia). Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, ia boleh menjadi barah rahim,” katanya.

PCOS juga boleh menyebabkan penghidapnya mengalami kemurungan selain tahap keyakinan diri mereka juga rendah kesan masalah yang dihadapi. Ada yang mengalami masalah rumahtangga dan berdepan dengan isu perceraian kerana dipersalahkan kerana tidak boleh mengandung.

‘Bakar’ ovari hentikan hormon lelaki
Selain daripada ubat hormon bagi menghalang pengeluaran hormon lelaki, penghidap PCOS perlu mengubahsuai gaya hidup mereka untuk terus kekal sihat.

“Pengubahsuaian gaya hidup adalah langkah paling penting dalam menangani PCOS. Ini termasuk mengamalkan pemakanan seimbang dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat serta melebihkan serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Buat senaman seperti berjalan pantas selama 30 minit sekerap tiga hingga empat kali seminggu boleh memberikan perubahan ketara. Namun ada yang sukar nak buat pengubahsuaian ini. Mereka perlukan sokongan keluarga, kalau tidak sukar untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.

Katanya kebanyakan kes tidak memerlukan pembedahan tetapi terdapat pembedahan kecil menggunakan teknik ovarian drilling sebagai langkah akhir. Menerusi kaedah ini, skop dimasukkan untuk melihat kilang telur yang ‘dibakar’ sedikit bagi mengurangkan pembentukan hormon lelaki.

Dr. Sai menasihatkan gadis atau wanita segera berjumpa doktor sekiranya mengalami tanda-tanda PCOS terutama haid tidak teratur dan mengelakkan mengambil ubat tradisional untuk mengatasi masalah itu.

“Elakkan makan ubat atau herba tradisional yang tidak diketahui isi kandungannya terutama bila terdapat dakwaan ia hanya untuk wanita saja. Mungkin dalam ubat itu ada hormon atau steroid yang kita tak tahu kesannya.

“Hormon daripada tumbuh-tumbuhan atau fitoestrogen boleh mengakibatkan terlalu banyak estrogen seterusnya berlaku penebalan dalam dinding rahim yang akhirnya boleh berubah menjadi kanser,” katanya.

Datang haid tiga bulan tanpa henti
Ketika Linora Low, berusia 15 tahun, dia mengalami haid selama tiga bulan tanpa henti tetapi dalam usia itu, dia belum memahami apatah lagi mengetahui mengenai PCOS.

Sebagai remaja dirinya kekal bertenaga dan masih menjalani kehidupan seperti biasa walaupun agak risau dengan apa yang sedang dialaminya. Sebelum ini haidnya teratur tetapi ada di antara berlaku pendarahan yang lama. Keadaan itu agak membimbangkan ibunya yang membawanya berjumpa doktor pakar sakit puan yang menjalankan ujian darah, tahap hormone dan insulin. Bagaimanapun, Linora tidak mengalami gejala bulu berlebihan.

“Doktor memberikan pil pencegah hamil yang perlu dimakan sekali sehari untuk menghentikan pendarahan. Selepas itu haid kembali normal tetapi ada kesan sampingan seperti berat badan naik mendadak dan kerap mengalami kembung perut.

“Memburukkan lagi keadaan pada masa itu apabila hormon saya tidak stabil yang menyebabkan saya mudah mengalami stress. Tubuh saya sensitif sekiranya tersalah makan makanan seperti yis dan susu,” katanya.

Linora,37, berkata amat kecewa dan marah apabila doktor menerangkan tiada ubat untuk menghilangkan PCOS. Enggan terus mengalah dengan takdir, Linora mula membuat keputusan untuk mengubah gaya hidupnya setahun selepas mengetahui dirinya menghidap PCOS.

Selama ini, Linora mengakui langsung tidak menghiraukan kesihatan dirinya seperti makan apa saja termasuk makanan ringan dan yang diproses, makan lewat malam sambil menonton televisyen serta tidak bersenam.

“Selepas menukar gaya hidup, makan makanan seimbang serta bersenam, keadaan semakin terkawal dan gejala PCOS pun sudah tidak ada lagi. Inilah rawatan sebenar bagi mereka yang ada PCOS kerana saya tidak suka makan pil sebab kesan sampingannya.

“Saya buat senaman mengangkat berat untuk membina otot enam kali seminggu selama sejam setiap sesi. Saya jauhkan diri daripada makanan manis dan masak makanan secara semulajadi. Sekarang saya lebih mengambil berat sumber dan bahan dalam makanan yang saya makan,” katanya yang juga adalah jurulatih kesihatan, pereka kandungan dan juga hos AFO Radio.

Linora juga sentiasa memastikan dirinya tidak mengalami stress dengan berehat dengan cukup dan makan makanan tambahan seperti minyak zaitun sebagai rawatan sampingan.

Bagi gadis yang mengalami tanda atau gejala PCOS, Linora menasihatkan mereka supaya mencari pakar sakit puan atau ginekologi yang tahu mengenai PCOS dan bukan sekadar memberi ubat saja.

“Apa yang penting, jalani gaya hidup sihat. Lebih peka dengan sumber makanan terutama bahan yang digunakan untuk menghasilkannya, tidur dengan cukup dan teruskan bersenam bagi membina otot yang baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN