Lepat daun, lepat bunga sajian lama kian dilupakan - Utusan Malaysia

Lepat daun, lepat bunga sajian lama kian dilupakan

Kaedah menghasilkan Lepat Chicha dan Lepat Semelit mudah, tetapi tidak ramai yang mahir membuatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah dengar Lepat Semelit dan Lepat Chicha? Kuih warisan ini sangat terkenal di daerah Baling dan Padang Terap, Kedah.

Walaupun namanya lepat, tetapi ia terhasil daripada ramuan utama berbeza iaitu daun dan bunga. Lepat semelit bahan asasnya terdiri daripada daun Semelit manakala lepat chicha, bahan asasnya daripada bunga Chicha.

Keunikan kedua-dua lepat semelit dan chicha iaitu masing-masing pada daun dan bunga menunjukkan hubungan manusia yang memanfaatkan alam untuk kelangsungan kehidupan.

Nilai estetika bangsa yang unik terdapat pada makanan warisan utama di sesebuah negara. Ini tidak terkecuali di Malaysia yang terdiri dari kepelbagaian kaum dan budaya mencorakkan ciri tersendiri dalam makanan warisan negara.

Begitulah juga lepat semelit dan lepat chicha membentuk nilai yang tinggi penghargaan manusia kepada alam.

Meninjau dari segi pembuatan kedua-dua lepat ini, kaedahnya adalah secara mengukus.

Lepat semelit hanya menggunakan bahan yang amat ringkas iaitu daun semelit, beras dan kelapa serta bahan penambah perisa iaitu gula dan garam.

Daun semelit atau nama saintifik pokoknya Breynia Diseigera tumbuh meliar di hutan.

LEPAT SEMELIT
Seorang pembuat lepat semelit, Nor Salmi S.Abidin yang tinggal di Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling memberitahu dia menanam pokok semelit ini di sekitar kawasan rumahnya.

Daun semelit yang telah dipetik, dibersihkan kemudian dipotong kecil untuk mudah dikisar bersama beras yang telah dibasuh dan ditos selama beberapa jam.

Campuran daun semelit dan beras yang telah dikisar akan diadun dengan kelapa atau nyoq dalam bahasa Kedah bagi menambah­kan rasa lemak pada lepat semelit.

Gula dan garam dicampur bersama adunan memberi sedikit perisa manis dan masin.

Kemudian hasil dari kesemua adunan ini akan dibungkus ke dalam daun pisang yang telah dilayur.

Bau aroma daun pisang ini menambahkan keenakan Lepat Semelit apabila dikukus selama beberapa minit.

Hidangan ini sesuai dihidang bersama minuman kopi o panas untuk sajian sarapan pagi atau petang.

Nor Salmi mewarisi kemahiran memask lepat dari ibunya yang juga seorang penggemar lepat.

LEPAT CHICHA
Lepat Chicha atau ada juga yang memanggil dengan ejaan ‘Cicaq’ atau ‘Cica’ pula, lebih dikenali di daerah Padang Terap, Kedah.

Pokok Chicha atau nama saintifiknya Stereospermum Fimbriatum DC akan menghasilkan bunga yang lebat setahun sekali sewaktu musim kemarau sahaja.

Meskipun pokok ini agak tinggi, namun bunga yang gugur ini telah memberi faedah kepada penduduk kampung untuk dimanfaatkan sebagai makanan tradisi.

Ramai pembuat Lepat Chicha di Padang Terap ini, salah seorangnya adalah Siti Norrafidah Ramli dari Kampung Padang Nyok.

Beliau mewarisi Lepat Chicha ini dari neneknya dan kemudian menjadi makanan turun temurun dalam keluarga.

Bahan-bahan dan kaedah membuat lepat itu adalah bunga chicha yang dikisar kasar bersama santan.

Kemudian dicampur bahan kisaran dengan tepung pulut dan sedikit tepung gandum.

Ditambah gula, garam dan gula merah dikacau sebati sehingga agak pekat dan dibungkus dalam daun pisang yang telah dilayur.

Ia dikukus selama beberapa minit dan siap untuk dihidang.

Apa yang menarik lepat chicha kini boleh dinikmati meskipun bukan pada musim bunga Chicha.

Ini kerana penduduk kampung telah mahir mengolah bunga ini kepada serbuk dan menjadi tepung bunga Chicha yang boleh dibuat lepat ini pada bila-bila masa.

Jika ingin menikmati kedua lepat ini perlulah berkunjung ke Baling dan Padang Terap.

Ini secara tidak langsung dapat membantu mengkomersialkan kedua jenis lepat ini kepada penduduk dalam dan luar negeri Kedah.

Ia juga dapat menjadikan daerah-daerah ini lebih dikenali sebagai daerah kuih warisan Kedah yang autentik selain membantu pendapatan penduduk kampung.

——-
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×