BUKAN mudah memegang status orang kurang upaya (OKU) apatah lagi masih berdepan stigma serong masyarakat yang memandang pelik terhadap fizikal individu.
Berdepan cemuhan dan menjadi bahan ejekan orang kampung, benar-benar menguji mental seorang wanita bersatus OKU, Rujina Akhter.
Gerak-gerinya menjadi perhatian setiap kali melangkah keluar dari rumah kerana dia berjalan tidak normal seperti orang lain yang sempurna fizikalnya.
Rujina tidak pernah meminta untuk dilahirkan di dunia dengan jalan berdengkot-dengkot akibat kaki sebelahnya lebih pendek.
Namun, semuanya sudah tertulis dalam suratan takdir Tuhan dan Rujina menerima ujian hidup yang perlu ditempuhnya dengan penuh kecekalan.
Berdepan kata-kata nista masyarakat benar-benar merobek hati Rujina yang tekad mengubah pemikiran kolot masyarakat kampung bagai katak di bawah tempurung.
Rujina merupakan salah seorang daripada jutaan wanita di seluruh dunia yang berjaya mengubah hidup masyarakat menerusi projek pemerkasaan golongan wanita oleh Islamic Relief.
Sebanyak 70 peratus penduduk miskin di dunia berjaya mencapai kejayaan mengagumkan terdiri daripada golongan wanita.
Islamic Relief berperanan membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan serta menyokong mereka mencari mata pencarian berpanjangan dan berdikari dalam menjana pendapatan.
POLIO & KEMURUNGAN
Rujina berasal dari Pirgacha iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak jauh di pedalaman Bangladesh.
Ketika berusia dua tahun, Rujina mengalami demam panas dan kehilangan deria rasa di kedua-dua belah kakinya sehingga dia disahkan menghidap penyakit polio.
Polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal.
Sejak itu, bermula episod getir dalam hidup Rujina kerana kebanyakan golongan OKU di sini terpaksa berdepan realiti disisihkan oleh keluarga dan masyarakat.
“Rakan-rakan di sekolah sering mengejek dan mempersendakan keadaan fizikal saya, tetapi saya beruntung kerana mempunyai ibu, ayah serta guru yang selalu melindungi diri,” katanya.
Rujina memegang prinsip genggam bara api biar sampai jadi arang dan tidak mudah berputus asa dalam kehidupan.
Berbekalkan sokongan kedua-dua orang tua dan gurunya, serta kesungguhan untuk belajar, Rujina berjaya merangkul anugerah akademik kerana pencapaian paling cemerlang di sekolah.
Bagaimanapun, selepas melanjutkan pelajaran di kolej, keadaan jadi bertambah sukar hingga Rujina terpaksa menamatkan pembelajarannya.
Episod hitam yang dialami sejak zaman kanak-kanak masih berlarutan ketika dia sudah hampir mencecah usia dewasa.
Emosinya terganggu sehingga Rujina mengalami kemurungan akibat menjadi bahan ejekan.
“Waktu itu adalah fasa yang sangat sukar buat saya.
“Saya tidak mahu keluar dari rumah kerana takut berhadapan individu yang mentertawakan keadaan saya. Akhirnya, saya mengalami kemurungan,” luahnya.
TEKAD BINA MASA DEPAN
Walaupun berdepan cabaran dan ujian besar dalam hidup, Rujina tetap tekad berusaha membina masa depan lebih baik.
Selaku badan bukan kerajaan (NGO) prihatin yang mempunyai misi untuk membantu golongan terpinggir dan mengatasi kemiskinan yang menghimpit mereka, Islamic Relief menyediakan peluang pekerjaan serta memperkasakan ekonomi golongan wanita di kejiranan tersebut.
Rujina mengambil peluang keemasan tersebut sebagai titik permulaan untuk dia membina masa depan lebih cerah.
Wanita itu membuat permohonan untuk menjadi penceramah motivasi di kampungnya melalui Islamic Relief.
Rujina dibekalkan dengan latihan kepemimpinan yang disediakan NGO itu bagi membolehkan dia melaksanakan tugas sebagai penceramah motivasi dengan baik.
Berbekalkan keyakinan dan kemahiran baharu yang dipelajarinya, Rujina menerima anugerah berprestij yang dinamakan ‘Anugerah Joyeta’ daripada Kerajaan Bangladesh pada 2014.
Anugerah itu diberikan atas sumbangan besar Rujina terhadap sektor pendidikan dan pemerkasaan wanita di negara itu.
“Anugerah ini adalah pencapaian terbesar dalam hidup saya. Islamic Relief mengajar saya status OKU bukan penghalang untuk seseorang mencapai impian mereka.
“Jika kita mempunyai keazaman yang tinggi, ikhlas dan rajin, sudah pasti matlamat yang disasarkan boleh dicapai. Inilah kunci kejayaan yang saya pegang hingga dapat membanggakan ibu bapa saya,” katanya.
PEJUANG WANITA
Dari seorang yang hidup dibelenggu ketakutan, Rujina akhirnya berjaya mengatasi kelemahan bersarang dalam dirinya.
Dia kini menjadi ketua komuniti di tempat tinggalnya dan banyak menyumbang dalam usaha memperjuangkan hak kesaksamaan bagi kaum wanita di Bangladesh.
Lebih menggembirakan apabila Rujina berjaya melanjutkan pelajarannya yang pernah terhenti suatu ketika dahulu, dan kini menggenggam segulung ijazah.
Islamic Relief terus menyokong usaha Rujina dengan memberi tanggungjawab kepada dirinya sebagai penggerak masyarakat.
Rujina berperanan dalam mengendalikan enam kumpulan sokongan bagi komuniti wanita setempat serta menjalankan program kesedaran mengenai hak-hak wanita khususnya isu berkaitan keganasan terhadap wanita serta perkahwinan secara paksa pada usia muda.
“Wanita berdepan banyak cabaran dalam komuniti kami, dan status OKU menyukarkan lagi keadaan mereka.
“Saya akan terus mengejar impian untuk menjadi seorang guru bertauliah bagi mengajar generasi muda dan wanita supaya hidup berdikari serta menjadi seorang pemimpin,” jelasnya.
Bapanya, Abdul Mannan Mia sudah tentu adalah insan yang paling gembira melihat kejayaan anak kandungnya, meskipun wanita cekal itu mempunyai kekurangan dari sudut fizikal.
“Dia bertekad untuk berjaya dan saya lihat tiada apa yang boleh menghalangnya. Sebagai bapa, saya sangat bangga dengan pencapaian Rujina,” katanya.
** Artikel diolah semula daripada kiriman asal Islamic Relief Malaysia










