MySejahtera bukan transaksi komersial - Utusan Malaysia

MySejahtera bukan transaksi komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

AKSI Menteri Kesihatan, KHAIRY JAMALUDDIN seolah-olah seperti seorang ‘pendekar’ yang bersiap sedia untuk menyergah kami dari mingguan malaysia dengan tangannya memegang lembaran-lembaran fakta.
Ini bagi menjawab ‘cuitan pedas’ kolum akhbar ini mengenai delete aplikasi MySejahtera,
dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Dalam temu bual dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM serta jurugambar FARIZ RUSADIO itu, Khairy menjelaskan manfaat-manfaat MySejahtera untuk kemajuan pembangunan kesihatan rakyat Malaysia.
Ketika ‘dicuit’ lagi pasal persepsi dan tohmahan terhadapnya berkenaan vaksin dan MySejahtera, kata Khairy, kalau dia ‘ambil kisah’, dirinya tidak akan buat kerja yang dilakukan sekarang sehingga tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .
Bahkan, hasilnya sekarang, berjuta-juta orang kini boleh balik kampung untuk berhari raya.

KOMERSIAL

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah tindakan kerajaan bagi memastikan aplikasi MySejahtera ini tidak dikomersialkan?
KHAIRY JAMALUDDIN: Tak boleh, sebab data itu hanya boleh digunakan dengan persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kalau tidak, kita boleh ambil tindakan mahkamah terhadap mereka.
Sebab tertulis dalam NDA atau non-disclosure agreement (perjanjian ketakdedahan) antara kita dengan pihak KPISoft (M) Sdn. Bhd. (sekarang Entomo Malaysia Sdn. Bhd.) sehingga ini NDA itu masih lagi terpakai bahawa pemilik data MySejahtera adalah kerajaan Malaysia dan sekarang ini kerajaan telah menjelaskan data itu adalah milik mutlak dan penuh KKM.
Jadi, kalau mereka cuba akses data tersebut ataupun menggunakan data itu bagi tujuan melainkan tujuan yang dibenarkan oleh KKM, kita boleh ambil tindakan undang-undang terhadap mereka. NDA masih terpakai sehingga satu kontrak baharu dimeterai dan itu sedang dirundingi oleh pihak KKM dan syarikat. Selepas kontrak baharu ini, ia akan mengambil alih NDA tersebut.

Ada pihak mendakwa perjanjian asal antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan syarikat terbabit longgar sehingga timbul pelbagai masalah?
Ia tak longgar. Memang kita hanya ada NDA sebelum ini yang telah ditandatangani oleh pihak MKN dan KPISoft. NDA itulah yang masih terpakai sehingga hari ini. Ia membantu kita juga untuk membangunkan modul-modul baharu sehingga 15 kerana asal hanya tiga modul.
Bagi saya walaupun NDA ini bersifat umum tetapi ia telah membolehkan kita meminta pihak KPISoft untuk membangunkan modul-modul seperti vaksin, temu janji dan pengembara. Semua itu adalah modul yang telah dibangunkan setelah tempoh NDA tamat. Jadi, ini bagi saya adalah wajar kita bayar kepada syarikat tersebut atas perkhidmatan yang diberikan kepada kita.
NDA itu terma utama adalah hak milik data dan juga aplikasi adalah (hak milik) kerajaan Malaysia. Maka itu cukup jelas dan mencukupi untuk kita menjalankan apa urusan MySejahtera sehingga hari ini. Tetapi untuk pastikan tanggungan kita dengan syarikat dapat diselesaikan, maka kita nak kena ada kontrak baharu.

Kenapakah MySejahtera tidak tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010?
Ini sebenarnya adalah perkara yang disalah faham, sebab data MySejahtera bukan untuk tujuan transaksi komersial. Jadi, ia tidak tertakluk kepada akta tersebut. Akta PDPA menyatakan bahawa data peribadi orang ramai yang terkumpul oleh kerajaan tidak tertakluk di bawah akta ini.
Namun, oleh kerana kita faham sensitiviti tentang perkara ini. Saya telah minta supaya KKM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berbincang supaya kita keluarkan satu tadbir urus data MySejahtera yang jelas, supaya rakyat boleh melihat ia mematuhi elemen-elemen penting daripada PDPA iaitu data ini selamat, tidak disalahgunakan dan tidak akan digunakan bagi tujuan-tujuan selain tujuan yang dipersetujui oleh pengguna itu sendiri bagi tujuan kesihatan awam.
Pada masa depan kalau kita gunakan MySejahtera bagi tujuan kesihatan awam sekali lagi kita akan tanya pengguna setuju ataupun tidak data ini digunakan bagi tujuan selain pandemik. Contohnya, bagi pengurusan penyakit tidak berjangkit seperti kolesterol, diabetes dan saringan kesihatan.

