Aidilfitri bakal menjelma. Semestinya perasaan rindu pada kampung halaman, keluarga dan sanak saudara semakin menebal.
Mana tidaknya, sudah dua tahun kemeriahan Aidilfitri tidak dapat disambut dengan sanak saudara yang jauh mahupun dekat.
Pasti banyak cerita yang ingin dibual dan dikongsikan.
Namun, pada saat kita bergembira dan tidak sabar meraikan hari istimewa ini, ada insan-insan lain yang mengganggap sambutan Ramadan dan Aidilfiitri tahun ini tidak banyak beza seperti tahun-tahun sebelumnya.
Mereka adalah golongan gelandangan di ibu kota.
Kedatangan Syawal ini bagaikan tiada erti, ia seperti hari-hari biasa buat mereka.
Minggu ini saya kongsikan kisah Zety (bukan nama sebenar) yang dahulunya bekas seorang gelandangan.
Bagi wanita berusia 24 tahun yang berpengalaman selama dua tahun hidup bergelandangan, ia bukan sesuatu yang indah untuk dikenang.
Namun pengalaman itulah membuatnya untuk lebih tabah menjalani kehidupan.
Dia terpaksa menelan lebih banyak kepahitan berbanding kemanisan.
Tiada sesiapa mahu hidup bergelandangan. Setiap daripada mereka mempunyai cerita dan sisi berbeza.
Selain disisih keluarga, tidak ada waris atau pun hidup sebatang kara, ada antara mereka terpaksa memilih hidup bergelandangan akibat hutang yang tidak pernah selesai.
Ibu muda ini mengganggap Aidilfitri tidak lagi bermakna kepadanya sejak enam tahun lalu selepas meninggalkan kampung halamannya di Segamat, Johor.
Cerita Zety, walaupun tempohnya bergelandangan tidak lama, dia masih menyimpan kesedihan dan luka di hati.
Ini kerana sehingga ke hari ini dia tidak berpeluang meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Menceritakan lanjut mengenai kisah silamnya, Zety mengakui sudah hampir lima tahun menetap di Kuala Lumpur selepas tidak selesa untuk meneruskan kehidupan di Kuantan.
Zety tidak menyangka disebabkan hanya satu kesilapan dia dibuang terus daripada keluarga oleh kedua orang tuanya.
Ketika di Tingkatan Lima, Zety jatuh cinta dengan seorang lelaki, Razali (bukan nama sebenar).
Tertarik dengan perwatakan lelaki itu, Zety mula lupa diri.
Dia semakin culas melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dan pelajar.
Jiwanya memberontak. Kedua ibu bapanya tiada pilihan lain selain mengizinkannya menikahi Razali. Namun keizinan yang diberikan ibu bapanya bersyarat iaitu tidak membenarkannya menjejak kaki pulang ke rumah.
Demi cinta, Zetty turuti hati dengan memilih lelaki dicintai berbanding kedua orang tua.
Selepas diijabkabul, Zety mengikut Razali ke Kuantan, Pahang.
Malang menimpa Zety. Selepas berhijrah ke Kuantan, Razali mula menunjukkan belang sebenar.
Hanya kurang enam bulan hidup bersama suami, dia tidak pernah bahagia. Rupa-rupanya, Razali seorang kaki perempuan dan kaki judi.
Dia sering dipukul, dimaki dan dicerca. Hendak menyesal tidak ada guna.
Ketika itu Zety mula terbayangkan wajah kedua ibu bapa dan adik-adiknya. Niat dihati ingin tinggalkan sahaja suami, namun apakan daya ketika itu dia mengandungkan hasil benih Razali.
Malang menimpa Zety, apabila mendapat tahu dia hamil, Razali menghilangkan diri.
Dalam tempoh itu, Zety cuba mendapatkan pekerjaan untuk menyara hidup.
Nasib tidak menyebelahi Zety apabila dia sukar mendapatkan pekerjaan memandangkan keadaannya yang sarat mengandung.
Pernah mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci pinggan mangkuk di sebuah gerai makan, malangnya Zety menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh majikan.
Dia cuba mencari pekerjaan lain termasuk pembantu di gerai makan, namun tidak bertahan lama.
Kehidupannya yang tidak menentu membuatnya nekad berhijrah ke Kuala Lumpur.
Dari Kuantan membawa diri ke Kuala Lumpur
Sebelum diselamatkan dan menumpang berteduh di Pusat Transit Gelandangan, Zety sempat bergelandangan di bawah-bawah jambatan di sekitar Chow Kit.
Dia yang ketika itu hamil enam bulan tinggal di kaki lima dan menyara kehidupan dengan mengemis.
Biarpun ketika itu Zety tidak nampak masa depannya, dia tetap memasang impian untuk memastikan bayi dikandung lahir dan dibesarkan dengan sempurna.
Zety bersyukur kehidupannya lebih baik sejak ditempatkan di pusat berkenaan.
Inisiatif kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada gelandangan sepertinya membolehkannya menjalani kehidupan baharu.
Dia kini bekerja sebagai seorang tukang cuci di sebuah hotel tiga bintang di ibu kota.
Dengan pendapatan RM1,500, Zety sudah mampu berdikari dan kini menyewa bilik bersama anaknya, Remy (bukan nama sebenar) berhampiran Chow Kit.
Ketika keluar bekerja, Zety akan meninggalkan Remy dengan jirannya untuk dijaga.
Menjelang Syawal yang bakal tiba beberapa hari lagi, akui Zety entah mengapa kerinduannya terhadap kedua orang tuanya semakin memuncak.
Namun apakan daya, dia belum ada kekuatan untuk berhadapan dengan kedua orang tuanya.
Zety mengakui terlalu rindukan saat-saat ketika dia dapat berkumpul bersama adik beradik yang lain.
Setiap kali selepas solat, Zety tidak pernah lupa memanjatkan doa agar suatu hari nanti, kedua ibu bapanya dapat menerimanya kembali.
Aidilfitri ini, Zety turut memohon ampun dan maaf kepada ibu bapanya. Sebagaimana Sabda Rasullullah SAW:
Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak akan menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya.(Riwayat Muslim).