TOLAK PERMOHONAN
Adakah terdapat cadangan mengkomersial data MySejahtera?
Ada cadangan yang kita terima supaya MySejahtera ini boleh digunakan bagi tujuan komersial. Kita telah tolak permohonan itu dan kita tidak akan layan apa-apa permohonan untuk digunakan MySejahtera sebagai komersial, contoh hendak jual produk, insurans dan sebagainya. Tak boleh.
Data MySejahtera ini, dia dikumpul dan dikawal di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Perubatan 1971. Jadi memang dia tak boleh digunakan untuk tujuan komersial.

SYARIKAT SINGAPURA
Jadi kenapa timbul isu syarikat berpangkalan di Singapura?
Data tak ada (di Singapura). Syarikat itu saya telah semak pemegang-pemegang saham utama mereka, syarikat KPISoft yang sekarang ini bernama Entomo adalah syarikat yang mana pemegang saham utamanya ialah rakyat Malaysia. Mereka telah tubuhkan syarikat di Singapura sebab mereka hendak dapat pembiayaan daripada pelabur-pelabur yang berpangkalan di republik itu bagi tujuan perniagaan-perniagaan lain mereka.
Data terdapat dalam server (pelayan) di AIMS Data Centre Kuala Lumpur menggunakan Alibaba Cloud (milik syarikat Alibaba Group dari China). Jadi, dia menggunakan perkhidmatan awan Alibaba dengan pelayan secara fizikal di sini.
Dan setiap kali ada akses kepada pangkalan maklumat, dia ada log in trail (log jejak masuk). Maksudnya, kita akan tahu siapa yang masuk dalam pangkalan maklumat untuk akses data tersebut. Jadi kalau ada orang yang masuk pangkalan data tersebut yang tidak dibenarkan kita akan tahu. MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan Nacsa (Agensi Keselamatan Siber Negara) di bawah MKN sentiasa menjalankan ujian bagi memastikan aplikasi ini selamat dari segi data dan pencerobohan data.

PANTAU PERGERAKAN
Terdapat kebimbangan orang ramai kerajaan menggunakan data MySejahtera untuk memantau pergerakan mereka?
Data tersebut kita akan gugurkan. Kita tak simpan dalam MySejahtera selama-lamanya. Kita memang ada piawaian yang mana data check-in (daftar masuk) itu kita gugurkan.
Saya tak minat tahu you pergi ke mana. Saya hanya nak tahu kalau sekiranya berlaku jangkitan yang merebak di tempat yang orang telah pergi. Tapi kalau sekarang ini memang kita pun sudah setuju dan tidak lama lagi kita akan buat pengumuman dari segi imbasan kod QR (untuk daftar masuk).

KOS MAHAL
Kenapakah kos pembangunan MySejahtera terlalu mahal berbanding aplikasi negara lain?
Di dunia ini saya tengok dari segi ciri-ciri dan juga modul yang ada, MySejahtera ini boleh dibandingkan dengan mungkin satu sahaja aplikasi daripada UK, NHS (The National Health Service) yang ada banyak modul. Yang lain semuanya separuh ataupun sebahagian sahaja daripada modul MySejahtera.
Saya ini bukan hendak pertahankan MySejahtera. Saya pun tidak terlibat dalam pemilihan MySejahtera. Ini berlaku sebelum saya jadi Menteri Kesihatan.
Cuma saya menjelaskan kenapa KKM menggunakan MySejahtera sekarang. Ia lebih daripada imbasan kod QR. Kalau itu modul tunggal MySejahtera, boleh saya tendang masuk dalam bakul sampah hari ini juga. Tapi kita guna untuk lebih daripada itu dan kita sekarang ini sudah ada lebih 38 juta pengguna.

REKOD KESIHATAN ELEKTRONIK
Adakah ia boleh digunakan untuk mewujudkan sistem rekod kesihatan elektronik?
Sekarang kita tak ada sistem rekod kesihatan elektronik. Sekarang ini di bawah MySejahtera ada lebih 38 juta orang dan ini mungkin boleh digunakan sebagai satu aplikasi bagi membantu KKM untuk dijadikan sebagai platform untuk rekod digital kesihatan kita.
Kalau kita buang MySejahtera, kita keluarkan aplikasi baharu. Adakah jaminan yang kita akan dapat lebih 38 juta pengguna, saya rasa tidak.
Disebabkan peluang daripada pandemik ini, kita akan pastikan jaminan diberi kepada rakyat Malaysia, data dia selamat. Kita akan pastikan bahawa pemilikan MySejahtera ini adalah jelas (hak) KKM.
Kita juga akan lunaskan apa sahaja perjanjian dengan syarikat KPISoft ataupun MySJ Sdn. Bhd. supaya tidak ada lagi pertikaian dalam bentuk perjanjian yang telah pun saya memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Dan kita akan maklumkan kepada rakyat bahawa sekarang ini MySejahtera mungkin boleh digunakan untuk tujuan lain. Kesihatan awam sahaja dan bukan untuk tujuan komersial. Ini kita sudah tolak secara mutlak.
Apa saja cadangan penggunaan komersial dan data daripada MySejahtera tidak dibenarkan langsung oleh kerajaan Malaysia.

MySejahtera daripada pembangunan secara percuma melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) terus menjadi kos berjuta-juta kerana kesilapan pentadbiran terdahulu. Kenapa YB tidak menjauhkan diri daripada terkena tempias itu?
Saya menteri, saya bukan kanak-kanak. Jadi saya mestilah bertanggungjawab ke atas segala tugas saya sama ada perkara itu berlaku di zaman saya ataupun sebelum zaman saya.
Saya bukan jenis orang yang cuci tangan daripada apa yang sedang berlaku dalam kementerian saya. Saya seorang menteri yang bertanggungjawab dan bukan kata tiada kaitan dengan saya. Saya tak kisahlah tempias kepada sayakah atau tidak. Saya selalu begitu. Saya di sini untuk memastikan perkara ini dapat diselesaikan dari segi (wujud) perjanjian yang jelas.
Tempoh CSR atau percuma bermula pada 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021. Dari 2021 sehingga kini MySejahtera masih berjalan, kita masih minta syarikat tersebut untuk membantu membina modul-modul baharu yang dimiliki oleh KKM dan untuk mereka mengurus operasi MySejahtera selama tempoh tersebut.
Jadi bagi saya, kita kena bayar mereka. Ya, sebab tak kisahlah lantikan mereka pada 2020 dibuat dengan mengikut CSR. Tetapi dari segi perkhidmatan yang mereka bagi selepas tempoh CSR dari segi pembangunan modul, pengurusan dan penyelenggaraan aplikasi mesti kita selesaikan. Itu kos yang telah pun ditanggung oleh syarikat. Untuk berlaku adil kepada mereka, mesti kita bayar.
Ya, jadi itulah perkara yang saya nak selesaikan supaya kita ada perjanjian dengan mereka sehinggalah Mac 2023 dan selepas itu aplikasi ini yang memang hak mutlak KKM, pada waktu itu sama ada dipindahkan pengurusannya kepada kementerian ataupun kita boleh tender semula kepada siapa-siapa untuk mengurus.

SIMPATI
Persepsi negatif ini banyak terkena pada YB. Sebagai wartawan kami faham tapi rakyat yang tak faham, jadi kami rasa bersimpati.
Kalau saya kisah pasal persepsi, saya tak buat kerja yang saya buat sekarang ini. Apa yang dia orang tak cakap pasal saya, vaksinlah, MySejahteralah. Tak apalah, okey. Hari ini kita masih lagi ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)? Raya ini boleh balik kampung? Jadi kita sampai ke tahap ini kerana apa?
Kalau hasil hari ini negara kita memang dari segi pengurusan pandemik kita tunggang-langgang dan memang tak berkesan. Hospital kita penuh, kadar kematian kita tinggi, mungkin, adillah tohmahan tersebut. Tapi saya melihat hari ini keadaan semakin bertambah baik insya-Allah. Soal persepsi ini okeylah. Lihat sekeliling kita, apa yang boleh kita lakukan hari ini berbanding tahun lepas.

LUNAS TANGGUNGJAWAB
Bila sudah sampai ke tahap ini apa perasaan YB, rasa lega?
Saya rasa kita telah buat yang terbaik di peringkat KKM. Rakyat pun sudah mula menikmati hampir semua kebebasan seperti sebelum pandemik, adalah pelitup muka dan sebagainya. Dan ini adalah kejayaan kita bersama sebagai rakyat Malaysia. Jadi, cakaplah apa nak cakap pasal saya ataupun KKM. Saya percaya kita sudah melunaskan tanggungjawab kita sepertimana yang diharapkan.

Kenapakah MySejahtera tidak diuruskan oleh kakitangan KKM sendiri?
Sama ada hendak dikendalikan oleh KKM ataupun pihak yang ketiga ini perkara dasar yang perlu kita fikirkan sebab sekarang ini dalam kerajaan, kita mungkin tidak ada kapasiti untuk ada developer, pengaturcara dan sebagainya untuk membina modul baharu, menguruskan dan menyelenggarakan fasiliti ataupun aplikasi tersebut.
Itu kita akan buat kemudian. Sekarang ini saya mahu jelaskan hutang kita dan saya hendak pastikan bahawa sehingga 2023 kita ada kontrak yang jelas. Supaya tiada apa-apa pertikaian dari segi kontrak antara kerajaan Malaysia dengan pihak KPISoft. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN